Memang saya akui, separuh usia saya ini telah dihabiskan dengan kejahilan. Umat Islam menggunakan perkataan jahil sebagai gambaran kekurangan pengetahuan mengenai Islam. Hanya apabila melepasi separuh hayat saya ini dulu barulah saya memahami Islam dan bolehlah dikatakan sebagai baru lahir dengan keIslaman
Kebanyakan orang Melayu adalah penganut Islam yang baru dilahirkan semula. Saya lebih selesa menggunakan perkataan 'masuk Islam'. Akan tetapi separuh hayat saya ini dahulu saya telah sampai ke satu persimpangan hidup yang membuatkan saya terjentik membuat pilihan apakah saya terus dengan hidup tanpa keruan ataupun mengambil belok ke kiri ataupun ke kanan. Saya telah memilih untuk membelok ke arah kanan.
Bukan saya yang membuat pilihan untuk menjadi seorang yang beragama Islam. Itu bukan kesilapan saya sebenarnya. Tentu anda faham akan perkara itu. Ia berlaku secara kebetulan laksana satu 'kemalangan' menyebabkan saya mempunyai seorang bapa yang beragama Islam. Apa bezanya kepada saya kalau memiliki seorang bapa yang beragama Yahudi, Kristian, Hindu, Buddha, Taois ataupun apa sahaja. Bagi saya, menjadi seorang Islam bukanlah atas pilihan diri dan saya tidak mahu membenarkan diri ini dikongkong oleh agama itu. Saya tidak peduli apa orang lain kata dan saya tidak pernah tertekan oleh pengaruh kawan-kawan. Kalau saya berminat untuk meminum bir saya akan melakukannya. Memanglah saya pernah berpuasa di bulan Ramadan sekurang- kurangannya 90% sepanjang bulan itu. Tetapi, berbuka puasa dengan meminum bir bukanlah sesuatu yang saya anggap luar biasa. Anda bolehlah katakan betapa saya ikutkan hati saya, dan begitulah jadinya. Seperti yang anda juga tahu, selalunya hatilah yang mempengaruhi pertimbangan di kepala.
Saya tidak pernah menganggap diri saya menolak Islam. Saya menerima hakikat bahawa saya lahir sebagai seorang Muslim dan tidak mempunyai masalah dengannya. Namun, kefahaman Islam saya mengatakan bahawa agama saya adalah antara Tuhan dengan saya dan orang lain tidak boleh ambil peduli. Saya memang pernah meminum bir. Jadi, kenapa? Saya masih juga menyebut Bismillah setiap kali meletakkan gelas bir ke bibir. Dan menyebut Alhamdulillah bila saya sendawa. Yang penting saya bukan seorang hipokrit dan ini adalah sesuatu yang amat penting dalam pertimbangan saya. segala-galanya saya lakukan secara terbuka. Saya tidak buat sesuatu secara bersorok-sorok. Berpura-pura warak di hadapan khalayak ramai sedangkan secara peribadi saya adalah seorang hantu. Memang saya teruk satu ketika dahulu tetapi saya ikhlas dalam kejahatan itu
Memang seronok hidup ligat di laluan ekspres itu. Lebih lagi ketika berusia muda remaja dalam awalan 20-an. Akan tetapi apabila saya mendekati pertengahan 20-an minda saya mula melonjak mahu mencari pengetahuan baru mengenai agama saya. Saya dilahirkan sebagai seorang beragama Islam setelah memang tidak mengenalinya kerana tidak mengamalkan ajarannya. Interaksi awalan saya tidak mendekatkan saya kepada agama itu malahan mahukan saya terus berenggang daripada mereka dan agama yang mereka anuti.
Bos pertama saya di tempat kerja sejurus saya berhenti sekolah pada 1970-an dahulu, telah melalui satu pengalaman untuk mengenali Islam. Apa yang telah saya lihat memang menakutkan. Dia akan bermundar-mandir dengan satu botol brandi di tangannya dan kapada keesokan harinya dia bangun dan menjadi ultra-warak. Dia telah mengangkat perabot, TV dan segala peralatan rumahnya dan kumpulkan di laman untuk membakar semua itu. Jiran beliau terpaksa memanggil polis untuk membantu. Rupanya ada anggapan bahawa kerusi meja, sudu dan garpu, TV dan sebagainya adalah ciptaan Barat. Nabi Muhammad tidak menggunakan semua itu. Dia duduk bersila di atas lantai untuk makan menggunakan tangannya.
Jadi, apa sahaja yang tidak dilakukan oleh Nabi Mohammad yang menjadi ciptaan Barat dan orang kafir mesti diketepikan. Saya fikir kalaulah polis tidak datang besar kemungkinan dia membakar keretanya juga dan pergi keluar mencari seekor kuda ataupun unta.
