DEMI MASA |
|
|
HARAMKAN SAHAJA GULA ISTIHAR SEBAGAI "KOMODITI DILINDUNGI SEPENUHNYA" |
Friday, July 07, 2006 |
Mula-mula saya menerima pesanan ringkas daripada presiden FOMCA, saudara Marimuthu Nadason. Ringkas dan penuh komitmen. "Beritahu saya di mana tiada gula, FOMCA akan pastikan ia segera sampai." Sudah lebih sebulan janji itu dibuat. Gula masih lagi mengidap sindrom sekejap ada, lama takda di tempat saya
FOMCA sudah masuk BN? Janji tinggal janji. Gula di Kuching semakin sukar ditemui. Jauh lebih sukar daripada mendapatkan telur penyu seludup yang diharamkan penjualannya.
Janji Menteri Gula
Jika Datuk Seri Abu Hassan Omar cukup terkenal atas kejayaan beliau mempertahankan harga roti canai 10 tahun yang lalu, nampaknya Datuk Shafie Afdal sudah gagal dalam usahanya memperjuangkan harga gula.
Khabarnya di Kuching sudah ada yang berinnovasi menjual gula ala kokain pada harga yang murah sedikit sahaja daripada Syabu. RM2 bagi paket 250gram manakala RM1 bagi paket 100gram. Sarawak boleh!
Semua orang terkejut bila ia dijadikan tajuk akhbar. Nampaknya cuma pemberita sahaja yang tahu tempatnya. Itu semua mungkin fitnah serta rekaan sahaja. Tiada masalah gula di Sarawak, khususnya Kuching, kata pegawai kerajaan.
Walhal pengarah penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal ehwal Pengguna (KPDNHEP) bermatian-matian berkata Sarawak mempunyai stok gula yang lebih dari mencukupi.
"Mungkin ada pekedai yang sibuk hujung minggu lalu sehingga mereka tidak sempat hendak mengambil stok," kata Mohd Rosik, membuatkan ramai mulai yakin beliau kini menghadapi tekanan mental yang serius dan sudah mula berhalusinasi seperti Shafie suatu ketika dahulu sewaktu bekalan diesel di Sarawak kering kontang.
Rosik baru sahaja beberapa hari di Sarawak, sebelumnya sudah dua pengarah berpindah dalam jangkamasa yang agak singkat. Lagipun Rosik pernah berkhidmat sebagai Timbalan Pengarah di Sarawak 10 tahun yang lalu ketika Abu Hassan masih jadi menteri.
Mungkin ilmu yang dituntutnya dengan Abu Hassan itulah yang menjadi panduan Rosik sehingga beliau melihat gula ada di mana-mana sekarang, walhal semua orang lain tidak dapat melihatnya kecuali mereka yang menginap di Hospital Sentosa Kuching dan para penghidu gam profesional halal.
Harga runcit dah RM2 sekilogram
Saya difahamkan sepasang suami isteri yang sudah berumur bergaduh berikutan si suami membeli gula dua kilogram pada harga RM4 beberapa hari yang lalu. Si isteri yang tidak percaya memarahi suami kerana selaku pengundi BN yang setia beliau berpendapat harga maksima gula ialah RM1.65 sekilogram.
Mustahil Datuk Seri Abdullah Badawi yang cemerlang, gemilang dan terbilang tidak mampu menjaga bekalan gula, hujah si isteri. Beliau menuduh suaminya itu membeli gula itu dari kedai milik pengikut Parti Keadilan Rakyat, PAS atau DAP yang sengaja hendak menghasut rakyat.
Malangnya, itulah satu-satunya kedai yang ada gula di seluruh kampung yang majoriti penduduknya berketurunan Melayu (Jawa Bumiputera) kerana kedai lain sudah berbulan-bulan cuma menerima sebeg 50 kilogram gula sebulan. Itupun pada harga RM90 sebeg berbanding harga kawalan yang jauh lebih murah dari itu. Mungkin para pekedai terbabit juga menyebarkan fitnah kepada kerajaan Abdullah yang cukup berkebolehan.
