Scroll images by bigoo.ws

DEMI MASA

Demi masa. Sesungguhnya manusia benar-benar berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.

LAJNAH DPPKJ
KENALI PAS
PAK LAH DERHAKA,MAHATHIR DERITA, ANWAR KETAWA
Wednesday, July 12, 2006
Sabtu 24 Jun 2006, tempat letak kereta di Century Paradise Melawati penuh, ratusan kereta terpaksa diletakkan di tepi jalan. Kesemuanya mahu menyaksikan dengan mata kepala, mendengar dengan sendiri isytihar 'perang' Tun Mahathir terhadap Pak Lah yang dituduh menikamnya dari belakang, betulkah mereka sudah berpatah arang berkerat rotan? Apa sudah jadi kepada pemimpin negara kita ini? Hilang akal ke? Apa hendak jadi pada rakyat selepas ini?

Betulkah Pak Lah tidak memberi keutamaan kepada 'kedaulatan' bangsa dan tanahair seperti Tun Mahathir menarik imuniti dari raja-raja? Macam mana tiba-tiba saja 'Mr Clean Man', Tun Mahathir boleh tukarkan jadi 'Mr Con Man'? Kasihan Pak Lah seorang Perdana Menteri jadi seorang penderhaka seperti gurunya Musa, derhaka?

Sejauh mana benarnya Pak Lah sudah menjual bangsa dan tanahair atau kisah jambatan bengkok yang menghubungkan Johor Bahru dengan Pulau Singapura yang sebesar kacang putih boleh bertukar menjadi sebesar buah tembikai kerana lidah Mahathir untuk mengekalkan dirinya sebagai seorang champion?

Apa punca dendam Mahathir terhadap 'budak berhingus' keluaran dari Oxford sehingga Tun Mahathir terpaksa menghadiri pertarungan sandiwara yang dianjurkan oleh Malaysia Today.net kini dibawah pimpinan Raja Petra.

Kuah kari bila tumpah ke nasi, enak di makan tapi bila tumpah ke baju putih, kotor. Begitulah najis bila berada di dalam perut ianya bersih. Bidalan 'shit' curry teringat buku 'Shit' Shahnon PM.

Tun penjual roti benggali di Langkawi akhirnya tiba dengan kereta Porsche Cayanne yang berharga lapan ratus ribu, yang AP dimiliki oleh Mokhzani. Syarikat anaknya pengimport kereta mahal. Mokhzani juga pernah memiliki hospital. Mirzan pernah memiliki syarikat perkapalan semasa Tun menjadi Perdana Menteri dan terkenal sebagai raja pengangkutan Malaysia. Tun Mahathir mudah lupa.

Datuk Ruhanie Ahmad (Ron), penulis buku mengenai jambatan bengkok, Norzah Kepol pengarang Buletin Rakyat, Raihan, Rosli Ismail dari Agendadaily, Zahrain Mohd Yassin@Sang Kelembai, M Raffee (penulis buku skandal Datuk Bandar) dan ramai lagi wartawan politik dari media arus perdana dan website turut hadir.

YB Datuk Husam Musa, Salahuddin Ayub, Ketua Pemuda PAS, Naib Presiden, Mahfuz, Nasharuddin Mat Isa Timbalan Presiden dan NGO-NGO selain dari ahli UMNO yang jadi mata, telinga Pak Lah termasuk mereka yang menunggu untuk menjadikan ceramah Tun Mahathir untuk menghentam Pak Lah. Bila lagi hendak menangguk di air keroh?

Pengaruh Mahathir nampaknya masih di tangga atas, cakapnya 'masih masin', boleh jadi berita sensasi, boleh jual ketika ramai orang marahkan Pak Lah. Orang ramai nak tahu cerita yang sebenar. Hanya kebenaran saja boleh menghapuskan penipuan dan kepalsuan maka kehadiran para pemikir, penganalisa dan penulis yang ikhlas perlu.

Maka tertumpulah seluruh perhatian kepada shadow boxing yang pelik dan ajaib oleh Mahathir yang mesti didokumentasikan. Penulis adalah telinga, mata dan suara rakyat. Saya tidak terhutang hidup pada Tun Mahathir, tidak terhutang budi pada mana-mana pemimpin, boleh melapor dan mendedahkan apa yang terselindung.

Saya tidak penting, anda tidak penting, Dr. Mahathir tidak penting, Pak Lah tidak penting, Anwar Ibrahim, Musa Hitam tidak penting, UMNO tidak penting. Yang penting ialah apa yang benar dan apa yang hak. Yang penting ialah siapa yang berada di pihak yang benar.