Contoh beginilah yang menakutkan saya (walaupun minuman bir itu akan membawa saya ke pintu neraka juga). Saya tidak dapat mengagak bagaimana saya boleh menjadi seorang penganut Islam yang sempurna kalau itulah yang dimaksudkan untuk menjadi seorang Muslim yang sempurna.
Bukan bermakna saya tidak pernah menghadiri kelas agama ketika membesar dahulu pada awal 1960-an. Ayah saya adalah seperti ayah Islam yang lain telah membuat jadual agar ada seorang ustaz yang datang ke rumah tiga kali seminggu mengajar saya mengaji Quran dan pelajaran agama. Ketika itu Amerika dan Russia sibuk berlumba-lumba menghantar angkasawan ke angkasa dan kemudiannya melakukan pendaratan manusia di permukaan bulan.
''Cisss,'' kata ustaz. ''Mereka tidak pun tinggalkan bumi ini. Semua itu adalah trik kamera sahaja yang dibuat oleh Hollywood untuk menipu dunia. ''. Kemudian si ustaz tadi telah mengambil beberapa ayat Quran yang membuktikan bahawa hanya Nabi Mohammad boleh naik ke angkasa lepas. Saya dapati cakap ustaz itu sungguh menyayat hati sehingga ia menyebabkan saya kurang yakin terhadap agama saya. Sama ada ustaz itu tidak berpelajaran tinggi, fikirannya sempit ataupun ada sesuatu yang tidak kena dengan Islam
Kemudian, orang Islam yang warak memberitahu saya bahawa kita tidak boleh mengenakan pakaian semacam orang kafir. Kerana kita juga akan turut terikut-ikut menjadi kafir. Pakaian 'suits' dan pakaian barat adalah pakaian orang kafir. Dan orang Islam yang mengenakan pakaian kafir akan menjadikan mereka tidak Islam. Kita mesti pakai jubah dan serban. Hanya demikian kita menampakkan keIslaman yang tulen.
Orang Islam terutamanya penganut pertubuhan Al Arqam memakai pakaian hijau, jubah dan serbannya sekali, dan mereka akan memandang hala lain setiap kali melintas rumah kami. Mereka enggan melihat kami kerana menganggap kami orang Barat dan bukan Islam sebenar. Mereka tidak akan bertentangan muka orang perempuan dan akan memandang ke lantai setiap kali bercakap dengan kaum wanita Saya terfikir juga seandainya saya mahu menjadi seorang yang soleh saya mesti berlagak semacam mereka juga.
Kira-kira awal 1990-an beberapa anggota Al Arqam telah datang menziarahi saya. Mereka mengajak saya menyertai mereka. Saya telah mengekori mereka sekejap dan tidur semalam di perkampungan mereka di Perlis dan Sungai Penchala. Saya dapati mereka memang menarik, cukup berusaha dan bersemangat dan bukan semuanya mempunyai fikiran sempit semacam yang saya gambarkan 20 tahun sebelum itu. Mungkin juga pertubuhan itu telah berkembang maju dan menjadi liberal, saya tidak pasti tetapi saya dapat serasi dengan pengikut Al Arqam itu setelah mengenali mereka lebih dekat. Hubungan saya dengan Al Arqam terputus apabila ramai pemimpin mereka ditangkap di bawah ISA dan kerajaan mengharamkan pertubuhan itu. Isteri naik lega dengan keadaan itu kerana pertubuhan itu sudah merancang meyakinkan saya supaya kahwin lagi satu.
Akan tetapi ada sesuatu yang tidak kena. Saya sedar mereka memang warak tetapi ada sesuatu yang saya masih belum pasti, apa yang tidak kena itu. Orang Al Arqam berkata mereka adalah benar. Kerajaan pun berkata mereka bersalah. Orang PAS kata orang UMNO adalah kafir. Orang UMNO kata orang PAS adalah kumpulan pelampau ataupun ekstrem. Jihad adalah satu perjuangan yang fardu dalam Islam dan orang Islam yang tidak melakukan Jihad adalah bukan Islam yang sebenar. Begitulah seterusnya. Saya telah mendapatkan nasihat daripada seorang Tok Guru Saya mahu tahu yang mana satu agama Islam yang tulen. Nampaknya terlalu banyak versi Islam hinggakan saya hilang punca untuk mengenali mana satu yang betul dan mana satu yang salah.
Tok Guru berkata bahawa Hijrah dan Jihad adalah dua unsur yang dimestikan oleh Islam ke atas kita. Hijrah bermakna anda keluar daripada keadaan kedunguan, Hijrah juga membawa makna anda keluar daripada kehidupan yang penuh dosa. Jihad bermakna anda pergi berperang. Anda berperang dengan diri sendiri, dan merupakan perang dalaman. Secara asasnya Jihad adalah satu peperangan antara anda dengan hawa nafsu, perjuangan anda mengawal nafsu, tamak dan haloba, keangkuhan, dan apa juga penyakit minda , termasuk 'Superiority Complex.'