Jika ada kedai yang mempunyai gula, peruncit berkenaan akan menjadi lebih popular daripada Mawi sehinggakan ramai yang meletakkan syarat-syarat tambahan sebelum boleh membeli gula. Ada yang mewajibkan pembeli membeli barangan lain dalam jumlah tertentu terlebih dahulu dan tidak kurang juga yang sudah berkira-kira meminta pelanggan melafazkan Rukun Negara sebelum menjual gula demi menunjukkan kesetiaan kepada kerajaan Abdullah Badawi yang sedang dikritik Tun Dr Mahathir Mohamad.
Diseludup keluar Negara
Dengan sempadan yang panjang, pihak berkuasa mempunyai suatu alasan yang kukuh untuk membuktikan betapa sukarnya mereka hendak mengawal kerja-kerja menyeludup. Sempadan antara Sarawak dan Indonesia lebih 50 kali ganda panjangnya berbanding sempadan Semenanjung dengan Thailand kerana ia berkembar Siam dengan Kalimantan yang cuma dipisahkan oleh garisan politik.
Lebih menyeronokkan penyeludup ialah syarat yang dikenakan oleh polis penjaga sempadan sebanyak RM50 bagi satu kepala Mat Indon yang hendak masuk berdagang di Sarawak cukup murah berbanding hasil yang bakal mereka bawa pulang.
Syarat itu khabarnya hanya meliputi pelawat berdagang yang punya pasport sahaja kerana Mat Indon yang tidak punya pasport biasanya ditangkap dan dibicarakan untuk menunjukkan hasil kerja demi mendapat, sama ada laporan prestasi menegak, melintang atau mendatar.
Selain itu, formula mudah, masuk sebaik masuk waktu solat subuh dan balik sebelum pukul 8 pagi nampaknya masih berkesan di pintu-pintu sempadan terbuka khususnya di Serikin, Bau. Ia berdasarkan kajian kenikmatan waktu tidur yang tidak terkata dalam jangkamasa 3 jam tersebut yang sehingga kini masih belum dapat ditafsirkan pakar.
Ini membuatkan jumlah manusia berbau "kambing masak berempah" berikutan kecenderungan mereka menghisap rokok kretek semakin ramai di Kuching. Manakala pembeli beras murah begitu bersyukur dan berterima kasih atas budi-bicara kerajaan menawarkan 'Happy Hours". Mereka semua bersetuju Abdullah yang dinobatkan oleh rakyat jelata sebagai "Bapa Kenaikan Harga Barang Keperluan" setidak-tidaknya begitu bertimbang-rasa dalam soal ini.
Berbagai cadangan dan teori kawalan
Ada beberapa makhluk yang bergelar Yang Berhormat sudah mencadangkan supaya harga gula dinaikkan sahaja untuk menghalangnya daripada diseludup keluar. Manakala penyeludup yang ditangkap pula dihukum sekras-kerasnya. Masih juga gula diseludup keluar dan jumlah yang ditangkap begitu kecil.
Anehnya, tidak ramai yang tahu ke mana perginya gula yang diedarkan oleh pengilang. Pemborong pula mempunyai rekod jualan yang cukup cantik. Samalah seperti dalam kes kehilangan diesel dahulu. Ia ghaib begitu sahaja. Semua rekod menunjukkan ia berada di pasaran tetapi ia tidak dapat dibuktikan secara ilmiah sebagaimana beberapa kes bunuh yang terpaksa dilontar keluar dari mahkamah baru-baru ini. Terkini, kes 5 beranak yang dirompak, dibunuh kejam sebelum dibakar. Anehnya 3 orang suspek yang dulunya dihadapkan ke mahkamah tinggi dibawah seksyen 302 kini cuma didakwa di mahkamah majistret atas tuduhan merompak rantai emas milik mangsa kerana pendakwa gagal menunjukkan Prima Facie. Mengapa? Adakah kerana tidak seorang pun daripada mereka pernah pergi ke luar negara seperti Canny Ong atau kerana mangsa semua tidak seglamour dan mengamalkan gaya hidup penuh dengan seks bebas seperti seorang lagi mangsa pembunuhan sebelum ini?
