Scroll images by bigoo.ws

DEMI MASA

Demi masa. Sesungguhnya manusia benar-benar berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.

LAJNAH DPPKJ
KENALI PAS
MERDEKA BERSAMA PAK LAH: KERIS KHIANAT DI SEBALIK DACING BERKARAT
Tuesday, August 15, 2006
Teori Pertama: Dua Buah Parti Keadilan

Mengikut surah, telah wujudnya sebuah pakatan yang berkonsepkan keadilan lama dahulu sebelum Parti KeADILan Rakyat (PKR) dilahirkan. Sudah tentu saya maksudkan Barisan Nasional - gagasan parti berlambang dacing. Melalui teori simbol, dacing membawa maksud sama rata, keseimbangan dan juga keadilan. Malah dacing juga sering dikaitkan dengan peranan mahkamah dalam mengembalikan sesuatu perkara pada haknya.

Teori di dalam tulisan saya kali ini adalah terdapat dua buah parti keadilan di Malaysia. Satu berbentuk gagasan politik yang memperjuangkan konsep keadilan antara kaum menerusi kerjasama / pakatan antara 14 parti perkauman di seluruh negara, manakala yang satu lagi adalah sebuah parti yang ditubuhkan semasa gelombang reformasi sedang menyentap iklim politik negara kita – berikutan tewasnya Anwar dalam sebuah konspirasi yang disifatkan paling hina dalam sejarah penubuhan Malaysia. Ironinya kedua-dua buah parti keadilan tersebut tidak boleh bersatu, bersefahaman dan bernaung di bawah satu panji perjuangan.

Sama-sama memegang prinsip keadilan sebagai wadah perjuangan tetapi terpaksa berperang laksana anjing dengan kucing. Mengapa jadi demikian? Hujah saya mudah sahaja, yang satu bernama Parti Keadilan Rakyat manakala parti cap dacing itu hanya digelar Gagasan Keadilan XXX. Adapun Gagasan Keadilan XXX yang dipengerusikan Umno ini telah gagal mencari jawapannya, XXX itu apa? Namun, setelah menunggu bertahun-tahun dan agak lama (Dari zaman Tun Razak hinggalah ke zaman Tun Hussein Onn), seorang doktor dengan secara tidak sengaja telah menemui maksud tersirat di sebalik XXX. Beliau bukan bersendirian memahami XXX tetapi dibantu dengan seorang lagi tokoh perosak ekonomi Tanah Melayu yang terkemuka. Sebaik sahaja mereka merungkai XXX, maka bermulalah satu lagi episod hitam dalam landskap ekonomi dan sosial di negara kita, atau lebih dikenali sebagai Zaman Gelap 1981 - 2003.

XXX bermaksud 'Kroni'. Oleh yang demikian, nama lain bagi BN - parti cap dacing ialah Gagasan Keadilan Kroni. Gagasan ini telah bertanggungjawab menjadikan segelintir orang Melayu menjadi kaya raya dengan sebuah sistem yang dikenali sebagai 'payung'. Kemusnahan ekonomi, sosial dan jati diri orang Melayu hari ini adalah hasil positif yang anda dapat lihat kesan dari tinggalan Dr. tersebut dan rakannya. Dengan konsep payung, kroni-kroni tidak perlu risau kerana mereka akan sentiasa dilindungi serta tiada masalah untuk mendapat bail-out andai kata syarikat mereka dilanda masalah atau kerugian.

Demikianlah huraian saya berdasarkan hikmah di sebalik logo dacing tersebut. Dua orang yang telah berjaya mendefinisikan XXX itu ialah Tun Dr. Mahathir dan Tun Daim Zainuddin yakni proksi dan penasihat kewangan beliau yang akrab. Gagasan Keadilan Kroni dipimpin oleh seorang bapa Atartuk yang juga pengerusi sebuah parti paling perkasa di dunia bernama Umno, parti yang sinonim dengan lambang keris. Saya pernah menonton 'Pirate Of The Carribean' dan mendapati pada bendera lanun 'Black Pearl' itu terdapat lambang pedang bersilang. Sama ada suratan atau kebetulan, bendera Umno dan bendera lanun mempunyai satu persamaan iaitu penonjolan elemen senjata dalam simbol organisasi mereka. Bagi menjelaskan kenyataan sebenar, saya menggunakan kaedah 'Penaakulan Mantik' - salah satu cabang ilmu Matematik SPM.

