DEMI MASA |
|
|
Hishammuddin gelabah hadapi krisis Abdullah-Mahathir |
Tuesday, May 16, 2006 |
KUALA LUMPUR, 16 Mei (Hrkh): Ketua Pemuda Umno, Dato' Hishammuddin Hussein tidak dapat menyembunyikan sifat 'gelabahnya' ketika berhadapan dengan pertembungan terbuka Perdana Menteri, Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Sikap membisu beliau selama ini menunjukkan seolah-olahnya beliau 'hilang pendirian' dalam menangani 'pertembungan' dalam exco pemuda Umno di mana Mukhriz Mahathir secara terbuka mempersoalkan keputusan kerajaan membatalkan projek pembinaan jambatan bagi menggantikan Tambak Johor.
Hanya selepas Harakah keluaran terbaru melaporkan sikap membisu Hishammuddin, barulah beliau bersuara meminta supaya tidak ada pihak yang mempertikaikan tentang keputusan Pemuda menyokong keputusan kerajaan dalam soal pembatalan jambatan baru menggantikan tambak Johor.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pemuda UMNO Negeri Terengganu Ahad lalu di Kuala Terengganu. menantu Perdana Menteri yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin turut hadir.
Bagaimanapun, sikap Hishammuddin, yang begitu lama membisu terhadap kenyataan Mukhriz itu dan begitu lambat membuat penjelasan tentang pendiriannya, masih menjadi tanda tanya. Sebelum ini, hanya Khairy dan exco-exco Pemuda Umno yang dilihat menyebelahinya sahaja yang bersungguh-sungguh menyatakan kenyataan Mukhriz adalah pandangan peribadi. Bagaimanapun, Khairy mengakui pula tiada tindakan akan dikenakan ke atas Mukhriz.
Mukhriz dianggap sedang menyusun langkah dan menghimpun kekuatannya apabila mengadakan majlis-majlis yang membolehkannya bertemu dengan anggota-anggota Pemuda Umno di peringkat grass root.
Ketika Khairy berada dalam majlis berkempen di Kuala Terengganu, Mukhriz berjaya menghimpunkan lebih 700 peserta dalam majlisnya sendiri, Kolokium Mengantarabangsakan Rumpun Melayu di Kota Kinabalu Sabtu malam. Bapanya, Mahathir menyampaikan ucaptama di majlis yang dianjurkan bersama Pemuda Umno Sabah itu.
Dalam sesi dialog dengan para peserta kolokium itu, Mahathir menegaskan, beliau berbeza pendapat dengan kerajaan Malaysia sekarang dalam isu pembatalan pembinaan jambatan bengkok.
Beliau berkata kerajaan Malaysia berhak untuk membatalkan pembinaan jambatan lurus bagi menggantikan Tambak Johor tetapi sewajarnya pembinaan asal jambatan itu diteruskan kerana ia tidak membabitkan Singapura.
"Kalau kita tak sentuh Singapura kita boleh buat jambatan tetapi malangnya jambatan itu juga dibatalkan...itu sahaja yang saya tidak setuju dengan kerajaan sekarang ni," katanya sebagai respon kepada persoalan sama ada projek jambatan itu patut diteruskan atau tidak.
Singapura sebelum ini dilaporkan meminta Malaysia menjual dua bilion meter padu pasir kepada republik itu dalam tempoh 20 tahun dan membenarkan penggunaan ruang udara Malaysia sebagai syarat persetujuan untuk sama-sama membina jambatan lurus bagi menggantikan tambak Johor.
"Jadi itulah masalah perbezaan pendapat saya dengan kerajaan sekarang ni... sebab itu saya keluarkan pendapat saya walaupun saya telah berjanji tidak akan campur tangan (selepas bersara)," katanya.
"Walaupun saya janji saya tak akan sentuh tapi kalau buat macam itu saya sentuh juga, kaedahnya sama kalau kita janji kita tak akan buat apa-apa tetapi terlihat di depan kita seorang sedang dipukul takkanlah kita nak duduk tengok saja. Saya tak janji setakat itu.Saya mula-mula ingat kalau boleh nak elak daripada bercakap benda-benda yang kontroversi. Saya minta maaf jika saya buat penjelasan sedikit mengenai perkara ini. Mereka nampak tak faham apa yang menjadi kontroversi itu," katanya
|
posted by jasindaily online @ 6:22 AM |
|
|
|
DPPKJASIN |
Name: jasindaily online
Home: Jasin, Melaka, Malaysia
About Me: Di bangunkan pada bulan April 2005
See my complete profile
|
CORETAN YANG LALU |
|
ARKIB JASNIDAILY |
|
POWERED BY |
|
|