KUALA LUMPUR, 6 Julai (Hrkh) - Cadangan melanjutkan waktu operasi pusat hiburan sehingga jam lima pagi di bandar utama untuk menarik pelancong asing ke negara ini menggambarkan Kementerian Pelancongan sudah ketandusan idea. Pengerusi Jawatankuasa Menangani Gejala Sosial Dewan Pemuda PAS, Mazlan Aliman berkata, PAS sedia memberi pandangan kepada kementerian berkenaan bagaimana untuk menarik pelancong asing tetapi pada masa yang sama tidak memudaratkan serta meruntuhkan akhlak masyarakat negara ini.
Mengulas lanjut kemahuan Menteri Pelancongan, Adnan Mansor itu, Mazlan berkata, lanjutan waktu operasi pusat hiburan termasuk kelab malam, restoran dan pub tidak munasabah.
"Pelancong yang datang tidak seberapa, tetapi yang akan mengambil kesempatan kalau pusat hiburan dibuka sehingga jam lima pagi adalah rakyat tempatan," jelasnya.
Tambahnya, jika kemahuan itu dilaksanakan seolah-olah ia merupakan usaha kerajaan untuk menghancurkan akhlak dan budaya rakyat negara ini terutamanya remaja yang masih mentah.
Tegasnya, kedatangan pelancong asing ke negara ini bukannya untuk bersukaria di pusat hiburan ataupun pub kerana di negara mereka perkara itu senang diperoleh.
Kedatangan mereka, katanya untuk melihat berbagai-bagai budaya dan adat rakyat negara ini.
"Mereka datang ke negara kita bukan nak 'enjoy', nak pergi pub, pusat hiburan semuanya benda-benda ini berlambak di negara mereka, kalau nak hiburan, baik di negara mereka bukannya di negara kita," kata beliau semasa dihubungi.
Katanya, kemahuan kementerian itu adalah persepsi menterinya apabila ada pelancong mesti ada arak, hiburan dan juga judi.
Adnan dilaporkan berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan Pengarah Jabatan Pelancongan Ho Chi Minh, Nguyen Thi Lap Quoc, di Vietnam kelmarin.
Dalam pada itu, Adnan juga meminta kerajaan mengkaji semula kadar cukai terhadap minuman beralkohol di negara ini yang disifatkan terlalu tinggi sehingga menyebabkan pelancong asing mengeluh.
"Kalau dikurangkan cukai untuk minuman beralkohol, budak sekolah pun boleh beli arak," tegas Mazlan mengulas permintaan Adnan itu.
|