Penyataan 1: Lanun berlambang Pedang
Penyataan 2: Lanun merompak menggunakan Pedang
Penyataan 3: Umno berlambang Keris
Hipotesis 4: Umno merompak menggunakan Keris
Kesimpulan 5: Umno dan Lanun sama saja gemar merompak orang


Sama ada betul atau tidak, marilah kita sama-sama menilai situasi mutakhir ini. Walaubagaimanapun, saya tidak berminat untuk mengkritik Pak Lah kerana semua penulis online sedang berpadu tenaga menghentam Pak Lah dan 3Knya. Untuk segmen kali ini, saya memilih untuk menceritakan rahsia di sebalik keris tersebut.

Teori Kedua: Sumpahan Keris Keramat

Keris pesaka keramat Umno diwujudkan pada tahun 1946 bagi berdepan dengan ancaman British untuk mewujudkan apa yang dipanggil Malayan Union. Ketika itu lebih 40 buah pertubuhan melayu seantero negara telah bergabung, berjuang dan berjaya menghalang niat jahat British itu. Namun bak kata pepatah 'ku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari', keris yang disangka keramat itu telah berubah menjadi keris sumpahan kerana semasa Tunku memegang takhta, Umno sudah berpecah dua kali iaitu dengan tertubuhnya IMP dan PAS.

Perpecahan ini berpunca dari kesilapan pemegang kerisnya yang dikatakan langsung tidak menghormati unsur keramat yang terdapat pada keris itu. Kebanyakan orang tahu yang Tunku bukanlah jenis pemimpin rakyat marhaen, sebaliknya beliau lebih suka bergaul dengan masyarakat ningrat (kelompok elit) yang didominasi orang cina hinggakan terdapat cerita yang mengatakan beliau gemar berjudi di atas kapal bersama taukeh-taukeh besar ketika itu. Sikap beliau yang kurang bertanggungjawab pada rakyat telah menyebabkan keris sumpahan menunjukkan amarahnya pada tragedi 13 May 1969.

Sebaik-baik sahaja Tun Razak menaiki takhta, beliau tahu dan amat faham bahawa keris sumpahan itu hanya mengganas apabila pemegangnya cuba mengkhianati amanah rakyat. Sebagai langkah meredakan keris sumpahan, Tun telah membawa PAS pulang kembali ke dalam kabinet Barisan Nasional dan buat sementara waktu keris itu berubah menjadi keris keramat. Namun di zaman Tun Hussein keadaan telah berubah sama sekali apabila PAS telah ditendang keluar dari pakatan BN, yang menyaksikan keris keramat mengganas kembali bersama-sama kapak-kapak kecil yang menghujani segenap pelusuk Kelantan. Dan tanpa disedari, Tun Hussein telah disumpah menjadi Perdana Menteri yang paling singkat dalam sejarah Malaysia yakni sepenggal. Begitulah betapa kuatnya sumpahan keris keramat tersebut hatta jawatan seperkasa perdana menteri pun gagal menundukkan kuasa hikmatnya. Tidak hairanlah apabila insan sekarisma Anwar pun tewas angkaranya, walaupun ketika itu beliau telah menjadi orang nombor dua terkanan dalam pentadbiran kabinet kerajaan Persekutuan Malaysia.

Teori Ketiga: Mahathir Cuba Memanipulasi Keris Keramat

Sejurus selepas Tun Hussein Onn meletakkan jawatan secara 'gentleman', tibalah giliran Mahathir meniti puncak kuasa sebagai Perdana Menteri. Antara tindakan pertama yang dilakukannya adalah membebaskan tahanan Internal Security Act. Berdasarkan pemahaman saya, Che Det amat mengerti pada kuasa keramat yang terdapat pada keris yang diwarisinya. Maka beliau amat berharap dapat memujuk keris itu supaya berhenti dari mengganas dan menyumpah mereka yang dianggap pengkhianat amanah rakyat. Arakian, selepas beberapa waktu berlalu Che Det mula berasa tertekan kerana tidurnya sering diganggu paranoid bahawa keris itu akan menikamnya dari belakang, atau mungkin beliau juga akan menerima sumpahan yang sama seperti Tun Hussein Onn. Sesuatu perlu dilakukan, tapi apa? Inilah yang menghenyak pemikiran beliau sepanjang detik-detik awal menjadi Perdana Menteri.