Antara negara dan UMNO, yang penting bukannya UMNO tetapi negara. Antara UMNO dan Mahathir, yang penting bukannya Mahathir, tetapi UMNOlah yang penting. Memang UMNO penting. Ianya tulang belakang kerajaan Barisan Nasional. Kalau nama Presiden busuk, bahayalah UMNO, kasihan UMNO, UMNO rosak.

Pemimpin dicipta oleh orang ramai untuk berkhidmat kepada orang ramai. Pemimpin datang dan pergi kerana itu, bagi saya pemimpin lawan pemimpin tidak penting. Perlawanan antara pemimpin dengan pemimpin tidak akan berakhir dengan menang dan kalah. Buat penat saja. Satu perlawanan yang sia-sia. Jadi siapakah sebenarnya yang berlawan dan dengan siapa? Jawabnya ialah kita semua berlawan. Dan perlawanan yang paling besar sekali iaitu perlawanan dalam diri kita sendiri.

Tiba-tiba saya teringat, ketika pulang dari Perang Badar, peperangan yang besar di zaman Nabi Muhammad SAW, baginda berpesan kepada sahabat-sahabatnya supaya bersedia untuk menghadapi peperangan yang lebih besar. Apabila ditanya oleh sahabat-sahabatnya perang apakah yang lebih besar itu, Nabi SAW menjawab, perang di dalam diri sendiri antara akal dan nafsu.

Ini bukan sebarangan perang, menang jadi arang, kalah jadi abu, yang harus menanggung risikonya adalah Melayu. Melayu lawan Melayu orang asing tepuk tangan.

Tun mungkin ada agendanya tersendiri atau telah menerima nasihat yang silap seperti Almarhum Tunku dulu diusung oleh Semangat 46. Siapa tahu ini sandiwara mahu membawa masuk Anwar kembali ke dalam UMNO kerana ramai yang menunggu terutama yang suka ada perlawanan baru boleh tumpang hidup.

Jangan salahkan penjual keranda mendapat untung atau penggali kubur menutup liang lahat tersenyum, bila lagi hendak rasa duit orang yang bakhil. Bangkai tak boleh di simpan lama-lama, jika tidak mahu langau berkeliaran. Ini kenyataan, minum arak mesti mabuk punya, sendiri punya diri sendiri mahu ingatlah.

Jerebu politik sudah bermula, banjir kilat, tanah runtuh, gempa bumi dan letupan gunung berapi serta musibah berlaku di sana-sini termasuk dalam UMNO. Bala yang menimpa, ramai terlupa akibat dosa-dosa sendiri. Tuhan bersifat pemurah lagi penyayang, manusialah yang menzalimi diri mereka sendiri. Mereka terlupa qada' dan qadar. Masa sesak berdoa pada Tuhan, lepas bala lupa Tuhan.

Apakah tak mustahil perkara yang sama akan berlaku seperti peristiwa 1988 dan 1998 satu kitaran semula?

Ramai pemimpin UMNO yang pernah bersekongkol, pernah cium tangan Mahathir akan mati bergelimpangan 'di telan mati emak, di luah mati bapak', mati mesti mati punya. Apakah ini hukum karma atau sudah dirancang? Jerat tak lupa pelanduk. Anwar senyum ketawa, lu tahu, gua tahu punya. Jangan mengaku pesan peguambela, kalau mengaku peguam tak ada kerja. Itulah yang bermain di kepala saya.

Ramai yang mahu datang tapi tak seronok, baru buat statement bebas bersuara sudah di belasah oleh media massa arus perdana. Ini yang berlaku pada Datuk Wira Syed Ali Al-Habshi dituduh orang Mahathir. Kasihan. Namun Syed Ali tidak pernah pentingkan jawatan. Dia tak peduli.

Tun Mahathir yang berada di atas pentas begitu bertenaga biarpun dunia kata pergi, kubur kata mari. Tun Mahathir tak peduli, Tun masih bersemangat dan punya keyakinan diri yang cukup tinggi, jaguh pidato bertaraf dunia, jauh berbeza dengan Megat Junid yang dianggap satu liabiliti. Tok Mat dan Tan Sri Sanusi sahabat dan orang kanan yang memainkan peranan utama semasa bersamanya dulu tidak kelihatan, yang ligat Datuk Ibrahim Ali anak angkat Tok Guru Nik Aziz.

