Scroll images by bigoo.ws

DEMI MASA

Demi masa. Sesungguhnya manusia benar-benar berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.

LAJNAH DPPKJ
KENALI PAS
E2 - Article11 Menggalakkan Murtad?
Wednesday, May 17, 2006
Assalamualaikum.

Turutan dari metoda "soal jawab" yang saya nukilkan dalam posting "Nota Kaki Untuk PSEPP" yang lepas, atas kesibukan yang masih err... sibuk... izinkan saya menulis posting ini menggunakan metoda yang sama.

Q1. Adakah saudara menyokong penubuhan Inter Faith Commission (IFC)?
A1. Secara dasarnya saya menyokong KONSEP yang diunjurkan IFC yakni mewujudkan forum perbincangan antara-agama bagi memastikan hak-hak semua rakyat Malaysia tanpa mengira agama atau keturunan akan dapat dipantau sewajarnya. Namun saya tidak berapa bersetuju dengan PERLAKSANAAN IFC ketika ini yang tidak begitu memberi penekanan terhadap 'educating the masses' yang seterusnya membawa kepada salah faham, ketegangan dan fitnah.

Q2. Adakah IFC atau Pertubuhan Article 11 akan menyekat kuasa mahkamah syariah?
A2. Tidak. Kerana Article 11 pada dasarnya diwujudkan untuk memastikan perundangan sivil terhadap golongan bukan Islam tidak diganggu gugat oleh sebarang tekanan atau campurtangan dari mahkamah syariah. Macam kita jugalah orang Islam... apa kita rasa jika tetiba kita dipaksa menerima hukuman berdasarkan undang-undang, katakan, Roman Katolik atau Halakhah (undang-undang Yahudi)? Andai syariah terpaksa menyelinap sekalipun (seperti kes Moorthy dan Nyonya Tahir) mungkin kita memerlukan sebuah badan berkecuali yang mampu menangani kes-kes seumpamanya sebagai rujukan atau 'mediator' antara mahkamah sivil dan syariah. Perlulah diingat bahawa biarpun 50% penduduk Malaysia adalah beragama Islam, yang 50% lagi itupun mempunyai hak yang perlu diambil kira.

Q3. Benarkah IFC atau Article 11 akan merosakkan akidah umat Islam dan menyebabkan lebih ramai umat Islam Malaysia murtad?
A3. Sukar untuk membincangkan hal ini secara terlalu umum. Dari satu sudut - YA- kerana katakan anda bangun tidur pada satu pagi dan berhasrat menjadi seorang Kristian - secara teorinya mahkamah sivil tidak boleh menghalang anda kerana pilihan beragama merupakan hak anda sendiri. Untuk memastikan akidah umat Islam terpelihara, mungkin boleh diadakan suatu garispanduan atau prosedur untuk umat Islam yang berhajat menukar agama - seperti mereka wajib melalui temuduga, kaunseling dan sebagainya. Mungkin di sinilah perlunya badan-badan kaunseling yang diterajui oleh Jabatan-Jabatan atau NGO agama Islam bergerak dengan lebih efisien dan profesional. Andai semua sesi kaunseling tersebut masih gagal menghalang si anu menukar agamanya, setidaknya kita memiliki statistik zahir akan sebab atau punca umat Islam Malaysia mahu bertukar agama. Statistik tersebut boleh digunakan kelak untuk memantapkan lagi metoda dakwah kita.

Tetapi dari sudut lain, yang mana merupakan pendapat saya sendiri - TIDAK - kerana jika kita benar-benar yakin dan percaya bahawa Islam merupakan agama yang benar, kita tidak akan merasa gusar dengan kes-kes murtad sebegini. Kerana jika Islam didalami secara sebetulnya, terus terang pada saya murtad MUSTAHIL terjadi. Namun perkembangan-perkembangan dunia Islam kontemporari termasuklah kedapatan teroris seperti Osama Laden dan fundamentalis yang terlalu obses mewujudkan 'negara Islam' mengikut acuan 1,500 tahun yang lepas secara literal telah membuatkan Islam itu sendiri kelihatan mundur dan tidak menarik. Hal ini telah banyak saya kupas dalam posting yang lepas-lepas seperti "Pandangan Saya Yang Daif Ini".

Sama ada IFC ada atau tidak, akan tetap ada golongan umat Islam Malaysia yang murtad kerana salah faham mereka terhadap Islam itu sendiri. Cuma mungkin tanpa IFC ianya lebih buruk kerana kemurtadan ini dilakukan secara senyap dan mungkin menimbulkan masalah kelak seperti yang berlaku dalam kes Nyonya Tahir.