Suatu malam yang gelap dan sunyi, Che Det telah memperasap keris keramat tersebut dan meneliti strukturnya. Beliau mendapati keris yang kononnya keramat itu rupa-rupanya sudah tumpul akibat terlalu lasak berkhidmat untuk negara. Ketumpulan keris itu menatijahkan Mahathir untuk menarik nafas lega – sesuatu yang pertama kali dilakukan beliau sejak menaiki takhta Perdana Menteri. Pada hemat saya, keris itu tumpul akibat dipaksa bekerja keras selama 35 tahun (waktu itu tahun 1981) menjaga kebajikan serta kepentingan orang Melayu, selain berfungsi sebagai sumpahan keramat kepada mana-mana pemimpin Melayu yang tidak jujur dalam menjalankan tugas.

Ada di kalangan kita yang menganggap sudah tentu keris tumpul tidak mampu membawa bencana lagi kepada Umno. Sebenarnya anda telah silap, sekalipun keris itu sudah ketumpulan dari segi hikmat dan keramatnya, namun ia masih mampu menyumpah seseorang yang menduduki takhta Timbalan Perdana Menteri, buktinya Musa Hitam, Ghafar Baba dan Anwar Ibrahim telah kecundang akibat keris ini. Apapun, ia tidak mampu lagi untuk membawa bencana kepada Perdana Menteri. Inilah khabar gembira seolah-olah keris itu sudah menjadi hak milik kekal Che Det. Dengan demikian, dia berupaya melakukan apa saja yang terfikir/terlintas di hati. Demikianlah Che Det berjaya mengawal kehebatan keris itu mengikut kata hatinya.

Sebelum saya meneruskan bicara, eloklah kita nilai dahulu Dr. Mahathir, sebelum, semasa dan pasca menjadi Perdana Menteri.

Sebelum menjadi Perdana Menteri, beliau membuka sebuah klinik bernama Klinik Maha dan berkhidmat membantu menaiktaraf kesihatan masyarakat marhaen. Pernah dipetik dari kata-kata Almarhum Dato' Fadzil Noor dalam satu kenyataan lebih kurang bermaksud begini;

"Dulu saya dan keluarga suka pergi ke Klinik milik Mahathir. Dia kalau orang miskin dia tak ambil duit (rawat percuma), kami lebih senang dengan dia kerana di situ terdapat bilik solat (untuk memudahkan pesakit bersembahyang). Tak sangka dia berubah..."

Selain itu Tun Mahathir secara konsisten menyerang pentadbiran Tunku Abdul Rahman yang dilihat tidak memberi manfaat kepada orang Melayu. Akibatnya, beliau telah disingkirkan dari Umno. Sewaktu mula-mula dipecat, tiada siapa dari Umno yang mahu mendekatinya - sehingga beliau terpaksa menggunakan platform PAS untuk menerangkan keadaan sebenar kepada rakyat. Ketika itu beliau dianggap sebagai wira yang berjuang untuk kepentingan bangsa dan agama.

