Apakah terbuka pintu Murtad..????? Di Malaysia Mahkamah Syariah telah berjaya menunjukkan keadilan bukan sahaja kepada mereka yang beragama Islam malah kepada mereka yang bukan beragama Islam. Itulah antara komen yang diberikan oleh kepimpinan kita dalam isu nyonya Tahir. Kritikan isu Mohamad Abdullah @ Moorthy mungkin reda setelah Mahkamah Syariah membuat keputusan untuk kes Nyonya Tahir. Alasan menyeluruh keputusan kes beliau belum kami terima lagi tetapi antara yang terkandung dalam media adalah surat wasiat beliau, pernah memohon untuk menukar nama dalam Kad Pengenalan dan sejak kecil tidak mengenali Islam.
Alasan ini seolah membawa kemenangan. Pak Lah turut mengatakan keputusan itu menunjukkan Mahkamah Syariah tidak prajudis dan telah mengambil kira fakta - fakta yang ada. Apakah keputusan mahkamah bagi isu Nyonya Tahir memungkinkan - pembukaan pintu untuk permohonan murtad dalam negara ini.
Institut Pengembelingan Dan Pembangunan Komuniti di bawah Mahfuz Omar gusar kerana isu murtad - antara membolehkan dan menidakkan masih kabur dan memerlukan satu penjelasan definisi yang menyeluruh. Kes Nyonya Tahir ini akan jadi "precedent" dan setakat ini penjelasan harus di buat dengan lebih menyeluruh lagi agar "precedent" ini tidak disalah pakai untuk tujuan membolehkan sesiapa untuk murtad dengan lebih mudah lagi.
Majlis Raja - Raja selaku Ketua Agama Islam negara ini harus bertindak untuk menggariskan secara terperinci isu murtad dalam negara kita ini. Peruntukan undang - undang perlu jelas kerana kita tidak mahu melihat apa yang timbul dari penghakiman ini adalah timbulnya satu sistem bagi memudahkan orang - orang Islam untuk keluar dari pegangan Islam atau murtad.
Kita tidak seharusnya leka dengan keputusan Mahkamah Syariah sehingga kita lupa - wujudnya kemungkinan "precedent" ini melunaskan antara tuntutan yang telah digariskan oleh Inter Faith Commission Adalah lebih baik kita bertindak untuk menentukan peruntukan - peruntukan perundangan dari sudut Syariah dalam soal ini dengan mengambilkira dua keputusan Mahkamah Syariah baru - baru ini. Kita tidak mahu jalan untuk Murtad di buka secara tidak langsung oleh Mahkamah Syariah sendiri dalam usaha untuk memberi keadilan kepada Nyonya Tahir.
Apakah tidak keputusan ini memberi ruang untuk memudahkan murtad? Apakah dengan adanya wasiat, membuat deklarasi bersendirian sudah cukup untuk membolehkan seorang itu bertindak untuk murtad. Sedang Islam memandang serius mengenai isu murtad ini , kita sudah cukup bergembira dengan keputusan yang belum memberi gambaran keseluruhan mengenai isu murtad ini khususnya dari sudut perundangan. Mereka yang arif sila kemukakan pendapat anda.
|