Hmmm...... cakap-cakap ini adalah sama sahaja dengan cakap orang Kristian, walaupun saya akur sahaja apa yang dikatakan oleh Tok Guru. ''Memanglah,'' jawab Tok guru. ''Islam mempunyai akar umbinya daripada Kristian dan juga Judaisme. Inilah tiga orang yang berpandukan kitab suci'' Baiklah, saya faham tahap itu. Jika demikian kenapa pula kita berperang dengan orang Yahudi dan Kristian? ''Disebabkan kebodohan'' jawab Tok Guru. ''Itu sebabnya kita mesti mencari ilmu pengetahuan supaya kebodohan dapat dihapuskan.''
Bukankah mereka yang memimpin peperangan ini di kalangan pelbagai agama itu adalah orang yang berpendidikan? Sudah tentu mereka tidak begitu dungu mengenai Islam.? ''Aha...itu adalah politik dan bukannya agama,'' kata jawapannya. ''Politik adalah sasarannya dan agama adalah yang menjadi tohmahannya. Adalah memudahkan berpolitik kalau sesuatu itu dibuat atas nama agama. Ia memberikan semangat perjuangan kepada sesuatu usaha dan tidak ada orang yang mempersoalkan motifnya. Akan tetapi politik hanya mengenai satu perkara sahaja, pencapaian kuasa. Malangnya dalam perjuangan semacam itu hanya ada satu bahan korbannya. - AGAMA. Agama telah dikorbankan kerana pencapaian kerakusan dunia, dan dalam hal ini ia adalah kuasa. Itu sebabnya Islam memperingatkan kita mengenai nabi palsu. Demikian penjelasan Tok Guru.
Saya pernah juga menemui beberapa pemimpin agama Islam daripada barat – mereka adalah orang Arab yang sudah menjadi warga Amerika Syarikat dan pemimpin pergerakan Islam AS. Mereka telah mencelikkan mata saya lebih besar lagi. Mereka makan burger lembu daripada McDonalds walaupun lembu itu tidak disembelih oleh orang Islam. Orang Melayu selalunya tidak makan benda semacam ini, kata saya. ''Memang kami tahu'' jawab mereka. Kami pernah tinggal di Malaysia dahulu. Akan tetapi daging lembu itu halal, makanlah. Minyak wangi ataupun kolon bukannya najis kata mereka, Ini boleh diguna pakai oleh orang Islam walaupun ia mengandungi spirit ataupun alkohol. Yang dianggap haram. Orang Melayu tidak menggunakannya kerana alcohol itu haram., demikian saya mengingatkan mereka. Aha…kata mereka. Jadi bagaimana dengan beras? Beras digunakan untuk membuat Sake, Malt digunakan untuk membuat bir, dan anggur untuk membuat wain. Apakah ini bererti beras, malt dan anggur itu haram?
Kasut 'Hush Puppies' (kasut di padang golf – penterjemah) adalah dibuat dari kulit babi dan tidak haram. (Mula-mula saya fikir itu haram) kerusi kulit yang diperbuat daripada kulit babi tidak pula dianggap najis kalau orang Islam mendudukinya. Tidak Najis? Bukankah babi itu haram? Tidak, anda tidak boleh makan daging babi, tetapi ini tidak bermakna anda tidak boleh duduk atas kulit babi ataupun pakai kasut kulit babi. Tapi itu bukan pendapat yang disetujui oleh orang Melayu, kata saya kepada mereka. ”Kami tahu” kata mereka ”tetapi orang Melayu jahil” kata si Arab ini yang mampu menghafal keseluruhan isi Al-Quran dan faham apa makna setiap perkataannya.
Aduh...pening……pening. Jika demikian apa yang dibolehkan dan apa yang tidak boleh? Saya semakin sangsi. Orang Melayu kata ini tidak boleh dan itu tidak boleh. Sedangkan kamu semua kata semua itu boleh. Hanya babi dan arak sahaja tidak boleh.
Mereka menjawab; ''Islam adalah satu agama yang amat mudah. Yang tidak mahu membebankan pengikutnya. Akan tetapi pengamal agama Islam menjadikan agama itu kompleks, dan menyukarkan. Orang Melayu tidak akan bersolat selagi tidak mempunyai pakaian yang bersih dan ada tempat bersolat yang suci seperti masjid. Kami bersolat di mana sahaja selagi tidak nampak ataupun terhidu najis di tempat mahu bersolat. Yang pentingnya ialah anda bersolat secepat mungkin tanpa berlengah kerana anda fikir anda tidak mempunyai pakaian yang bersih ataupun tempat bersolat yang sempurna untuk mengerjakan solat anda. Orang Melayu lebih sedia meninggalkan solat kerana tidak menjumpai tempat bersolat yang sesuai ataupun meragukan pakaian yang mereka kenakan untuk bersolat.
