DEMI MASA |
|
|
PEMUDA UMNO TEKAD TAWAN PERMATANG PAUH |
Tuesday, August 15, 2006 |
PERMATANG PAUH: Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata Pergerakan Pemuda Umno akan menggembelengkan seluruh kekuatan jenteranya dengan satu nada dan satu suara untuk merampas kembali kerusi Parlimen Permatang Pauh pada pilihan raya akan datang.
"Di Permatang Pauhlah kita akan kuburkan Keadilan, di Permatang Pauhlah medan untuk kita pastikan bahawa sesungguhnya di Pulau Pinang ini tidak ada seinci pun untuk Keadilan dan PAS. Dan itulah perjuangan kita sebenarnya."
Berucap merasmikan serentak Mesyuarat Agung Pemuda Umno Permatang Pauh dan Bukit Mertajam di Hotel Sunway, di sini, Ahad, Hishammuddin menegaskan hasrat itu hanya boleh dicapai sekiranya pemuda bersatu padu dengan matlamat dan objektif yang jelas.
Katanya perjuangan Umno perlu diteruskan kerana Umno satu-satunya parti Melayu yang berjuang mengangkat martabat dan maruah orang Melayu, agama dan negara, dan bukannya untuk kepentingan mana-mana individu atau puak.
Justeru, beliau mengingatkan mana-mana individu yang pernah menganggu-gugat parti, tidak akan diberi ruang untuk kembali dalam parti itu, walaupun pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri.
"Ada yang mengatakan hendak membawa (Anwar) masuk. Apa tujuannya, hendak melaga-lagakan, apa tujuannya....hendak menghakis kekuatan yang kita ada," katanya.
Mengimbau detik perpecahan Umno ekoran pemecatan Anwar Ibrahim, Hishammuddin menjelaskan kepimpinan pemuda ketika itu turut terkena bahangnya - berpecah dua.
Namun, berkat keikhlasan perjuangan para pemimpin, kekuatan pemuda dapat disatukan kembali, meskipun beberapa pemimpinnya bertindak meninggalkan perjuangan Umno.
"Setiausaha Pemuda Saifuddin Nasution, Bendahari Dr Rahim Ghouse, Ketua Penerangan Roslan Darus, semuanya telah meninggalkan kita, walaupun dulu semuanya dalam rumah Umno…sanggup keluar maki-hamun Umno…orang-orang sebegini tidak ada lagi tempat dalam parti keramat Umno yang kita dukung pada hari ini," tegasnya bersemangat.
Berucap di hadapan kira-kira 300 perwakilan dan pemerhati, beliau berkata Pemuda Umno kini semakin kukuh, malah pada pengamatannya pemuda Permatang Pauh kini semakin mantap berbanding dalam pilihan raya lalu.
Turut hadir Ketua Bahagian Permatang Pauh Datuk Abdul Jalil Abdul Hamid, Timbalannya Datuk Pirdaus Ismail, Ketua Bahagian Bukit Mertajam Datuk Musa Syeikh Fadzir, Ketua Pemuda Pulau Pinang Salim Bari, Ketua Pemuda Permatang Pauh Mohd Zaidi Said, Ketua Pemuda Bukit Mertajam Ramlan Ishak dan barisan Exco pemuda, wanita dan puteri kedua-dua bahagian.
Kerusi parlimen Permatang Pauh kini disandang Presiden Keadilan Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dengan menewaskan bekas Imam Masjid Negara Datuk Pirdaus Ismail dengan majoriti 590 undi. |
posted by jasindaily online @ 5:42 PM |
|
|
|
DPPKJASIN |
Name: jasindaily online
Home: Jasin, Melaka, Malaysia
About Me: Di bangunkan pada bulan April 2005
See my complete profile
|
CORETAN YANG LALU |
|
ARKIB JASNIDAILY |
|
POWERED BY |
|
|