Khabarnya kekurangan gula di pasaran pun berpunca daripada permohonan pengilang supaya harga gula dinaikkan tetapi ditolak oleh Kerajaan walaupun kerajaan sendiri sudah menaikkan harga segala-gala yang berada dalam kawalannya bermula dengan minyak, elektrik dan tidak lama lagi air.
Alasan yang paling popular ialah berikutan bencana alam dan masalah kemarau serta banjir yang memusnahkan tanaman tebu di utara tanahair dan Australia. Manakala sesetengah negara seperti Brazil pula menjadikan tebu sebagai sumber tenaga yang boleh diperbaharui demi mengurangkan penggantungan terhadap petrol fosil.
Haramkan sahaja gula
Jika dua atau tiga dekad dahulu pasar kita secara terbuka menjual telur penyu sehingga binatang yang cukup sentimental itu hampir pupus. Penyu yang menjadi maskot PATA itu juga mengingatkan kita kepada seorang pemimpin negara yang paling lembab dalamli patan sejarah tanahair bernama Malaysia.
Namun, bukan sahaja penyu yang berjaya diselamatkan malah industri penjualan telur penyu juga masih bergiat rancak selepas ia diharamkan kerana bekalannya sentiasa terkawal. Penawaran dalam jumlah yang sederhana serta pada harga yang berpatutan membuatkan telur penyu menjadi idaman. Ia bukan lagi rahsia malah usaha menangkap penjualnya pula dijalankan sekadar untuk menunjukkan ada pihak yang bekerja dan layak menerima gaji.
Jika langkah mengharamkan telur penyu berjaya mewujudkan masyarakat yang tidak lagi terhegeh-hegeh mahukan telur penyu secara terbuka dan terpekik terlolong bila ia tiada, mengapa tidak kita haramkan sahaja penjualan gula. Jadikan ia komoditi terlindung sepenuhnya dan penjarakan sahaja sesiapa yang mengilang, menyimpan atau menjualnya.
Seperti telur penyu, kita percaya majoriti rakyat akan melupakan terus gula daripada ingatan mereka. Jika ada yang menginginkannya semasa mengidam sewaktu mengandungkan anak pertama, sudah pasti ada yang menjualnya di pasaran gelap.
Lagipun gula cumalah menjanjikan penyakit serta masalah berlebihan berat badan yang menghantui rakyat Malaysia sejak akhir-akhir ini. Berdasarkan statistik terkini WHO negara kita mempunyai antara penghidap diabetes tertinggi di dunia. Semuanya gara-gara pengambilan gula berlebihan.
Kecanduan terhadap gula ini perlu dihentikan segera. Kita boleh mengamalkan cara hidup yang lebih sihat dengan meminum teh kosong, teh herba atau sesekali minum kopi bersusu, jika kepingin selain memastikan kuota minima 8 gelas air kosong sehari dipenuhi. Ini ialah berikutan ramai yang membuat bising semata-mata kerana tidak dapat minum Kopi O.
Bagi pengusaha atau pengilang pula, soal ketiadaan gula tidak akan timbul lagi jika rakyat sudah tidak lagi kecanduan rasa manis yang selama ini meracuni pemikiran mereka. Kecenderungan kepada benda manis inilah yang membuatkan mereka sukar untuk menerima kepahitan dalam hidup, walaupun pahit itu selalunya ubat. |
posted by jasindaily online @ 7:42 PM |
|
|
|
DPPKJASIN |
Name: jasindaily online
Home: Jasin, Melaka, Malaysia
About Me: Di bangunkan pada bulan April 2005
See my complete profile
|
CORETAN YANG LALU |
|
ARKIB JASNIDAILY |
|
POWERED BY |
|
|