Scroll images by bigoo.ws

DEMI MASA

Demi masa. Sesungguhnya manusia benar-benar berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.

LAJNAH DPPKJ
KENALI PAS
Surat Kepada Pengarang Berita Harian: Kebebasan Zaman Pak Lah & Mahathir
Monday, May 15, 2006
Saudara Pengarang,
D
alam akhbar tuan pada 3 Mei 2006, seorang pembaca yang menggunakan nama pena Ali Imran Wahab menulis surat terbuka kepada Tun Dr. Mahathir. Ada beberapa perkara yang saya sangat tertarik untuk memperbetulkannya supaya persepsi masyarakat tidak terus dikelirukan oleh penulisan separuh masak dan beragenda peribadi seperti tersebut.

Beberapa minggu lalu saya menulis dalam sebuah laman web bahawa Dr. Mahathir (izinkan saya menulis dengan panggilan ini kerana sudah terbiasa selama lebih 22 tahun) harus terus menyatakan pendirian dan pandangan beliau terutamanya membabitkan keputusan-keputusan yang dibuat oleh pentadbiran beliau.

Saya tidak fikir adalah waras untuk sesiapa sahaja menghalang Dr. Mahathir dari menyatakan pendirian dan pandangan beliau dalam keputusan-keputusan kerajaan yang membabitkan sewaktu pemerintahan beliau. Beliau berhak mempertahankan keputusannya sama seperti kerajaan hari ini berhak mempertahankan keputusan mereka.

Saya tidak fikir majoriti rakyat Malaysia menganggap kenyataan-kenyataan Dr. Mahathir hari ini sebagai satu yang tidak diperlukan atau dikehendaki. Malahan saya tidak fikir kenyataan-kenyataan beliau akan menjejaskan imej dan kredebiliti beliau sebagai negarawan.

Sebaliknya saya berpendapat adalah perlu dan mesti untuk Dr. Mahathir menyatakan pandangan beliau bagi memastikan keputusan kepimpinan hari ini tidak dibuat atas maklumat yang salah atau mengelirukan. Dr. Mahathir sebagai seorang yang teliti mempunyai banyak fakta dan pengalaman yang boleh dipergunakan.

Benar Dr. Mahathir berjanji tidak akan masuk campur dalam urusan kerajaan seperti Lee Kwan Yew. Dan saya tidak fikir Dr. Mahathir telah pun masuk campur dalam pentadbiran. Malahan keputusan-keputusan kerajaan membayangkan Dr. Mahathir langsung tidak mempunyai kuasa untuk masuk campur.

Haruslah dibezakan antara masuk campur seperti Lee Kwan Yew dengan memberi pandangan dan mempertahankan diri. Adakah Dr. Mahathir perku berdiam diri apabila pentadbiran hari ini membuat pelbagai keputusan yang seolah-olah menyalahkan kepimpinan beliau yang lalu. Dr. Mahathir mungkin benar dan mungkin juga salah. Tapi beliau berhak mempertahankan diri, apatah lagi bila ternyata dalam banyak hal beliau berada di pihak yang benar.

Dakwaan penulis tersebut bahawa keputusan pembinaan jambatan baru sebagai satu tindakan untuk mengatasi kesesakan Tambak Johor semata menjelaskan fakta bahawa beliau tidak membaca keseluruhan sebab-sebab untuk pembinaan jambatan tersebut beserta Gerbang Perdana. Terdapat puluhan sebab dari segi ekonomi dan alam sekitar yang menjadi asas kepada usaha ini diabaikan oleh beliau.

Seterusnya Ali Imran mendakwa "Jarang sekali saya dapat menatap berita yang mendedahkan kepincangan atau kesalahan yang dilakukan kerajaan atau pemimpin kita seperti yang diamalkan media massa sekarang."

Saya fikir Ali Imran mempunyai ingatan yang begitu singkat atau tidak mempunyai pengetahuan yang mendalam terhadap media di Malaysia atau sengaja memainkan retorik ini untuk memburukkan Dr. Mahathir. Sepanjang kepimpinan Dr. Mahathir saya fikir media juga bebas malah mungkin lebih bebas berbanding hari ini.