Kegagahan Tun Mahathir tidak sedikit pun membayangkan usianya yang sudah melewati 80 tahun, lebih dua jam berbicara, dia tidak pun membasahkan tekaknya. Gedebe UMNO yang pernah duduk di kerusi kuasa pernah membelasah, bertarung dengan PAS, Anwar, Ku Li, pernah membidas bekas Perdana Menteri UK, Australia, USA, masih lantang memerangi Singapura. Kini macam Muhammad Ali meninju Pak Lah dan Khairy yang dicabar supaya naik ke gelanggang.

Tun mengaku yang dia ni 'suspicious', ada perangai buruk sangka, sentiasa ada syak terhadap Pak Lah dan menantunya. Sindirannya tajam menusuk dengan mimik muka dan mulut yang sesekali suka mencebik seolah-olah Pak Lah dan Khairy mencabar di kedudukannya, dia kelihatan begitu terdesak. Siapa yang cabar siapa? Dia patut ingat dia bukan Ahmaddi Najat yang mencabar Yahudi dan Amerika kerana mempertahankan kuasa nuklear atau Huseniah atau Palestin yang berdepan dengan Israel.

Kali ini, tidak ada siapa yang mengasak Che Det ke penjuru, apa yang menyebabkan Tun Mahathir hilang akal? Sedangkan dia seperti pokok yang sudah condong, kura-kura pun boleh panjat. Sudah tidak ada kuasa, bercakap hebat macam mana pun tidak guna.

Saya risau, bimbang, takut ada orang kata orang tua ini 'buang tabiat'. 'Sayang panas setahun hujan sehari'. Pak Lah bijak, sunyi sepi tidak jawab segala tuduhan Mahathir. Biarlah sejarah yang menjadi hakim dan menghukum.

Memang tabiat manusia suka betul tengok pertarungan, apa lagi gladiator yang tiba-tiba hilang akal membiarkan dirinya dipergunakan. Mereka nak lawan Khairy atau Pak Lah takut, tak ada tulang belakang.Di dalam dewan yang penuh sesak, ramai yang berdiri, tak kurang yang diluar tengok TV bertepuk tangan 'hebat Mahathir'.

Jika tidak dihadkan kehadiran mungkin Century Paradise Taman Melawati akan dibanjiri ribuan manusia yang mahu menonton siaran ulangan Dr. Mahathir yang kenyataannya di dalam satu sidang akhbar dalam satu forum keamanan Criminalise War - Stop World War Four yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra pada 21 dan 22 Jun tidak mendapat liputan akhbar arus perdana. Pasal ini agaknya dia jadi berang, dia lupa sekarang ini Pak Lah yang jadi PM. Kasihan Che Det, orang lain baling batu sembunyi tangan Che Det jadi mangsa.

Berapa ramai peniaga, kontraktor yang sudah gulung tikar? Dulu zaman Mahathir, lupa daratan, hidup mewah.Apakah tidak mustahil pada 2020 Melayu menjadi pengemis di buminya sendiri bila pemimpin Melayu terlalu mengikutkan nafsu? Apakah semua kesalahan ini kerana Pak Lah dan Pak Lah mesti disingkirkan melalui reformasi? Tuhan tidak mengubah nasib satu-satu kaum melainkan kaum itu sendiri berubah.

Tun Musa Hitam berjaya membuktikan di mahkamah tinggi, dia kalah lawan Ghafar 1987 akibat buku saya 'The Challenger Siapa Lawan Siapa', kes saman malu mega terhadap penulis buku bukan kerana Mahathir atau Team A hebat. Duduk dalam rumah kaca jangan main baling-baling batu.

Sejarah adalah pengalaman yang berharga untuk masa depan kita. Berapa ramai yang mahu menjadikan pengalaman sebagai sejarah untuk mengatur masa depan mereka? Apakah kita tidak bimbang kitaran 10 tahun akan berulang. Pembuat dasar Melayu yang melaksanakan dasar Melayu Raja-raja Melayu. Yang miskin, melarat, penagih dadah, bohsia, rosak akhlak, buang anak, siapa?

Mereka yang ada sikap syak wasangka akan bertanya apakah isu pembatalan cadangan projek jambatan bengkok menghubungkan Johor dan Singapura. Proton dan Agusta, Tun timbulkan kerana Tun ada kepentingan? Bukankah Tun merupakan 'brain child' semua ini? Kenapa tidak dibincang secara tertutup?