Semasa beliau menjadi PM, Tun Dr. Mahathir telah berubah 360 darjah (akibat dipengaruhi kuasa hikmat keris tersebut). Dasar-dasar tempang dan kezaliman telah digunapakai bagi mengekang penentang-penentangnya dari menyuarakan bantahan mereka. Tindakan ala pemimpin Niccolo Machiavelli ini telah menyebabkan ruang demokrasi menjadi sempit dan tersepit. Pembangkang seolah-olah terperosok di sebuah lohong hitam yang tidak bercahaya, hinggakan di Malaysia rakyat sudah menganggap pembangkang telah pupus. Antara tindakan keras yang dilakukan Che Det adalah Operasi Lalang 1987 yang menyaksikan Karpal Singh, Mat Sabu, Lim Guan Eng dan ramai lagi tahanan politik pembangkang ditahan / diberi cuti beristirahat di Kamunting Hotel. Terdapat banyak lagi operasi antaranya Operasi Dalil dan juga Operasi Omega (Pengakhiran) yang menyaksikan Pak Abu (Saari Sungib) ditahan ISA sebanyak dua kali. Dipercayai tindakan kerasnya itu adalah berdasarkan kepada menifesto 'Umno perlu memerintah Malaysia hingga ke Infiniti', saya kutip persepsi ini dari moto Dulu, Kini dan Selamanya.

Setelah menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun (zaman Gelap 1981-2003) maka Mahathir pun turun takhta. Jika beliau berdegil mempertahankan jawatan PM untuk sepenggal lagi, berkemungkinan Pilihanraya 2004 bakal merakam sejarah beliau ditongsampahkan secara aib oleh rakyat (yang ketika itu sudah mula naik muntah melihat mukanya di media perdana). Sepanjang 22 tahun itulah, keris yang dahulunya keramat dan punya kuasa sumpahan itu sudah diubah menjadi sebuah keris khianat, ya keris khianat. Mengapa keris khianat? kerana keris itu sudah boleh dikawal dan disalahgunakan, selain itu tugasnya bukanlah untuk menikam orang sahaja, sebaliknya keris khianat Umno Baru ini diperhebatkan dengan tambahan portfolio baru, yakni menikam segala kantung duit /dana pembangunan negara dengan satu tujuan, mengembungkan poket-poket penjilat Umno, kroni-kroni, proto-kroni, sanak saudara dan sesiapa saja yang dirasakan sesuai untuk mendapat agihan duit cukai rakyat itu. Yang kekal miskin orang Melayu, yang kekal hina orang Melayu.

Pasca perdana Menteri, beliau sekali lagi berubah 360 darjah. Ketika anda membaca tulisan saya, pastinya anda sedar bahawa beliau begitu rancak menyusun jadual ceramah bagi memaksimumkan sisa-sisa nyawanya menggugat AAB Inc. pimpinan Pak Lah. Beliau telah menyelar kerajaan hari ini dengan pelbagai kesalahan, kebobrokan dan kelemahan pentadbiran masa kini, terutamanya dalam soal hubungan dengan Singapura, pengaruh Tingkat 4 dan keperkasaan Khairy iaitu seorang insan yang dikatakan memiliki pengaruh yang amat kuat persis Perdana Menteri. Kebanyakan salah laku yang didakwanya itu pernah dilakukan oleh dirinya sendiri sepanjang menjadi Perdana Menteri Malaysia Ke-4. Apa sudah jadi? Mengutuk perdana menteri sekarang sama seperti mengutuk diri sendiri. Saya ambil beberapa cebisan kenyataan Tun di dalam majlis di ibu kota pada 24 Jun 2006, lebih kurang berbunyi begini:-

"Saya tahu saya ni kotor dulu, toksahlah pi cari kesalahan saya (Dan tutup kesalahan kepimpinan masa kini)"

"Sekarang tangan saya busuk orang tak mau cium"

"Mengata paku dulang serpih, mengata orang dia yang lebih"

Seolah-olah dia seperti tersedar dari mimpi, sebenarnya inilah yang dikatakan sindrom pulih dari mabuk kuasa selepas keris khianat bertukar tangan mendukung orang lain pula. Beliau seperti terkejut beruk tatkala melihat banyak kerosakan yang dilakukannya dulu sudah membarah hingga ke tahap kronik sekarang. Semua sedia maklum beliau adalah perintis kepada budaya ampu 'saya sokong' di kalangan menteri Kerajaan Persekutuan Malaysia, kemudian beliau berkata kononnya 'dulu dia ingat menteri tu sokong kerana apa yang dibuatnya itu untuk kebaikan negara'. Inilah dia contoh lidah bercabang yang mengelirukan minda rakyat.

