Scroll images by bigoo.ws

DEMI MASA

Demi masa. Sesungguhnya manusia benar-benar berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.

LAJNAH DPPKJ
KENALI PAS
BERUNDURLAH KHAIRY JAMALUDIN
Tuesday, August 08, 2006
Rencana Pengarang MYKMU NET

Pada hemat saya, menantu Perdana Menteri dan Naib Presiden UMNO, Khairy Jamaludin, sedang merosakan imej Pak Lah dan menyelamatkan diri beliau bila berkata "Mereka menyerang peribadi saya selepas gagal mencari kelemahan Pak Lah, dan apa yang mereka buat kini menyerang menantunya, seolah-olah saya ini tidak patriotik lagi terhadap negara."

Sama ada Khairy sudah lupa atau berpura-pura lupa, ingin saya ingatkan kembali peristiwa beliau diejek (boo) oleh Perhimpunan Agung Pemuda UMNO Malaysia sebaik dipilih menjadi Naib Ketua Pemuda UMNO.

Inilah kali pertama dalam sejarah UMNO, seorang pemimpin yang baru disahkan menjawat jawatan utama parti "diboo" oleh perwakilan. Ini adalah manifestasi ketidakpuasan hati mereka terhadap Khairy sejak hari pertama beliau menjejak kaki di persada kuasa Pemuda UMNO.

Sebagai kumpulan ahli UMNO akar umbi, laman ini telah melihat bahawa kemunculan Khairy hanya memberi lebih banyak masalah kepada Pak Lah dan bukannya membantu beliau mahu pun parti. Sebab itu, sebelum Khairy diejek oleh Perhimpunan Agung Pemuda lagi, laman ini telah menyarankan supaya beliau berundur.

Adakah saya memusuhi Khairy secara peribadi? Saya tidak mengenali beliau secara peribadi sungguh pun pernah bertemu beberapa kali dalam beberapa majlis sekitar tahun 2000-2001. Apabila beliau diejek di dalam perhimpunan Pemuda, laman ini juga turut mengkritik sikap tersebut sebagai bukan akhklak Islam dan budaya melayu.

Mengapa beliau diejek di dalam Perhimpunan Agung tersebut tentulah tidak dapat tidak disebabkan oleh proses pemilihan beliau sebagai Naib Ketua Pemuda UMNO yang dilihat dan mungkin dirasai oleh perwakilan sebagai "terpaksa" dan kerana "ilham" pihak yang lebih berkuasa.


Justeru bila Khairy cuba menggunakan alasan bahawa beliau "diserang" kerana pengkritik Pak Lah gagal mencari kelemahan Pak Lah, saya fikir beliau tidak lagi memikirkan kepentingan politik Pak Lah mahu pun UMNO. Bagi beliau hari ini, menyelamatkan kedudukan beliau lebih penting berbanding imej parti dan Presiden.

Sebenarnya, Khairy telah memusnahkan imej Pak Lah serta merta bila sahaja beliau mengambil keputusan untuk menceburi dunia politik UMNO secara serius sebaik sahaja menjadi menantu Pak Lah.

Khairy harus menerima hakikat bahawa kehadiran beliau ke dalam UMNO seumpama penerjun parachut tanpa sebarang keistimewaan dan kekuatan kepimpinan mahu pun pencapaian peribadi yang hebat, bukan budaya UMNO. Dan tidak akan dialu-alukan oleh pemimpin akar umbi UMNO sepenuh hati.

Bagi ahli akar umbi seperti saya, kami melihat apakah sumbangan Khairy kepada parti ketika parti ini dilanda krisis 1997-98? Perjuangan Khairy bersama UMNO hanyalah bila dilantik sebagai Pembantu Khas Pak Lah ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri. Sebelum itu? Tiada sama sekali.

Khairy boleh menafikan pelbagai dakwaan dengan ucapan retorik beliau. Tapi hakikatnya, sikap dan tingkah laku beliau dan rakan-rakan sudah dianggap seperti cacing naik ke mata kepada kebanyakan pemimpin politik UMNO juga kepada badan-badan tertentu di dalam kerajaan yang selama ini diketahui mengkagumi keperibadian Pak Lah.