Ramai yang tidak dapat membaca yang tersirat dalam ucapan Tun kerana seronok tengok Pak Lah kena belasah sehingga terlupa Pak Lah itu Perdana Menteri. Besar sangatkah dosa Pak Lah terhadap bangsa dan negara?

Kalau betul, kenapa tidak heret Pak Lah ke mahkamah? Tun dulu marah bila Rahim Tambi Chik dibelasah, akhirnya Nazri Aziz tinggalkan Ketua Pemuda UMNO. Tanggungjawab siapa yang mesti mempertahankan pemimpin dan kerajaan? Baca buku saya Mahathir Di Ambang Senja yang diterbitkan pada tahun 1999.

Pak Lah perkara biasa, ombak dalam cawan kopi. Setiap bapa ada hak memarahkan anaknya. Biarkan Tun bercakap, memang salah Pak Lah tidak jawab apa yang ditanya, sebab itu perkara ini jadi kecoh. Pak Lah ada salah dan silap tapi dia masih tetap Perdana Menteri Malaysia yang mesti dihormati sehingga dia di hukum oleh mahkamah sebagai penderhaka atau pembelot.

Ramai terlupa kuasa ekonomi dan pendidikan milik Melayu sudah tinggal nyawa ikan. Apakah tidak mungkin ini akan menyebabkan UMNO akan ditalkinkan sekali lagi? Ramai yang ikut PAS bila mereka fikirkan akhirat, dunia pun sudah hendak kiamat. Baca balik buku saya 'Challenger' dan 'Talkin Untuk UMNO'. Kita semua punya tanggungjawab sosial. Amar makruf nahi mungkar. Sampaikan hatta sepotong ayat - hadith Nabi SAW.

Tiba-tiba saya teringat satu sms dari seorang Datuk kepada saya, 'undi PAS kerana akal, undi UMNO kerana nafsu' - dari buku Clive S Kessler 1978. ms 229-230.

Dr. Mahathir marah dan kecewa dengan Datuk Seri Abdullah kerana telah memungkiri janji kepadanya. Betulkah ada 'gentlemen agreement'. Ketika ditanya apakah janjinya, Tun cuma kata
"dia tahu, saya tahu" dan meneruskan "dia mungkiri dua minggu setelah saya lepas jawatan, sungguh cepat".

Kenapa tidak terangkan apakah janji yang membawa akibat? Akhirnya rakyat yang tidak berdosa terlibat akibat cerita 'half truth', cerita yang separuh saja benar yang menyerupai fitnah. Apakah kita tidak berhak untuk marahkan Tun Mahathir?

Mahathir suruh Pak Lah ambil tindakan terhadap perasuah.
"Saya tidak boleh sebut nama, tapi saya yakin BPR tahu ini. Ada kes yang sudah diputus untuk diambil tindakan tetapi tidak diambil tindakan. Entah kenapa saya tak taulah."

Apa yang Mahathir buat untuk menghapuskan korupsi semasa kuasa berada di tangan? Apa jadi dengan slogan
'Bersih, Cekap dan Amanah serta 'Kepimpinan Melalui Teladan' dan 'Penerapan Nilai-Nilai Islam'? Banyak manalah tahi Pak Lah dua tahun jika dibandingkan dengan tahi 'shit' Mahathir selama 22 tahun?

Saya teringat kata-kata Tun Mahathir "Mungkin saya ada tabiat pilih orang yang silap". Dia sudah melakukan banyak kesilapan selama 22 tahun. Apakah kerana beliau 'mengaku' bersalah maka dosa-dosanya kepada rakyat terampun macam itu saja? Dan semua dosanya mesti ditanggung oleh Pak Lah?

Tun sempat mengungkit, "Saya tolong naikkan ramai orang tetapi ada yang menikam belakang saya. "Apakah Tun tidak pernah menikam pemimpinnya secara terang-terang? Apakah Tun pernah ingat mereka yang jadi gurkha sabung nyawa untuk mengekalkan dia di kerusi kuasa?

Kita tidak kata Khairy baik, Khairy tidak salah, tidak berdosa. Siapa gurunya? Air yang keroh di hulu mustahil boleh jernih di hilir. Satu tangan Tun Mahathir menunjuk kepada menantu Pak Lah empat yang lain menunjuk ke anak dan diri sendiri. Siapa yang jadi billionair, kaya-raya, orang Melayu di kampung atau kronis sendiri? Tun paling marah pada Khairy sehingga dia tidak dapat mengawal emosi, dia lupa membelasah Khairy tanda mengiktirafkan kehebatan Khairy seperti kaum Quraisy terima perjanjian Hudaibidayah.