Tidakkah anda terbayang apa akan jadi kalau ada menterinya dulu kata 'saya tidak sokong'. Apa agaknya yang bakal berlaku pada menteri tersebut? Sila tanya Anwar.

Teori Terakhir: Amat Bahaya Menyokong Mahathir

Keris Khianat itu sekarang jatuh ke tangan orang lain yang bersekongkol dengan PM. Seperti yang diduga kabinet Umno/BN kekal tunduk kepada sesiapa pun Perdana Menteri, sekalipun hati mereka mengatakan 'tak mau tunduk', namun kuasa keris itu jauh mendahului kudrat mereka. Lebih baik teruskan saja berkata 'saya sokong' dari menanggung azab seksa seperti yang pernah ditimpakan kepada Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Sekalipun Mahathir tahu cara menggunakan keris itu kerana beliaulah orang pertama yang memperasapkannya, hakikat tetap hakikat. Keris itu tidak boleh menikam Perdana Menteri walau apa cara sekalipun. Justeru, bersama dengan Mahathir boleh menyebabkan anda terdedah untuk menerima bahana tikaman tumpul Keris Khianat, tumpul tapi bisanya masih amat menyakitkan. Disebabkan pengaruh kuasa Keris Khianat itulah maka Pak Lah sudah berubah dari 'elegant silent' kepada seorang penyerang balas. Beliau sudah hilang sabar sekarang. Sebagai contoh anda boleh menonton rancangan 'Bermuka - muka Bersama PM' yang telah bersiaran baru-baru ini, ataupun menganalisis amaran kerasnya kepada bloggers yang mendapat liputan meluas media beberapa minggu lalu.

Saya ulangi sekali lagi, amat bahaya memerangi Abdullah melalui Mahathir, kerana kekebalan / kesaktian Mahathir iaitu keris khianat sudah terlepas cengkamannya kepada insan yang bernama Khairy Jamaluddin. Bersama dengan Mahathir bermakna anda sedang bersama dengan orang yang tidak punya apa-apa kuasa, yang tidak berdaya melakukan gelombang yang diharapkan oleh pembangkang. Kalau adapun gelombang, ia tidak ubah laksana kocakan air ketika hujan renyai semata-mata. Mengapa saya berkata begitu?

Sila rujuk kembali salah satu epik peperangan antara Nazi Jerman dan Soviet Union ketika perang dunia kedua sedang berlangsung dahulu. Suka saya memetik salah satu pertempuran berstrategi Soviet yang dijadikan asas dalam teori saya kali ini.

Dihikayatkan bahawa tentera Nazi yang tersusun rapi telah menyerang ketumbukan orang Soviet yang bergerak dalam keadaan tidak terurus, malahan sebahagian besar dari orang Soviet itu bukannya askar dan mereka tidak pun tahu menggunakan senjata. Akhirnya orang Soviet tumbang dan Nazi pun menyeberang sempadan Jerman – Russia dengan satu perasaan bangga, menumpaskan ketumbukan yang disangka askar Soviet itu.


Ketika itu musim sejuk dingin, namun Nazi terus bersemangat untuk mara melanggar Stalingrad kerana menyangkakan askar Soviet sudah hancur lebur memandangkan sepanjang perjalanan ke sana mereka langsung tidak menghadapi tentangan sengit dan kalaupun terjadi pertempuran, mereka menang mudah. Keadaan ini menyebabkan Nazi semakin bongkak, angkuh dapat menakluki Stalingrad dan menundukkan komunis Soviet.

Tiba-tiba sesampainya di Stalingrad, secara mendadak keluarlah semua ketumbukan Askar Soviet yang selama ini disangkakan sudah tewas itu. Maka berlakulah kepungan dan gempuran sengit ke atas tentera Nazi, Nazi tidak menyangka rupa-rupanya selama ini yang mereka lawan hanyalah penduduk tempatan semata-mata, dan orang Soviet sengaja membiarkan Nazi menang mudah sebagai cara mendorong mereka untuk terus mara ke jalan maut di Stalingrad. Akhirnya kepungan di Stalingrad berakhir dengan musnahnya Nazi di tangan Soviet. Dalam keadaan musim sejuk di saat bekalan makanan, pakaian dan ubat-ubatan telah habis, pihak Nazi tiada pilihan kecuali mati.