Hakikatnya, Pak Lah semakin kehilangan penyokong-penyokong lama beliau yang sebelum ini dianggap begitu setia sehingga "jika ditoreh sekalipun darah yang keluar akan tertulis nama Pak Lah."

Mereka ini bukan oportunis atau gila kekayaan kerana sebahagiannya tidak pernah meminta satu projek pun. Malah sebahagian mereka merupakan intelektual yang dihormati masyarakat yang tidak pun mempunyai keinginan untuk menjadi kaya raya. Setiap mereka mula menjauhkan diri dan memberi isyarat yang sama puncanya. Cuma mereka tidak seberani bekas Perdana Menteri Malaysia.

Tidak usah melihat jauh, lihat sahaja Datuk Zahidi Zainol Abidin yang suatu ketika dahulu mati hidup bersama Pak Lah sehingga pernah disalah anggap sebagai anak saudara Pak Lah. Namun sebaik sahaja Pak Lah menjadi Perdana Menteri dan Khairy menjadi Naib Presiden UMNO, Zahid memilih jalan berbeza. Mengapa? Tanyalah kepada orang mengenali beliau. Siapakah yang beliau tidak senangi - Pak Lah atau Khairy?

Hakikat juga, kritikan terhadap Khairy jauh lebih awal muncul berbanding kritikan terhadap Pak Lah. Malangnya, mereka melihat kritikan ke atas Khairy sudah tidak berguna kerana ada lesen besar melindungi beliau. Bak kata seorang rakan, apa guna memukul ekor ular?

Khairy boleh menafikan pembabitan beliau dalam percaturan kuasa dalam UMNO berselindung disebalik kuasa Perdana Menteri dan Presiden UMNO. Namun realitinya, pemimpin UMNO sungguhpun bukan lulusan Oxford mudah sekali membaca gerakan dan percaturan rakan-rakan Khairy seperti Kalimullah Hassan, Breandan Pariera (NST), Gunasegaran (The Edge), Ahmad Zaki Zahid (Pejabat Perdana Menteri) dan Kamal Khalid (Pejabat Perdana Menteri).

Ini belum bercakap lagi berkenaan penggerak politik Khairy dalam Pemuda mahu pun Akademi Pemuda. Khairy perlu sedar yang mengkritik dan tidak berpuas hati dengan beliau bukan lagi mereka yang merupakan orang ketiga atau keempat dalam aliran maklumat. Kebanyakan mereka melihat dengan mata kepala sendiri. Sebahagian lagi meneliti secara depan mata pergerakan rangkaian atau circle Khairy.

Memang biasa di dalam politik bermain sepak terajang kuasa. Namun jika sepak terajang kuasa bernaung di Putrajaya yang menguasai hampir keseluruhan media utama, dan saluran politik parti tentulah sepak terajang ini lebih merupakan punching bag sahaja.

Kata Khairy, "Parti lebih penting daripada individu, jadi kalau perwakilan melihat saya menjadi liabiliti (beban) kepada pergerakan ini, maka saya perlu berundur diri."

Kata Pak Lah, "Kalau orang tak mahu pada dia (Khairy), tunggu apa lagi. Betul tak? ...tentulah kalau orang tak mahu, tentulah dia tak jadi (naib ketua) lagi, tak pegang jawatan yang berkenaan,"

Justeru berdasarkan reaksi boo oleh Perhimpunan Agung Pemuda UMNO 2004, ketika perlantikan beliau, bolehlah dianggap bahawa beliau sememangnya tidak dikehendaki oleh perwakilan UMNO.

Jalan terbaik, bersaralah Khairy Jamaludin. Mungkin jika ada rezeki, suatu hari nanti akan kembali berkuasa dengan idealisme yang lebih baik.
posted by jasindaily online @ 7:18 AM  
0 Comments:
Post a Comment
<< Home
 
DPPKJASIN

Name: jasindaily online
Home: Jasin, Melaka, Malaysia
About Me: Di bangunkan pada bulan April 2005
See my complete profile
CORETAN YANG LALU
ARKIB JASNIDAILY
POWERED BY

Free Blogger Templates

BLOGGER

© 2005 Info Template by Isnaini Dot Com