DEMI MASA |
|
|
Kesabaran kemanisan pengislaman Shaza Lim |
Friday, May 19, 2006 |
PRINSIP hidupnya iaitu genggam bara api biar sampai jadi abu berkemungkinan menjadi sebab kepada pengislaman Lim Wai Leng atau nama Islamnya, Shaza Lim Abdullah, 31.
Mengapa penulis berpendapat begitu? Selepas tiga tahun mendalami Islam secara serius, suatu malam pada 1999, Wai Leng didatangi mimpi wanita lengkap bertelekung sedang menunaikan sembahyang.
Semenjak insiden itu, tidak semena-mena hatinya terbuka. Wai Leng berkeyakinan dan percaya inilah waktu paling sesuai untuknya mengucap kalimah syahadat atau dengan kata lain memeluk Islam. Malah sekiranya agama yang dikenali hampir seluruh seusianya itu tidak berjaya diperoleh selagi itulah hatinya tidak akan tenteram.
"Saya rahsiakan kisah mimpi itu daripada pengetahuan nenek, mak cik dan adi-adik. Hati saya berat mengatakan apa yang saya lalui itu mungkin adalah hidayah Allah ke atas saya kerana setiap orang mempunyai cara penerimaan yang berbeza-beza.
"Di tempat kerja pula, saya ceritakan kepada teman-teman Islam yang memang sebelum itu banyak memperkenalkan dan mengajarkan Islam kepada saya. Mereka juga beranggapan seperti saya bahawa mimpi itu mungkin satu bentuk hidayah.
"Tanpa berfikir panjang dan benar-benar yakin dengan keputusan yang diambil, saya memeluk Islam. Saya akui saya seorang yang berpendirian teguh. Sekali saya sudah memilih jalan Islam, saya akan tetap dengan keputusan itu walau apa juga tentangannya," bicara Shaza atau panggilan manjanya Jaja yang memeluk Islam pada 24 Disember 1999 di Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Jalan Ipoh, Kuala Lumpur secara ikhlas dan tanpa dipengaruhi sesiapa.
Jaja yang sedang menanti kelahiran 'orang baru' dalam kehidupan berumah tangga bersama Mohamed Zairul Yunus, 36, dalam temu bual itu sempat berkongsi detik awal perkenalannya dengan Islam.
Jaja yang merupakan setiausaha di Bursa Malaysia sejak 1996 berkata, beliau tiga beradik tinggal dengan nenek dan mak cik di Taman Setapak, Kuala Lumpur semenjak berusia empat tahun lagi.
"Namun sewaktu bersekolah pering kat menengah di Kampung Baru, Kuala Lumpur, kebanyakan teman sekolah dan teman karib saya terdiri daripada rakan kaum Melayu.
"Selain itu, bagi pelajar yang bukan Islam seperti saya, kami akan diberi pilihan untuk tinggal di belakang kelas atau berada di perpustakaan serta kantin sekolah semasa kelas agama Islam diadakan.
"Kebiasaannya saya memilih untuk berada di kelas. Secara tidak langsung, bermula dari kelas itulah saya mengenali Islam dan sedikit semi sedikit saya mula terpikat dan tertarik dengan ajaran agama Islam," kata Jaja yang dahulu adalah seorang penganut agama Buddha.
Bercerita tentang cabaran selepas bergelar muslim, kata Jaja, tahun pertama bergelar muslim merupakan saat paling perit dalam kehidupannya. Apa tidaknya tindakan yang membelakangkan pandangan keluarga diumpamakan seperti menconteng arang ke muka keluarga.
"Rahsia pengislaman saya terbongkar apabila mereka perasan saya sentiasa cuba mengelak daripada mengambil makanan berdaging.
"Semenjak saat itu, keluarga langsung tidak mengambil kisah tentang saya dan seperti menyisihkan diri mereka. Mak cik saya pula cuba melaksanakan silent treatment sementara nenek pula tidak henti-henti menangisi perbuatan saya. Waktu itu emosi saya benar-benar terganggu. Apa tidaknya walaupun kami tinggal sebumbung tetapi tidak wujud langsung komunikasi antara kami.
"Dalam keadaan tertekan itu, ada juga saya meminta pandangan teman-teman sekerja. Mereka menasihatkan saya supaya banyak bersabar dan tidak berpindah. Alasan mereka adalah tindakan lari daripada kenyataan tidak akan menjernihkan keadaan malah lebih memburukkan suasana," kata anak sulung daripada tiga adik-beradik ini ketika ditemui di rumahnya di Bandar Tasik Puteri, Rawang, Selangor baru-baru ini.
Tindakan berani berhadapan dengan keluarga akhirnya membawa sinar harapan buat Jaja dan keluarga kandungnya untuk kembali bersatu.
Penyiksaan selama hampir setahun itu, kata Jaja, amat membebankan bahkan hampir-hampir melenyapkan semangatnya untuk bertahan. Alhamdulillah, langit tidak selalunya mendung. Berkat kesabaran dan keyakinan dengan penegasan Allah iaitu ujian Allah itu mengikut kemampuan hamba-Nya, semuanya berakhir tanpa sebarang perkara yang tidak diingini. Apabila keadaan kembali tenang, secara tidak langsung ia turut mempengaruhi semangat dalaman Jaja. Menerusi bantuan seorang teman yang bertindak sebagai guru agamanya, Jaja mula mendalami agama Islam secara serius. Di samping itu, beliau juga mengikut teman-teman di pejabat mengikuti kelas tazkirah dan mengaji pada waktu rehat.
Jaja bersyukur mempunyai teman-teman sekerja yang sentiasa menyokong dan memberi tunjuk ajar dan penerangan. Malah saat yang paling bermakna adalah apabila dia dihadiahkan senaskhah al-Quran dan buku-buku agama oleh bekas ketuanya.
Menceritakan detik perkenalan dengan suaminya, Mohamed Zairul, Jaja berkata, persahabatan yang terjalin antara mereka berdua bermula sekadar kawan. Namun, faktor kedekatan jalinan kawan bertukar menjadi lebih serius sehinggalah membawa ke jenjang pelamin.
Pasangan bahagia ini diijabkabulkan pada 31 Mei 2003 dengan restu daripada kedua-dua belah keluarga.
"Pada awal berkenalan saya sangkakan Jaja bukan seorang muslim kerana teman-teman sekerja masih memanggilnya dengan panggilan nama Cina. Apabila mengetahui yang dia telah memeluk agama Islam, keinginan untuk memperisterikan Jaja menjadi lebih mudah.
"Saya sentiasa memberi kebebasan kepada isteri untuk mendalami ilmu agama. Alhamdulillah, selepas berkahwin dia terus memakai tudung. Saya juga bersyukur dan berterima kasih kepada keluarga sebelah isteri kerana mereka begitu memahami Islam.
"Pada awal perkenalan dengan keluarga kandung Jaja, saya tidak pernah dipersoalkan dengan hal-hal sensitif seperti poligami malah mereka cukup menghormati agama Islam. Saya rasa perkara yang sama juga perlu kita tunjukkan terhadap penganut agama lain," celah Mohamed Zairul dalam temu bual itu.
Beberapa hari selepas temu bual itu, Jaja dan Mohamed Zairul dikurniakan anak sulung. Jaja bersalin pada 9 Mei lalu. |
posted by jasindaily online @ 7:38 AM |
|
|
|
DPPKJASIN |
Name: jasindaily online
Home: Jasin, Melaka, Malaysia
About Me: Di bangunkan pada bulan April 2005
See my complete profile
|
CORETAN YANG LALU |
|
ARKIB JASNIDAILY |
|
POWERED BY |
|
|