Moral cerita ini adalah Nazi - Parti Pembangkang Terutamanya PAS + Mahathir, Soviet - Pak Lah & AAB Inc, Stalingrad - Kes Saman Anwar Terhadap Mahathir. Mari kita cuba renung bersama dan menganalisis situasi masa kini.

PAS yang dilihat rapat dengan Mahathir berada dalam keadaan amat yakin dan sangat selesa dengan isu-isu baru yang diperolehi, majoritinya tertumpu pada Khairy Jamaluddin semata-mata. Lalu Khairy pun bermuka-muka seolah-olah beliau lemah dan berbuat silap akibat beberapa tindakan yang disifatkan 'menjual negara'. Baru-baru ini, kita lihat Khairy cuba menjawab lemah dakwaan-dakwaan pembangkang dan Mahathir, tetapi jawapan beliau tidak pula melembutkan hati pembangkang, malahan pembangkang menjadi semakin lantang dan bengang dengan Khairy.

Di saat pembangkang melancarkan serangan bertali arus seperti roket Katyusha menghentam Nazareth, Khairy dilihat semakin membuka keaiban dan kesilapannya. Hinggakan baru-baru ini beliau tidak menjawab dengan betul kritikan pembangkang, sebaliknya Khairy masih sempat berhibur dengan mengipas isunya bersama Maya Karin yang dilihat tiada maknanya. Tindakan beliau hanya bertujuan menaikkan darah Pembangkang supaya mereka lebih kerap mengkritiknya. Baru-baru ini beliau dilihat cuba mengendur kemarahan rakyat dengan menjual semua sahamnya dalam ECM Libra. Hakikatnya beliau kini sedang berlakon seperti seorang insan yang terperosok di dalam kandang salah. Seolah-olah beliau memang salah dan silap membuat perhitungan.

Keadaan ini sudah pasti memberi keuntungan yang bersifat global kepada PAS kerana Parti Islam ini dilihat sebagai satu pertubuhan politik yang banyak membuat untung hasil dari perpecahan dalaman Umno. Namun kali ini PAS silap kerana Khairy bukanlah seperti Anwar Ibrahim ataupun Tengku Razaleigh Hamzah. Khairy adalah insan yang sofistikated dibantu dengan para strategis lulusan Oxford - Cambridge yang kalaupun dikata berhingus, tidaklah setebal hingus graduan Universiti Teknologi Mara dan konco-konconya.

Ketika zaman Ku Li dan Anwar, PAS mendapat banyak faedah antaranya berjaya merampas negeri Kelantan (1990) dan Terengganu (1999). Sekarang dongengan sudah mula diungkap bahawa PAS di bawah bantuan Mahathir mampu untuk menawan dua buah negeri Malay Belt bernama Kedah dan Perlis, hasil dari isu Khairy Jamaluddin dan AAB Inc. Dan mungkin juga terdapat segelintir anggota PAS yakin mampu menghakis Khir Toyo di Selangor. Pada saya semua penyataan di atas tidak lebih dari sekadar ilusi optik semata-mata.

Hakikatnya ketika ini Khairy tidak berminat untuk mengetahui popularitinya di peringkat rakyat marhaen. Beliau sedang mempunyai satu misi mustahil untuk meningkatkan pengaruhnya di kalangan perwakilan Umno, memangkas segala kebarangkalian serangan bersifat gerila yang mungkin dilancarkan oleh konco-konco Mahathir di dalam kem pemuda Umno, terutamanya di kawasan Kedah, Perlis dan Kelantan serta melemahkan seramai mungkin pemuda-pemuda Umno yang mahu menegakkan kebenaran dan membuat perubahan. Inilah yang dilakukan Khairy Jamaluddin sekarang dalam mencatur politik 'mileage'nya.

