MENYAMBUNG perbahasan mengenai buruk dan baik perselisihan pendapat antara pentadbiran sekarang dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, elok sekiranya kita mendalami kesannya kepada rakyat jelata. Dan apabila kita menyebut rakyat jelata, kita tidak dapat lari daripada realiti bahawa majoriti rakyat Malaysia adalah orang Melayu dan Bumiputera.
Walaupun perselisihan pendapat ini sudah menjadi isu nasional, namun dari aspek politik ia nampaknya terhad kepada politik Melayu. Ini ada baik dan buruknya.
Sehingga kini, pembabitan kaum-kaum lain agak terhad. Kecuali seorang dua pemimpin politik bukan Melayu yang bersuara dengan agak lantang, yang lain nampaknya teragak-agak untuk bersuara secara terbuka.
Selain kebimbangan bahawa penyertaan mereka yang aktif dan terbuka mungkin mengeruhkan lagi suasana, orang bukan Melayu mungkin berasa bahawa lebih baik jika isu ini diselesaikan oleh orang Melayu sebagai kelompok dominan politik negara.
Lagipun, kebanyakan punca kritikan Dr Mahathir terhadap kerajaan lebih mirip kepada orang Melayu. Misalnya, raja-raja AP yang mendapat permit mengimport kereta adalah Melayu, kontraktor jambatan bengkok dan landasan kereta api kembar yang dibatalkan adalah Melayu dan majoriti pekerja Proton adalah Melayu.
Ini tidak bermakna bahawa orang bukan Bumiputera tidak mendapat faedah daripada projek-projek yang dibangkitkan oleh Dr Mahathir itu. Raja-raja AP mungkin Melayu, tetapi banyak daripada pengimport dan pengedar kenderaan yang menggunakan permit itu adalah bukan Melayu.
Begitu juga dengan jambatan bengkok dan landasan kembar. Walaupun kontraktor yang terjejas adalah Bumiputera, namun jika projek-projek ini dilaksanakan, pembekal utamanya adalah bukan Bumiputera iaitu mereka yang mengeluarkan simen, besi waja dan bahan-bahan binaan lain.
Seperkara yang jarang diperkatakan ialah hakikat bahawa orang bukan Melayu, khasnya kaum Cina, telah berjaya mewujudkan struktur ekonomi mereka sendiri. Disebabkan itu, mereka tidak terlalu bergantung kepada sektor ekonomi awam untuk terus maju.
Di pihak lain pula, orang Melayu dan kaum-kaum Bumiputera lain yang banyak bergantung pada sektor ekonomi awam untuk mendapatkan pekerjaan dan peluang perniagaan kurang rasional di dalam penghujahan mereka.
Mereka mungkin lantang bersuara tetapi hujah-hujah mereka kurang berisi kerana mereka tidak faham implikasi isu-isu yang Dr Mahathir dibangkitkan terhadap kebajikan mereka dan negara.
Dari awal lagi - bermula dengan media massa arus perdana milik kerajaan dan parti (Umno) - isu-isu ini dipolitikkan bagi menggambarkan Dr Mahathir sebagai mantan Perdana Menteri yang mungkir janji dan suka campur tangan dalam urusan kerajaan.
Maka mereka pun ke hulu dan ke hilir mencari sesiapa sahaja yang sanggup membelasah Dr Mahathir, termasuk orang yang antikerajaan dan anti-Umno, dalam percubaan mereka melenyapkan suara beliau.
Soal fakta, maruah dan kewajaran tidak penting kerana mereka tahu majoriti pembaca dan penonton tidak faham atau kurang arif mengenai isu-isu yang Dr Mahathir dipertikaikan. Malah mereka sendiri pun kurang memahaminya.
Suasana ini, kalau gagal ditangani, akan memburukkan lagi kedudukan ekonomi orang Melayu dan tidak mustahil menyebabkan aset-aset negara terjatuh ke tangan orang lain, termasuk orang asing.
Ambil Proton sebagai contoh. Daripada laporan media massa arus perdana yang memetik kenyataan-kenyataan rasmi, projek kereta nasional itu seolah-olah sangat tenat sehingga terpaksa menjual pelaburan walaupun rugi besar.
Tetapi di masa yang sama dan secara diam-diam, syarikat pelaburan induk milik kerajaan Singapura, Temasik, telah membeli saham-sahamnya. Kalau Proton tidak berdaya maju, mengapakah Temasik melabur di dalamnya.
Hakikatnya, pembabitan Temasik dan syarikat-syarikat awam dan swasta Singapura di Malaysia tidak terhad kepada Proton sahaja.
Banyak aset Malaysia sejak akhir-akhir ini telah dibeli oleh pelabur-pelabur Singapura. Malah ada yang sudah menjadi pemilik majoriti seperti ke atas Pantai Holdings Berhad.
Sebabnya, inilah waktu terbaik bagi pelabur-pelabur asing membeli aset-aset korporat dan nasional Malaysia kerana nilai saham syarikat-syarikat Malaysia yang disenaraikan di Bursa Malaysia berada di paras yang rendah berbanding Singapura, China, India, Singapura dan banyak lagi negara.
Jadi dalam kita membahaskan buruk dan baik kritikan Dr Mahathir terhadap beberapa tindakan kerajaan yang ada sekarang, eloklah kita mengkaji dan memahami di manakah negara kita sebenarnya berada dan ke manakah arah yang akan kita tuju.
Kita perlu faham mengapakah media massa Singapura yang seratus peratus dimiliki kerajaan tiba-tiba begitu hebat menyiarkan kritikan-kritikan terhadap Dr Mahathir yang disiarkan oleh akhbar-akhbar Malaysia.
Jawapannya mudah sahaja - Singapura mengiktiraf Dr Mahathir sebagai nasionalis ekonomi ( economic nationalist ) Asia yang terulung. Dr Mahathir mungkin satu-satunya pemikir ekonomi berbangsa Melayu yang setanding dengan pemikir-pemikir ekonomi Asia yang lain, termasuk Lee Kuan Yew.
Di bawah kepemimpinan beliau selama 22 tahun, Malaysia mara daripada negara pertanian kepada negara yang cukup luas dan pelbagai asas ekonominya.
Negara kita kini mempunyai aset-aset nasional dan korporat yang sangat menarik yang menjadi idaman pelabur asing, khasnya Singapura. Republik pulau itu sentiasa menganggap Malaysia sebagai pedalaman ekonominya ( economic hinterland).
Hakikat ini mungkin tidak disedari atau diakui oleh majoriti orang Melayu kerana mereka kurang arif dalam hal ekonomi dan perniagaan.
Tetapi kepada pelabur Singapura dan pelabur asing yang lain, aset-aset Malaysia adalah ibarat perawan cantik yang menunggu dilamar.
|