Ketika Umno merayakan ulangtahun ke-60nya hari ini, sebuah DVD yang mengandungi kritikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr.Mahathir Mohamad terhadap pemimpin negara sedang diedarkan. Dr Mahathir di dalam Rakaman DVD selama 2 jam itu antara lain membidas para pemimpin negara yang disifatkannya sebagai pengecut. "Jika kita mahu sesuatu dilakukan dengan betul, kita mesti berani mengambil risiko. Tetapi sekarang ini saya lihat tiada siapa yang berani mengambil risiko walaupun negara ini jatuh ke tangan pihak tidak bertanggungjawab," katanya. Bekas Perdana Menteri yang berusia 82 tahun itu kesal kerana para pemimpin yang ada kini lebih rela mendiamkan diri daripada bersuara kerana mahu menjaga diri masing-masing. Kritikan keras Dr. Mahathir itu dibuat dalam satu majlis dialog dengan sekumpulan profesional Melayu pada hujung tahun lalu. Rakaman DVD itu diedarkan oleh Institut Kajian Ekonomi dan Politik (Ikape). Malaysiakini berjaya mendapatkan satu salinan DVD berkenaan Dalam perjumpaan tertutup itu, Dr, Mahathir juga bercakap mengenai pembatalan pembinaan jambatan baru menggantikan Tambak Johor, isu Proton, dasar pertanian negara dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Majlis dialog tersebut bertajuk 'Isu-isu semasa dalam politik Malaysia' dianjurkan oleh Ikape pada Disember lalu. Institut tersebut diketuai oleh bekas Ketua Pengarag akhbar New Straits Times, Tan Seri Abdullah Ahmad. Dr. Mahathir juga bercakap mengenai isu permit import kereta (AP). Menurutnya sudah lama penyelewengan berlaku dalam pengagihan AP tersebut tetapi tiada siapa berani menegurnya. "Jadi saya terpaksa bersuara, membuat kenyataan umum mengenainya walaupun saya pernah berjanji tidak akan mencampuri urusan kerajaan lagi apabila bersara. " Penyelewengan AP ini adalah satu penyelagunaan kuasa yang bertentangan dengan kepentingan nasional. Saya tidak boleh mendiamkan apabila ada pihak diperas supaya membayar lebih RM300 juta wang pendahuluan kepada beberapa orang bagi mendapatkan AP mengimport kereta," jelasnya. Melayu baru Menurut beliau, lebih mengecewakan lagi apabila di dalam Umno sendiri tiada siapa mahu membetulkan atau mengkritik kesalahan yang berlaku di depan mata mereka. "Lihatlah dalam Wanita Umno, mentang-mentang Rafidah Aziz adalah ketua mereka dan menteri yang bertanggungjawab trerhadap AP, ahli-ahli Wanita hanya mendiamkan diri. " Sedangkan pada zaman saya, ahli-ahli mengkritik saya, Umno menegur saya malah ada yang melawan saya, cuba menjatuhkan saya. Tetapi hari ini apabila berlaku sesuatu yang tidak betul, mereka tidak mahu bersuara. Kalau begini keadaannya, kita bukan lagi satu kuasa politik sebenar," tambahnya. Dr. Mahathir berkata, beliau tidak pernah mendiamkan diri apabila melihat penyelewengan atau kesalahan berlaku di depan matanya sebagaimana yang dilakukannya pada era allahyarham Tunku Abdul Rahman dulu. " Ketika itu tiada siapa mahu bersuara tentang Tunku Abdul Rahman, saya bangkit menegurnya hingga akhirnya disingkir dari Umno," ujarnya. Bekas Perdana Menteri itu menekankan, jika rakyat mahu sesuatu dilakukan dengan betul atau diperbetulkan, mereka mesti bangkit bersuara dan mengambil risiko. Dr. Mahathir juga ditanya mengenai ciri-ciri 'Melayu baru' dalam majlis dialog tersebut dan beliau menjelaskan, 'Melayu baru" yang ingin dilihatnya ialah orang yang sanggup berkerja keras, bukannya mengharapkan wang mudah atau rezeki terpijak. " Dapat payung kuning satu, satu kereta Rolls Royce, dapat istana dengan pencen. Apa lagi nak? Tak payah buat kerja! Ini bukannya Melayu baru yang kita hendak. Tujuan kita ialah mengubah sistem nilai yang selama ini tidak membantu kemajuan orang Melayu," jelas beliau. Dr. Mahathir juga bercakap mengenai hala tuju masa depan negara ini yang mana pada pendapatnya tidak berada di landasan yang betul sekarang. Bahagian kedua esok antara lain Dr. Mahathir bercakap mengenai dasar pertanian negara, isu jambatan dan Anwar Ibrahim.Berita asal |