DEMI MASA |
|
|
BIARLAH BERPATUTAN KALAU MAHU MENYERANG IBRAHIM.... |
Sunday, August 13, 2006 |
KETIKA saya menulis 'Kenapa Ibrahim Ali bersama Dr. Mahathir' - jauh di sudut fikiran saya untuk meminta para pembaca yang selama ini tidak dapat mendekati bekas Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri ini - secara perlahan-lahan boleh mengenalinya.
Malangnya, ada pembaca laman-laman portal, penuh emosi mengulangi gelaran jijik buat Datuk Ibrahim sebagai 'katak'. Khususnya 'Reformasi Tulen' yang turut menulis komentar atas kefahaman Ibrahim bertukar parti atau melompat parti seolah-olah katak.
Salahkah Ibrahim bertukar parti? Dia bertukar parti...Bukan bertukar agama!
Apa hinanya bertukar parti? Apakah Ibrahim seorang sahaja orang politik yang sering bertukar parti? Bagaimana dengan orang-orang lain seperti Allahyarham Datuk Onn Jaafar yang menjadi Presiden Umno kemudiannya memimpin IMP dan Parti Negara?
Bagaimana dengan Tun Dr. Lim Chong Eu, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang yang pernah menjadi Presiden MCA dan kemudiannya menjadi Presiden Gerakan - hingga mengalahkan BN di Pulau Pinang sebelum Gerakan akhirnya menyertai BN?
Begitu juga dengan Richard Ho, seorang pemimpin DAP kemudiannya menjadi anggota MCA, MG Pandhitan dari MIC menyertai IPF.
Sebagai contoh lagi, V.Govindaraj MIC-DIMP-MIC, Allahyarham Tan Sri Asri Muda PAS-Hamim-Umno. Datuk Mohamed Nasir, PAS-Berjasa-PAS. Tun Datu Mustapa Datu Harun, Usno-Umno-PBS.
Sebenarnya, ramai lagi termasuk Lajim Okin dan pemimpin Sabah dan Sarawak yang bertukar parti kerana kesesuaian politik semasa di tempat masing-masing.
Bekas Adun Salor, Kelantan - Datuk Ahmad Roseli Ibrahim juga bertukar parti. Bermula dengan Umno-Semangat 46-Umno dan kini PAS.
Bekas Adun Lunas, Kedah - Saifuddin Nasution pernah menjadi anggota PAS-Umno-keADILan dan kini PKR.
Hari ini, hanya Ibrahim sahaja yang nampaknya lekat dengan gelaran 'katak'- seolah-olah hanya Ibrahim sahaja yang melompat tukar parti tetapi gelaran ini tidak terkena kepada orang-orang lain termasuk Allahyarham Tun Hussein Onn dari Umno-Parti Negara-Umno dan tidak berakhir dengan Umno ketika meninggal dunia.
Datuk Radzi Sheikh Ahmad, Datuk Seri Dr. Rais Yatim, Datuk Zainal Abidin Zin, Datuk Paduka Ibrahim Azmi Hassan dan ramai lagi tidak digelar 'katak' kerana orang-orng seperti Reformis Tulen hanya nampak Ibrahim Ali sahaja yang 'layak digelar katak'.
Politik sebenarnya 'berhujah'. Saya berminat untuk berhujah dengan sesiapa sahaja asalkan tidak mencampur-adukkan hujah dengan maki hamun yang tidak berfaedah. Saya menulis mengenai Ibrahim dengan hujah yang saya anggap 'betul' dan saya sedia mendengar hujah orang lain juga.
Komenter KAUkaTUNtua seolah-olah terkejut mendengar Ibrahim Ali ada menulis buku. Sambil mengatakan Ibrahim akan menjilat Tun Dr. Mahathir, penulis ini tidak pernah melihat keikhlasan seseorang dengan mata hati. Kata-kata menjilat dan sebagainya hanyalah bahan kempen politik, termasuk maki hamun. Apa yang salahnya. Ibrahim yang mempunyai ijazah dalam Komunikasi Massa dari UiTM bukan orang baru dalam dunia penulisan. Malahan, banyak buku-bukunya yang beredar di pasaran. Kalau KAUkaTUNtua ingin memiliki sebahagian buku-buku tulisan Ibrahim Ali, boleh sahaja memberikan alamatnya kepada saya dan boleh saya beli dan poskan kepadanya atau, saudara sendiri membelinya di mana-mana kedai buku yang ada menjualnya.