Q4. Penubuhan IFC/Article 11 akan membuatkan golongan misionari Kristian lebih mudah bergerak?
A4. Jangan dicampur adukkan dua perkara ini - IFC/Article 11 dan gerakan misionari Kristian merupakan dua perkara yang berbeza. Malah Perlembagaan Malaysia telah termaktub bahawa gerakan misionari ini adalah HARAM dan boleh dikenakan tindakan undang-undang. Dari konteks ini, IFC sebenarnya mampu menjadi pemantau untuk menyekat gerakan misionari kerana bukan umat Islam sahaja yang sering menjadi tumpuan golongan misionari ini malah golongan Hindu, Buddha, Sikh, Iban, Kadazan dan lain-lain juga! Misionari bukan sahaja cuba melebarkan sayap mereka di IPTA dan IPTS malah di estet-estet (yang mana majoritinya beragama Hindu) dan penempatan orang Asli.

IFC/Article 11 mungkin boleh melindungi hak bukan sahaja umat Islam malah hak penganut agama lain juga dalam peperangan kita menentang golongan misionari raplah yang bermodus operandi dengan memutar belit fakta, wang dan seks. Ini kerana seperti yang saya katakan di atas, Article 11 ditubuhkan untuk melindungi hak perlembagaan masyarakat Malaysia. Dalam kes misionari ini, jelas bahawa perlembagaan Malaysia telah dicalari dan ianya termasuk dalam bidang tugasan mereka untuk memastikan perlembagaan ini terpelihara.

Secara peribadi saya telah menerima 'assurance' dari dua orang yang saya kira amat relevan dalam menangani kes misionari ini - Ketua Paderi Gereja Katolik Malaysia dan Setiausaha Pertubuhan Article 11 sendiri - bahawa mereka sanggup menjadikannya 'agenda peribadi' dan membawa golongan misionari ini ke muka pengadilan andai kes menentang misionari ini dapat dikemukakan berdasarkan bukti dan fakta kukuh. Jadi saya ingin ulangi gesaan saya dalam artikel "Murtad Dan Kereta Kebal Gergasi".....jika anda mempunyai sebarang bukti akan gerakan misionari ini, harap dapat forward secara terus kepada saya.

Q5. Apakah wajar Menteri Di Jabatan Perdana Mentero menyifatkan tindakan 500 orang yang membantah penganjuran forum `Perlembagaan Persekutuan: Perlindungan Untuk Semua' di depan Hotel Cititel, Pulau Pinang minggu lalu" sebagai SALAH dan BODOH?
A5. "Salah", ya kerana forum tersebut adalah sah dan memiliki permit. Namun "bodoh" pada saya tidak begitu tepat kerana seperti yang saya jawab dalam Q1 di atas, Article 11 perlu 'educate the masses' akan salah faham terhadap fungsi dan peranan sebenar IFC/Article 11. Bila penerangan ini kurang dilakukan, pada saya adalah natural jika 500 orang yang berdemo itu merespons dengan cara mereka merespons kerana menyangkakan bahawa Article 11 cuba mencemar keluhuran mahkamah syariah atau Islam keseluruhannya padahal ia sebenarnya tidak begitu. Mereka tidak "bodoh", cuma mereka tidak diberi pemahaman yang sewajarnya.

Q6. Namun apakah yang mampu dilakukan andai Article 11 juga 'melindungi' pengamal ajaran sesat seperti Al-Arqam, Ayah Pin dan Haji Kahar?
A6. Penubuhan Article 11 masih baru dan banyak perkara yang perlu mereka perbaiki. Saya bukanlah ahli jawatankuasa pertubuhan tersebut jadi buat masa ini saya 'reserve my comments' terhadap isu tersebut. Tapi secara peribadi saya berpendapat dalam kes murtad atau pengamal ajaran sesat, mungkin perlu wujud peruntukan undang-undang dan penguatkuasaan yang lebih tegas terhadap mana-mana pihak atau individu yang cuba menghina atau menyelewengkan tenet-tenet utama Islam. Jika mereka mahu bertukar agama atau memulakan 'ajaran baru' sekalipun, pada saya ianya harus asal saja mereka tidak MEMUSUHI, MENYERANG, MENGHINA atau MEMPERLEKEHKAN agama asal mereka secara terang-terangan di khalayak umum termasuklah Internet.

Wassalam.
posted by jasindaily online @ 3:53 AM  
0 Comments:
Post a Comment
<< Home
 
DPPKJASIN

Name: jasindaily online
Home: Jasin, Melaka, Malaysia
About Me: Di bangunkan pada bulan April 2005
See my complete profile
CORETAN YANG LALU
ARKIB JASNIDAILY
POWERED BY

Free Blogger Templates

BLOGGER

© 2005 Info Template by Isnaini Dot Com