Mereka telah menjelaskan pada saya, kebanyakan orang Islam sengaja mengenakan hambatan untuk menyukarkan kerja-kerja menjadi orang Islam yang sempurna. Islam bukannya semacam itu. Mereka yang tidak memahami Islam yang membuatkannya begitu.
Soalnya itulah Islam yang saya pelajari daripada Ustaz saya, jelas saya kepada mereka. ''Aha...jangan belajar agama Islam daripada orang Melayu,'' kata mereka. ''Orang Melayu bukannya contoh umat Islam yang terbaik'' kata mereka ''Tetapi, '' kata saya pula, ''orang Melayu adalah umat Islam yang lebih baik daripada orang Arab?''
''Macam mana orang Melayu boleh menjadi umat Islam yang lebih baik?'' tanya mereka yang semakin naik angin. ''Orang Melayu adalah Melayu pada tahap pertamanya, dan menjadi umat Islam selepas itu.'' kata mereka. ''Ini adalah unsur nasionalisme. Dan nasionalisme dalam Islam dianggap haram. Selagi orang Melayu tidak menghentikan konsep Melayu dahulu dan Islam kemudian, mereka tidak akan menjadi umat Islam yang sempurna. Ingatlah perkara ini, kata mereka. Saya akan ingat ini. Dan saya juga masih melihat Ketuanan Melayu, Takkan Melayu hilang di dunia dan Dasar Ekonomi Baru hingga hari ini. Apa yang diperkatakan oleh mereka beberapa tahun dahulu masih lagi relevan hari ini. Melayu itu tetap Melayu dan bukannya Islam. Islam ialah cara hidup - ad deen- orang Melayu tidak mengamalkan addeen. Mereka amalkan ketuanan dan Islam menegah ini dan menolaknya sebagai tidak Islamik.
Mereka telah membuat rumusan setelah menyedari saya semakin keliru. - Ikut kata hati anda-. Pergilah belajar dan belajar. Belajarlah sebanyak mungkin. Tetapi Allah tidak menjangkakan anda akan berbuat sesuatu di luar kemampuan anda. Adalah lebih elok kalau anda tahu hanya 1% agama Islam tetapi anda menyempurnakan ajaran itu sebanyak 100%. Apa gunanya anda menjadi begitu terdidik dan mengetahui semuanya tetapi hanya mengamalkan secubit apa yang anda pelajari.
Apakah ini bermakna, tanya saya lagi, saya akan masuk neraka kerana orang yang pertama masuk neraka adalah orang terpelajar Islam yang gagal mengamalkan apa yang mereka pelajari. Memanglah anda akan masuk neraka juga, kata mereka sambil tertawa. Tetapi anda akan masuk lambat sikit dan itu adalah hukuman kerana tidak mempelajari Islam seperti yang dimestikan.
OK tanya saya lagi. Apa kata kalau saya belajar juga dan yang saya pelajari itu bercanggahan dengan ajaran orang lain? Ajaran siapa yang mesti saya ikut? Anda ikutlah apa kata hati anda, jawap mereka. Kalau niat anda baik, Allah akan membuka hati anda. Kalau anda buat sesuatu itu hanya untuk menyedapkan pandangan orang, bererti anda adalah seorang munafik (hipokrit) dan Allah akan tutup pintu hati anda. Sudah tentu anda akan terpesong ke jalan yang tidak betul.
Ingat, kata mereka lagi. Apabila anda mati kelak, anda juga akan menjawab soalan Allah. Tidak ada sesiapa yang akan membantu anda. Itu sebabnya anda mesti ikut kata hati dan berniat ikhlas. Orang lain akan menjadi sibuk cuba menyelamatkan diri sendiri, mereka tidak ada masa untuk anda.
Betul, jawab saya. Jadi laluan mana yang saya dapat pastikan sebagai jalan yang betul? Jalan yang digerakkan oleh hati anda adalah jalan yang betul, jawab mereka. Allah memberikan anda otak untuk berfikir. Maksudnya anda mesti gunakan otak juga. Jadi, carilah ilmu sebanyak mungkin,. Akan tetapi, asas kamu, jatidiri, hati nurani, keikhlasan, dan semua itu mesti menjadi panduan anda.
Hmm,. Nampaknya perkara semacam ini memang sukar untuk diamalkan di Malaysia. Versi Islam orang Melayu amat keras. Saya mesti ikut bisikan hati saya dan hati nurani saya juga. Tetapi saya yakin orang Melayu akan menganggap kelakuan saya sebagai ganjil juga.