Pada masa yang sama, beliau lebih senang dan gembira melihat PAS kerap mengasak dan mengutuk peribadinya (dan dia hanya mengulas sambil lewa sambil menunjukkan isyarat bahawa dia memang bersalah). Sekarang serangan PAS dan pembangkang amat terarah pada Khairy dan AAB Inc., dan golongan ini berasa semakin yakin untuk mencatat kegemilangan persis era 1999 dahulu. Kini ramai anggota bawahan PAS berasa amat seronok melihat saham PAS tiba-tiba naik selepas isu Khairy dibangkitkan. Ada di antara mereka sudah hanyut dibuat arus mimpi indah bahawa kejayaan akan mengiringi mereka semasa Pilihanraya ke 12 nanti.

Sekali lagi saya tegaskan ini semua tidak lebih dari sekadar ilusi optik sahaja. Saya memohon maaf kerana terpaksa menyatakan pandangan yang tidak mengikut arus politik masa kini, namun apa yang saya terangkan hanyalah pandangan yang kami kongsi dari lapisan bawahan.

Faktor kejutan amat ditagih dan diyakini mampu membawa kejayaan dalam berpolitik. Untuk pengetahuan anda Khairy sedang berusaha melahirkan faktor itu agar semua pimpinan pembangkang jatuh terduduk, kelu berkata-kata dan hilang punca ketika berdepan dengan pilihanraya nanti. Kalau anda perasan, Umno tidak mengungkit soal saman Anwar ke atas Mahathir dalam media perdana (sekurang-kurangnya pada waktu ini), ini kerana mereka berpegang pada prinsip ‘simpan dahulu keseronokan itu’. Ketika ini hal saman Anwar langsung tidak disentuh sehingga rakyat terlupa WIRA yang mereka sambut di Kelantan baru-baru ini sebenarnya sedang bersiap sedia untuk di bawa ke 'guillotine' dan di situlah beliau menerima pengakhiran yang hina seperti Saddam Hussein, Marcos dan Shah Iran.

Kes Anwar ke atas Mahathir berstatus politik, dan berkemungkinan ia dijadikan 'trump card' oleh Umno untuk meraih sokongan rakyat semasa pilihanraya nanti. Sekarang mereka sedang memeramkan kes itu ke satu tarikh yang dekat dengan pilihanraya. Sekiranya ini terjadi, ketika itu di media perdana kes Mahathir bakal dijadikan subjek utama dalam berita-berita utama mereka - dan dibantu dengan Sindrom Melayu Mudah Lupa, rakyat akan hilang punca mengenai Khairy dan kroninya, kerana Mahathir sudah menjadi topik perbualan hangat dan lebih hangat dari sembang-sembang Piala Dunia.

Andai ia berlaku, PAS akan terjelupuk jatuh kerana sudah pasti Umno akan mengaitkan PAS dengan Mahathir dalam kempen politiknya (perlu diingat, gambar pemimpin PAS di Majlis 24 Jun yang kelihatan erat persis 'Teman Tapi Mesra' dengan TDM akan dimanipulasikan semula). Segalanya mungkin kerana Umno punya pengaruh media yang amat besar di tanah air, dan sekali lagi saya mengingatkan anda, mereka ada Keris Khianat yang antara zatnya adalah menghasilkan 'genjutsu' (bahasa Melayu: khayalan). Adapun Keris Khianat itu mampu melakukan sesuatu yang tidak mampu dilakukan pembangkang, iaitu menukar amarah rakyat kepada 'saya sokong' dengan bersenjatakan hamparan duit sahaja. Maka dengan itu, rakyat akan terus dikotak-katikkan, dipermainkan dan suara mereka akan terus dipandang sepi kerana mempunyai jati diri yang lemah.

Persepsi politik ini saya kumpul hasil dari pengalaman / pemerhatian saya semasa pilihanraya 1995, 1999 dan 2004. Harus diingat dalam politik anda tidak boleh menggunakan strategi yang sama berulang kali. Anda juga tidak boleh menggunakan pendekatan yang sama terhadap dua tokoh yang berlainan. Adakah mungkin Khairy sekarang sedang ketawa terbahak-bahak apabila melihat anggota PAS sedang dilanda 'conflict of interest' antara Anwar dan Mahathir?