Mentang-mentang dia doktor, potong orang, salah kasi ubat, orang mati, doktor tak boleh dituduh pembunuh. Itu dulu masa dia jadi PM.

"Saya dengar kata di tingkat empat (di Jabatan Perdana Menteri). You pi cari tengok ada kerusi meja ke, siapa ada, ada ofisboy ke, dari Oxford, dari Cambridge."

Ada ke patut umur sudah 81 tunjuk hebat dengan budak baru berhingus? Biar saja Mukhriz lawan dengan Khairy. Jangan orang tua pun turut campur, baca semula buku saya Anak Omak Lawan Anak Bapak. Itu politik Muawiyah namanya. Jangan ulangi peristiwa perang Siffin.

"Tingkat empat ni boleh telefon siapa saja dan nasihat untuk buat benda yang baik. Sebab tu hari ini kita tengok semuanya baik-baik belaka. Tingkat lima Perdana Menteri duduk. (Tingkat empat) lebih berkuasa daripada tingkat lima sebab dia lebih pandai. Tingkat lima tak pi Oxford." "Mereka sungguh bijak, anda tak boleh tolak dia punya nasihat." "Orang bijak pandai anda boleh nampak terang cerah.Kita boleh tengok dalam surat khabar pun tulisan-tulisan dia tu. Luar biasa. Saya tak pernah tengok tulisan-tulisan macam tu.''

Tun lupa, dia pun menulis di akhbar semasa muda. Nyanyuk kot? Tun berterus terang, dia memang tidak suka mengampu, memang dari muda lagi dia seorang yang suka menentang arus. Dia Jebat derhaka bukan Tuah budak suruhan Tuanku. Dia tidak setia kepada pucuk pimpinan, semasa Tunku Abdul Rahman menjadi Perdana Menteri. Dia tolak Ku Li, pilih Musa Hitam. Lupakah kita surat terbuka Tun kepada Tunku dan buku Dilema Melayu?

Tun Mahathir seorang 'gedebe' suka berlawan dengan Amerika, Britain, Australia, Singapura dengan Musa, Ku Li, Anwar, siapa saja. Sejarah hidupnya penuh dengan perlawanan, termasuk menarik imuniti dari raja-raja. Kalau 9 raja dia tidak takut lawan, Pak Lah atau Khairy apa sangat. Dia lupa siapa dia dulu, siapa dia hari ini. Dia lupa dalam UMNO tidak ada kawan yang kekal. Kawan boleh jadi musuh.

Ini bukan pertama kali Mahathir bersama pemimpin PAS, masa kena buang dari UMNO dulu pun dia pernah naik ke pentas PAS, ini ibarat nikah 'misyar' atau nikah 'mutaah' walaupun belum bercerai dengan UMNO.Yang penting menghalalkan cara, gasing jangan mati uri.

Pelik dalam keadaan umat Islam di seluruh dunia semakin tertekan dengan wujudnya perang anti-terrorism tajaan Amerika, Britain dan puak zionis. Apakah peranan yang telah dimainkan oleh kita semua? Orang mukmin itu diibaratkan seperti satu tubuh, cubit peha kanan sakit peha kiri.

Saya mengingatkan diri saya sendiri kenapa kita tidak menyedarkan umat Islam, negara Islam dan dunia Islam supaya mereka bergabung fikiran, kekuatan, keberanian dan sumber kewangan dan ekonomi untuk mematahkan serangan zionis dan konco-konconya? Pelik, sudah hilang akalkah kita semua ini?

Apakah Mahathir tak tahu serangannya terhadap kredibiliti Perdana Menteri, Dato' Seri, Abdullah Ahmad Badawi akan mengundang musibah lebih besar dalam UMNO? Apa akan jadi pada kita bila berpecah-belah?

Sudah pencen Mahathir tidak patut guna cara 'pecah perintah' untuk mengekalkan kuasa. Kalau mahu dimuliakan jadilah seorang wali Allah yang ada karamah jika mahu memerintah dari dalam kubur seperti Imam Ayatullah Khomeini yang karamahnya mempunyai pengikut diseluruh dunia.

Perbalahan pasti memberi kesan kepada sistem pentadbiran negara, kestabilan politik UMNO. Mahathir tidak fikirkah pandangan pelabur luar serta kesan kepada rakyat? Atau Mahathir sudah nyanyuk buang tabiat hingga terlupa bahawa pertembungan dia dan Pak Lah masih dalam konteks sistem yang sama iaitu korup dan nepotisma. Untuk apa menepuk dulang terpercik ke muka sendiri.

