BAGHDAD 11 Julai - Sebuah kumpulan dipercayai ada kaitan dengan Al- Qaeda mendakwa anggotanya membunuh tiga askar Amerika Syarikat (AS) untuk membalas dendam terhadap perbuatan rakan-rakan mereka yang merogol dan membunuh seorang wanita muda Iraq. Majlis Syura Mujahedeen membuat dakwaan itu dalam satu rakaman video selama lebih empat minit yang disiarkan di Internet, lapor Institut SITE.
Institut SITE yang memantau laman-laman web puak militan menyatakan, rakaman itu juga menunjukkan mayat dua askar yang dicacatkan termasuk satu yang dipenggal kepalanya berikutan serangan dekat Youssifiyah, barat daya Baghdad, pada 16 Jun lalu.
Menurut SITE, kenyataan Majlis Syura Mujahedeen mendakwa rakaman video itu disiarkan sebagai 'tindakan membalas dendam untuk saudara perempuan kami yang dinodai oleh seorang askar daripada briged yang sama.
Dua sarjan tentera AS adalah antara lima askar Amerika yang didakwa terlibat dengan kes merogol dan membunuhseorang wanita muda Iraq serta pembunuhan ibu bapa dan seorang adik perempuannya pada 12 Mac lalu.
|