Akibat virus bernama Mahathir itu, maka Keris Khianat telah mula menjalankan sebuah gerakan licik untuk merosak dan merapuhkan pertalian yang dibina KeADILan dan PAS. Keris Khianat mempunyai media perdana yang boleh memanipulasikan penonton yang majoritinya adalah orang Melayu – Islam. Kalau serangan media berjaya dipatahkan, pembangkang terpaksa berdepan pula dengan ancaman parti komponen Barisan Nasional ke-15, iaitu Suruhanjaya Pilihanraya (EC).

Kesudahannya, pembangkang umpama askar Nazi yang pada mulanya begitu berani dan bersemangat waja. Tiba-tiba apabila kes Mahathir diheret ke mahkamah, segala sokongan yang terbina selama ini musnah begitu sahaja dan percayalah, Red Army (Umno-BN) ketika itu akan menyerang barisan pembangkang habis-habisan sambil menggula-gulakan rakyat dengan pelbagai promosi pembangunan 'modal insan', 'konsep Islam Hadhari' dan pelbagai mitos-mitos politk dan janji-janji manis yang bisa meruntun kalbu dan mencairkan hati rakyat untuk mengundi dacing. Apabila fajar baru menjelma di satu pagi yang hening, orang-orang PAS bangun dari tidur nyenyak dan secara tiba-tiba mendapati mereka sudah kehilangan Kelantan. Mahukah PAS perkara itu berlaku? Dengan duit, segalanya mungkin.

Jika benar KeADILan mahu menang, jika benar PAS mahu menang, maka carilah kekuatan sendiri dan tidak perlulah anda terlalu bergantung harap sangat pada Umno-BN yang sebenarnya sudah serik di atas dua kes terdahulu (Kes perpecahan UMNO 1987 dan Pemecatan Anwar). Untuk kali ketiga ini, mereka akan berusaha mati-matian menegakkan benang basah dan percayalah politik mampu berubah landskap dunia hanya dalam tempoh sedetik sahaja. Kerana itulah pembangkang gagal semasa PRU 2004 (Walaupun sememangnya ada banyak faktor teknikal di situ).

Sekali lagi saya memohon maaf andai ada yang terluka dengan sedikit analisis dan huraian teori pada tulisan saya kali ini. Buat pesanan bersama, marilah kita berusaha memberi kesedaran pada rakyat, bahawa sesungguhnya undi mereka tidak boleh dibeli hatta dengan RM 1 Juta sekalipun. Nyatakan pada rakyat bahawa undi mereka amat penting dalam menjana reformasi politik secara menyeluruh di dalam negara. Strategi yang tersusun wajar dibina bagi mengekang keperkasaan Umno-BN yang semakin angkuh dan sombong itu. Tunjukkan kepada rakyat sesungguhnya pembangkang mampu memerintah dengan lebih telus dan adil.

Berusahalah membongkar salah laku Umno-BN sebelum terlambat. Seboleh-bolehnya dibuat satu sisipan propaganda khas yang dilengkapi grafik dan informasi yang mudah diterima rakyat jelata, dan bagi yang beragama Islam - berdoalah banyak-banyak kepada Allah s.w.t, senantiasalah memohon taufiq dan hidayah dariNYA. Sekarang adalah masa terbaik untuk kita bermuhasabah diri ke arah melakukan reformasi merubah semua kerosakan moral, sosial, ekonomi dan politik yang telah dicanting oleh Umno-BN sepanjang separuh abad bertakhta di persada negara Malaysia.

Ketahuilah sesiapa yang terlibat dalam sahsiah politik itu umpama berada di tebing gaung yang sangat curam. Tergelincir sedikit padahlah akibatnya. Akhirul kalam, JADIKAN REFORMASI PILIHAN HATIMU.
posted by jasindaily online @ 5:59 PM  
0 Comments:
Post a Comment
<< Home
 
DPPKJASIN

Name: jasindaily online
Home: Jasin, Melaka, Malaysia
About Me: Di bangunkan pada bulan April 2005
See my complete profile
CORETAN YANG LALU
ARKIB JASNIDAILY
POWERED BY

Free Blogger Templates

BLOGGER

© 2005 Info Template by Isnaini Dot Com