Senario baru pula timbul apabila Mahathir mulai tidak berpuashati dengan Abdullah Badawi dan menyerang kepimpinannya yang lemah itu. Bermula dari situ, ramai pula yang menjadi pening-pening lalat dan tidak menentu pendirian politik mereka.
Semua ini pasti ada latar belakang sejarahnya. Maklum sajalah, dulu ketika Anwar dipecat daripada Umno, ada pihak yang mendapat faedah daripadanya.
Kini Mahathir pula dirundung malang. Terbuka satu lagi peluang baik yang tidak harus dilepaskan begitu saja. Sebab itulah, semenjak akhir-akhir ini Mahathir mendapat layanan serupa seperti Anwar dulu.
Peminat-peminat komik tidak perlu menjelaskan kepada kita bahawa watak Superman yang boleh terbang itu adalah hayalan semata-mata. Buat apa sudah terang lagi bersuluh?
Semua orang tahu, selain daripada tujuan keuntungan, komik Superman atau yang sejenis dengannya direka untuk hiburan dan memenuhi selera kanak-kanak dan mereka yang keanak-anakan. Begitu juga dengan dongeng Melayu seperti Si Badang yang mahakuat sehingga boleh mencabut pokok mahabesar setelah memakan muntah hantu dan syaitan.
Jadi, mengapa menaruh ilusi atau harapan tinggi melangit terhadap kemampuan orang perseorangan untuk membawa perubahan besar kepada negara dan rakyat? Pepatah Inggeris ada menyebutkan Rom tidak terbina dalam sehari. Begitu juga, piramid bukannya oleh seorang yang bergelar firaun.
Mengikut sejarah dari dulu hingga sekarang, sama ada piramid di Mesir, tembok panjang di China atau apa sahaja ciptaan manusia yang terkenal di dunia termasuk Menara Kembar di Kuala Lumpur, semuanya adalah hasil daripada keringat, air mata dan darah puluhan ribu manusia yang mengerjakannya. Tanpa sumbangan "kecil" dari mereka, tidak mungkin akan wujud apa yang dibangga-banggakan sebagai keajaiban dunia hari ini.
Justeru itu, kita harus memahami serta menghayati hakikat bahawa sejarah sesebuah negara adalah sejarah massa rakyatnya; ia tidak mungkin dibina atas asas dongeng yang memitoskan satu atau beberapa orang tokohnya!
Merujuk semula kepada persoalan hubungan antara Mahathir dengan parti pembangkang atau sebaliknya (yang mana satu?), ada sedikit fakta yang mesti diambilkira.
Apakah status Mahathir dalam Umno hingga hari ini? Sekiranya dia masih anggota Umno dan kesetiaannya tumpah di sana, di mana letaknya lojik dia boleh bersemenda dengan parti lain?
Tidak perlu ambil ujian DNA. Semua orang tahu bahawa dari kulit sampai ke isi, tulang dan darah Mahathir semuanya diperbuat daripada ramuan Umno. Dia sudah beberapa kali menegaskan statusnya dalam Umno selagi dia tidak dipecat.
Sehubungan itu, dia tidak juga mengkritik Umno atau dasar perjuangan parti itu. "I only criticised the leader who swayed away from the wishes of Umno [Saya cuma mengkritik pemimpin yang menyeleweng daripada cita-cita Umno]," katanya selepas satu majlis di mana beliau berucap di Universiti Petronas beberapa hari yang lalu.
Mahathir pun tidak murka kepada seluruh barisan pimpinan Umno. Dia cuma merasa tidak senang sedikit dengan Abdullah yang sayapnya sudah mulai keras itu, dan kurang jinak sekarang. Mahathir juga marah terhadap beberapa orang juak yang mengelilingi PM itu - termasuk menantunya, Khairy.
Tetapi, seandainya semua orang ini sudah tiada setelah disingkirkan, dan projek-projek besar rancangan Mahathir dulu diteruskan, apa lagi masalah yang tinggal?