Mana lebih hina 'menjilat' atau 'menelan wang PPRT? Mana lebih hina, 'merompak wang Tabung Haji, KWSP, Bank Islam dan Bank Negara' dengan politik 'menjilat dan katak'? Kita, selalu membenci seseorang tanpa kita ketahui jasanya. Kita hanya mahu membenci seseorang hanya kerana rasa kita mulia, hebat dan bersih. Dalam masa yang sama kita tidak teringat ada menteri sapu wang PPRT. Ada menteri kaya dengan cerita jual pasir, ada menteri yang luluskan permit teksi untuk kawan-kawannya, ada menteri yang kaya dengan duit makmal komputer! Biarlah Ibrahim jadi katak dan tukang jilat asalkan tidak merompak harta rakyat dan tidak memunggah kekayaan negara masuk ke poketnya!
Penulis Komentar Mahawangsa pula mencatatkan bahawa Dr. Mahathir memberikan projek jambatan Tendong kepada Ibrahim menyebabkan Ibrahim terus mencium tangan Dr. Mahathir.
Apakah salah mengenang budi? Bukankah Islam mengajar kita 'tangan yang di atas lebih mulia dari tangan yang di bawah?' Ertinya orang yang memberi budi lebih mulia dari orang yang menerima budi. Jika betul Dr. Mahathir memberi projek jambatan Tendong kepada Ibrahim, salahkah Ibrahim menyanjung budi Dr. Mahathir?
Kenapa kita tidak persoalkan siapa yang akan dapat Jambatan kedua Pulau Pinang? Kenapa kita tidak cemburu dengan orang yang banyak dapat AP? Kenapa kita sakit hati bila Ibrahim Ali dapat projek jambatan Tendong tetapi kita tidak pernah bertanya siapa yang akan dapat projek Universiti Darul Naim, Universiti Darul Iman dan banyak lagi projek-projek yang diwar-warkan sekarang?
Kenapa kita tidak marah siapa yang dapat projek Terminal Tambang Murah (LCCT) di Sepang?
Kenapa kita tidak persoalkan siapa yang dapat projek membekalkan gerabak keretapi, bas untuk meningkatkan kemudahan awam di Kuala Lumpur?
Kta tidak mahu bertanya kenapa Hotel Pan Pacific Kuala Lumpur sudah bertukar nama kepada Seri Pacific.
Kita juga tidak sempat melihat siapa yang banyak mendapat projek pembinaan sekolah-sekolah, kolej kumuniti, ILP, MRSM, IKBN dan lain-lain lagi.
Kita juga tidak pernah mahu melihat siapakah yang menjadi tauke buruh asing ketika Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menjadi Menteri Dalam Negeri dan Timbalan Perdana Menteri dahulu
Saya akan menulis dengan lebih panjang lagi jika ada sesiapa yang masih belum berpuashati dengan Ibrahim. Tetapi biarlah hujahnya dengan niat mencari kebenaran dan bukan bertujuan mahu menghina sesiapa.
Serentak dengan komentar ini, 'azjuan75' nampaknya memuji sikap dan tindakan Ibrahim bertanding sebagai calon Bebas dalam PRU 2004 antara faktor yang menyelamatkan PAS dari kehilangan pemerintahan di Kelantan.
Memang tepat hujah 'azjuan75' dan saya tidak perlu membuat sebarang ulasan mengenainya kerana saya juga sependapat dengan 'azjuan75'.
Seperti yang saya tuliskan dahulu, Ibrahim sering disalahfahamkan oleh kawan-kawan dan lawan. Orang lain dapat 'anugerah projek' hingga mampu membeli kapalterbang sendiri tetapi sumbangan dan bantuan Ibrahim kepada masyarakat di Pasir Mas tidak pernah mahu disebut oleh orang yang menerimanya.....jauh sekali kawan-kawannya yang pernah menerima budi dari Ibrahim.
Ibrahim tentunya tidak suka soal derma dan bantuannya dijadikan bahan perbincangan tetapi bolehkah sesiapa di Pasir Mas menafikan sumbangan Ibrahim? |
posted by jasindaily online @ 5:52 PM |
|
|
|
DPPKJASIN |
Name: jasindaily online
Home: Jasin, Melaka, Malaysia
About Me: Di bangunkan pada bulan April 2005
See my complete profile
|
CORETAN YANG LALU |
|
ARKIB JASNIDAILY |
|
POWERED BY |
|
|