Pada zaman Dr. Mahathir, bekas Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman mempunyai kolum sendiri di dalam akhbar The Star yang mengkritik kepimpinan Dr. Mahathir.

Akhbar begitu bebas memperkatakan dasar-dasar kerajaan sehingga hampir tercetus rusuhan pada 1987 akibat isu Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC). Pada zaman Dr. Mahathir juga akhbar memainkan isu-isu besar (yang sekarang saya belum nampak dalam media hari ini) yang tidak pro establisment seperti isu Tan Koon Swan, isu Abdullah Tan, isu Jabatan Penjara, Skandal Maika, isu Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Tamby Chik, Isu Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, isu kepimpinan Osman Arof dan Sanudi Junid di Kedah, isu pembalakan di hutan Pahang, politik wang dan kronisme di dalam UMNO. Malahan isu pembelian Kumpulan Perkapalan Berhad (KPB) kepunyaan Mirzan Mahathir oleh Petronas juga mendapat liputan dan ulasan utama media.

Ketika krisis kewangan 1997, beberapa akhbar utama seperti Utusan dan Berita Harian bukan sahaja kelihatan tidak begitu memihak kepada Dr. Mahathir malah memlih untuk menyiarkan pandangan yang bertentangan dengan pandangan beliau.

Yang berbeza ialah Dr. Mahathir ketika menjadi pemimpin bersedia menghadapi isu dan menjawab soalan pemberita. Malahan Dr. Mahathir bersedia berdebat secara sihat dengan akhbar termasuk menulis surat secara terbuka kepada akhbar ketika beliau menjadi Perdana Menteri (lihat isu penggunaan bahasa Melayu yang dimainkan oleh Utusan berkaitan dalam wawancara Stesen televisyen Indonesia dengan Dr. Mahathir ketika persidangan Pertubuhan Negara-negara Berkecuali - NAM - di Indonesia sedekad yang lalu).

Jadi soal orang yang menganggap sekarang ini akhbar lebih terbuka dan telus tidak lebih daripada andaian semata-mata berbanding satu kajian yang akademik dan serius. Cuma jika pengarang akhbar dilihat berpihak kepada kerajaan hanyalah kerana kebanyakan dasar kerajaan dirangka dengan cekap dan meberi kebaikan kepada rakyat.

Mungkin benar kata Ali Imran bahawa Dr. Mahathir hanya akan mendedahkan dirinya kepada kritikan bila beliau mengkritik kerajaan. Tapi mengenali Dr. Mahathir dari jauh selama lebih 30 tahun, beliau bukanlah orang yang peduli kepada imej dan kejayaan peribadi. Beliau melihat kepentingan bangsa, negara dan agama lebih penting dari dirinya.

Ali Imran berkata adalah lebih baik kita tumpukan kejayaan kepada Wawasan 2020 ilham Dr. Mahathir. Cuma apa yang penulis ini tidak sedar ialah Wawasan 2020 bukan dilahirkan untuk sekadar retorik politik oleh Dr. Mahathir.

Sebaliknya ia dilahirkan bersama perancangan masa depan dan kronologi pembangunan pelbagai fasa yang telah mengambil kira pemangkin ekonomi pelbagai sektor dan daerah. Soalnya jika sebahagian daripada perancangan tersebut sudah semakin hilang dari pelan jangka panjang bolehkah kita mencapai negara maju pada 2020? Dan apakah pelan yang dirancang selama dua dekad yang lalu masih digunapakai oleh kerajaan hari ini?Walau apa pun perbahasan kita, saya tetap berpendirian bahawa Dr. Mahathir atas jasa dan pengorbanannya selama 22 tahun membangunkan negara berhak untuk bercakap demi negara ini.

Ab. Jalil Backer
Petaling Jaya
posted by jasindaily online @ 3:59 AM  
0 Comments:
Post a Comment
<< Home
 
DPPKJASIN

Name: jasindaily online
Home: Jasin, Melaka, Malaysia
About Me: Di bangunkan pada bulan April 2005
See my complete profile
CORETAN YANG LALU
ARKIB JASNIDAILY
POWERED BY

Free Blogger Templates

BLOGGER

© 2005 Info Template by Isnaini Dot Com