Mata tombak Mahathir sesungguhnya tidak menghala ke Najib walaupun dia orang nombor dua dalam kabinet Abdullah. Sebab itulah.......
Dari semua sudut dan kenyataan di atas, memang tidak logik dan mustahil Mahathir boleh menjalin asmara dengan parti pembangkang. Tetapi, kalau ada yang mahu cuba berangan-angan seperti Mat Jenin, biarkanlah......
Cuma yang malangnya, kawan-kawan dan sahabat tentu akan merasa sedih sedikit jika ada pihak lain yang akan mencebikkan bibir. Mereka tentu berfikir dari dulu sampai sekarangpun ada orang politik pembangkang yang masih boleh dipermainkan oleh Mahathir walaupun dia sudah tidak berkuasa lagi.
Tetapi, siapa yang nak dipersalahkan?
Dalam perkara yang sama, ada satu lagi pendapat begini: Kononnya, kalau Anwar boleh masuk dan memimpin Umno nanti, mengapa pula Mahathir tidak boleh masuk dan memimpin pembangkang?
Isunya bukan boleh ataupun tidak boleh.
Awal-awal tadipun kita sudah menolak kemungkinan persenyawaan antara Mahathir dengan pembangkang. Di sini saya cuma hendak menyentuh alasan yang digunapakai oleh golongan yang mahukan Mahathir itu.
Ia boleh dirumuskan lebih kurang begini: Musuh kepada musuh "kita" adalah kawan "kita".
Dengan perkataan lain, jika "kita" bermusuhan dengan "A", dan Mahathir pun bermusuhan dengan "A", maka "A" bukan saja musuh bersama, tetapi antara "kita" dan Mahathir sudah menjadi kawan.
Tetapi dalam konteks yang sebenar sekarang, sementara "kita" melihat "A" sebagai Umno/BN, Mahathir pula tidak begitu. Baginya, "A" ialah Abdullah Badawi yang kebetulan saja menjadi Presiden Umno/BN.
Bererti, di antara "kita" dan Mahathir, mereka tidak melihat sasaran yang sama. Bagi Mahathir khasnya, hubungan dia dengan Umno/BN sepertilah peribahasa Melayu: "Air dicencang tidak akan putus".
Jika "taktik" ini diteruskan, saya bimbang akhirnya akan timbul kekeliruan sesama sendiri tentang siapa sebenarnya kawan dan lawan.
Kemudian, tentang masalah Anwar nak masuk Umno.
Dalam hal ini saya tidak mempunyai cadangan apa-apa kecuali meminta Anwar mempertimbangkan sungguh-sungguh nasihat seniman P. Ramlee (pencipta lagu "Azizah" yang sangat diminatinya) supaya ambil kapak nakku belahkan dada.....
Saya betul-betul hairan mengapa andaian seperti "kalau" Anwar masuk Umno itu masih lagi tebal dalam benak sesetengah orang.
Jika sungguh Anwar memilih untuk menyertai Umno dengan tujuan untuk membersihkan "tong najis" itu dari dalam, so what?
Tetapi, sekiranya tidak, mengapa buat andaian? Apakah dengan cara begini orang lain tak kata apabila kita sendiri memilih untuk bergelumang dengan najis?
Najis tetap najis, tak kira mughallazah, mukhaffafah atau mutawassitah.
Selain itu, apa faedahnya menaruh syak terhadap seseorang semata-mata atas andaian "kalau" dia begitu, "kalau" dia begini?
Mereka yang dari kecil lagi sudah dipupuk dan diajar supaya tidak bersifat syak wasangka terhadap orang lain tentu menyedari betapa besarnya dosa orang yang menaruh perasaan keji itu.
Ia bukan sahaja menyalahi agama, tetapi bertentangan juga dengan prinsip moral dan etika yang lain kerana ia (syak wasangka) boleh mengakibatkan perpecahan dan kemusnahan sesama sendiri.