Cukuplah dia sudah jadi champion, jadi hero. Nabi Muhammad SAW mengingatkan kita supaya apa pun yang kita lakukan mesti sederhana. Kita kena ingat hukum karma serta kadak dan kadar.

Sewaktu Mahathir mengumumkan pengundurannya dari puncak kuasa, banyak orang khususnya dari kalangan para pemimpin UMNO yang dilindunginya - menangis terisak-isak di khalayak ramai. Malah lebih banyak pula yang tidak dapat membayangkan kehidupan di negara ini tanpa Mahathir. Hendak apa lagi?

Rakyat sudah memaafkan Mahathir yang mengendalikan negara ini secara kuku besi, kita sudah menjadi biasa dengan suasana politik dan sosial yang telah dibentuknya secara bersendirian sehingga dia di gelar 'Maha Firaun' oleh Sayuti Omar ketika dia berkuasa, pemimpin UMNO seolah-olah tidak dapat membayangkan ada orang lain yang berkemampuan melakukan apa yang telah dilakukannya selama ini. Terimalah, gajah ada harinya, kuching pun ada harinya juga.

Tuhan beritahu Nabi Muhammad SAW "kamu hanya boleh menyampaikan, hidayat datang dari Aku". Kata Allah SWT jangan berlagak macam Tuhan. 'Don't play god, be godly'.

Tun Dr. Mahathir tidak patut melenting marah-marah kerana dilayani seperti singa pencen, negarawan usang, atau seperti kuda patah kaki. Sabar Tun! Tidak perlu naik angin. Biasalah jika orang tua 82 tahun seperti Tun mudah lupa tapi jangan lebih-lebih, orang lain pun ada angin juga, angin puting beliung.

Orang tua memang mudah kecil hati, mengalah tidak rugi apa-apa, cuba fikir betapa huru-hara dan haru-birunya UMNO semasa bergaduh dengan Anwar? Jangan fikirkan ego dan diri, fikir juga bangsa dan negara.

Memang tidak salah Tun mahu menyata, menegak dan menjunjung kebenaran? Tidak salah Tun mahu menyatakan sesuatu masalah, o.k. tapi jangan duduk dalam sampan bocorkan sampan. Orang lain pun nak hidup juga.Kedaulatan satu perkara yang penting. Seperti apa guna jadi Raja yang tidak berdaulat? Kita memperjuangkan kemerdekaan kerana 'kedaulatan' kita tidak mahu negara dijajah akibat api yang kecil tidak dipadam boleh membakar seluruh bandar. Ini yang cuba saya lakukan bila melihat Tun yang mula bermain api.

Damaikan orang sedang bergaduh.Tidak salah beliau bersuara lantang supaya Singapura tidak berani berdolak-dalik dengan soal pembinaan jambatan di Selat Teberau? Pasir dan macam-macam lagi.

Kerana bersimpati dengan Pak Lah yang tak mahu lawan Tun, hampir setiap hari menteri makin tambah berani membidas Tun Dr. Mahathir seolah-olah beliau tidak pernah berjasa kepada agama, bangsa dan negara? Namun salah siapa? Biarlah penulis yang jatuhkan pemimpin seperti arwah Khalid Jefri gugurkan Anwar ke lantai.

Rakyat tidak boleh marah Nazri atau lain-lain menteri yang mengecam Tun Mahathir. Macam mana acuan begitulah isinya. Tun dulu pun tidak menghargai jasa Tunku dan Tun Hussein. Tun menderhaka pada Tunku biarpun Tunku banyak membuat jasa 'Bapa Kemerdekaan'.

Tun tetap seorang penderhaka dan dia tidak peduli. Dia tidak menyesal. Dia suruh menterinya dulu taat pada siapa yang jadi pemimpin, bukan yang mantan dan yang bakal. Cakap jangan tidak serupa bikin, Tun. Maka jangan marah kalau Pak Lah derhaka dan Anwar ketawa.
posted by jasindaily online @ 2:14 AM  
0 Comments:
Post a Comment
<< Home
 
DPPKJASIN

Name: jasindaily online
Home: Jasin, Melaka, Malaysia
About Me: Di bangunkan pada bulan April 2005
See my complete profile
CORETAN YANG LALU
ARKIB JASNIDAILY
POWERED BY

Free Blogger Templates

BLOGGER

© 2005 Info Template by Isnaini Dot Com