Scroll images by bigoo.ws

DEMI MASA

Demi masa. Sesungguhnya manusia benar-benar berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.

LAJNAH DPPKJ
KENALI PAS
Masyarakat kini diancam dengan produk budaya Barat
Tuesday, April 18, 2006
Kekuasaan dunia komunikasi ketika ini dilihat begitu berleluasa sehingga mampu menjadikan masyarakat terutama dalam konteks tempatan yakni Malaysia leka dan menjadi fanatik kepada bahan yang disajikan.

Saluran-saluran komunikasi yang lazim juga dikenali sebagai jaringan komunikasi menjangkau bukan sahaja dalam dunia dan masyarakat setempat malah ianya merentasi sempadan antarabangsa.

Jaringan-jaringan komunikasi pada zaman ini makin meluas apabila disokong dengan kepantasan teknologi dan dikatakan berjaya mendekatkan proses berkomunikasi.

Akibatnya, telah wujud pandangan yang mengatakan bahawa dunia telah mengecil dan menjadi sebuah 'perkampungan sejagat' (global village).

Pandangan ini telah dikemukakan oleh sarjana komunikasi terkemuka, Marshall McLuhan lebih 30 tahun lalu. Idea beliau tercetus dan meluas menerusi tulisannya dalam 'The Medium is the Message: An Inventory of effects and War'.
Idea-idea McLuhan ini dikatakan tercetus melalui kejayaan pelancaran dan operasi satelit telekomunikasi pertama dunia iaitu Intelsat pada tahun 1962.

Menurut McLuhan, melalui perkembangan ini seperti kemudahan satelit, beliau yakin bahawa perkembangan teknologi komunikasi yang pantas akan menyediakan warga dunia dengan maklumat mengenai sesuatu kejadian di dunia dengan pantas, cekap dan tepat.

Hasilnya, penduduk dunia bagaikan berjiran. Misalnya, apa yang berlaku di Amerika dan negara Eropah yang lain dapat diketahui oleh penduduk Malaysia dalam tempoh yang pantas.

Perkampungan sejagat dianggap sebagai penyelesai ketidakseimbangan maklumat

Kewujudan perkampungan sejagat dianggap sebagai penyelesaian kepada ketidakseimbangan maklumat antara negara maju dan negara membangun.

Ini ditandai dengan perkembangan teknologi komunikasi yang pesat dan telah mempengaruhi pembangunan sistem komunikasi sedunia sejak tahun 1945.

Antaranya, teknik 'rephographic' terkini; teknologi video - televisyen, videotex, sistem 'home video', video cakera padat; teknik audio dan teknik litar bersepadu. Lebih daripada itu, teknologi pemprosesan maklumat elektronik dan telekomunikasi telah menambah skop, volume dan kelajuan aliran trafik maklumat merentasi sempadan antara negara (Hamelink, 1994:59).

Akibatnya dikatakan perkampungan sejagat menyebabkan maklumat dan pengetahuan mudah diakses dan pemerintah tidak lagi mempunyai monopoli.

Hasilnya, wujud komuniti global dalam perkampungan sejagat. Dan ketika inilah institusi antarabangsa berpeluang meluaskan pengaruhnya dan secara idealnya ini terjadi dalam persekitaran di mana 'demokrasi penyertaan' (participacy democracy) meluas kerana komunikasi telah dipertingkatkan (Low, 1997:140).

Pemerintah mengawal penghasilan produk budaya di negara sendiri

Sungguhpun demikian, pandangan bahawa maklumat dan pengetahuan mudah diakses tanpa monopoli penuh pihak pemerintah merupakan satu andaian 'pandir' dan dangkal.

Ini disebabkan, andaian sedemikian masih boleh dipertikaikan kerana pihak pemerintah masih lagi memiliki kawalan dalam penghasilan produk budaya di negara-negara membangun hatta di Malaysia sendiri.

Ini sesuai seperti dalam dakwaan Marx [dlm. Marx dan Engels, 1982: 64], bahawa "kelas yang memiliki kaedah pengeluaran bahan di masa yang sama akan menguasai juga kaedah pengeluaran mental, agar idea-idea mereka yang tidak mempunyai kaedah pengeluaran mental akan tunduk kepada idea-idea kelas pemilik ini."

Oleh yang demikian, tidak hairanlah sekiranya Mustafa dan Loh (1996:100) berpendapat bahawa, di negara ini kawalan berlangsung dalam tiga cara iaitu perundangan, pemilikan dan kawalan dalam penerbitan besar, dan melalui promosi terhadap budaya kewartawanan pembangunan bertanggungjawab (responsible development journalism) antara pengamal-pengamal profesion ini.

Maklumat dunia dimonopoli oleh syarikat gergasi antarabangsa

Perkongsian maklumat dengan istilah perkampungan sejagat sepertimana yang dibawa oleh McLuhan telah dipersoalkan oleh negara-negara membangun sejak lebih dua dekad yang lalu.

Masyarakat dunia ketiga yang baru bebas daripada cengkaman kolonialisme telah menyuarakan pandangan tentang ketidakseimbangan dan ketidaksetaraan (imbalances ann inequalities) pengaliran maklumat dunia.

Pandangan sebegini dilontarkan kerana ia berkait rapat dengan piagam penubuhan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Unesco yang melihat komuniti antarabangsa telah menetapkan objektifnya bahawa, untuk menjamin dan memelihara kebebasan, dan pengaliran bebas maklumat (Mac Bride, 1980:35).

Namun secara praktiknya, piagam ini hanya tinggal sebagai retorik semata-mata.
Oleh sebab itu, Unesco telah mengambil daya usaha untuk mewujudkan sebuah suruhanjaya yang diamanahkan untuk mengkaji masalah komunikasi. Hasilnya, suruhanjaya yang diketuai oleh Sean Mac Bride dari Ireland telah menyiapkan laporan 'Many Voices: One World pada 1980.

Laporan ini walaupun mempunyai kekurangan tetapi telah mengakui bahawa wujudnya ketidakseimbangan dalam pengaliran maklumat.

Berdasarkan itu kita boleh menilai satu contoh klasik bagaimana berlakunya ketidakseimbangan pengaliran maklumat iaitu melalui dominasi pengedaran berita dunia oleh lima agensi gergasi berita antarabangsa iaitu Associated Press (AP - Amerika Syarikat), United Press International (UPI - Amerika Syarikat), Reuters (Britain), Agence France Presse (AFP - Perancis) dan Telegrafnoie Sovetskavo Souizza (TASS - bekas Soviet Union).

Dominasi lima agensi ini telah menyebabkan liputan yang tidak seimbang mengenai negara-negara dunia ketiga. Peristiwa-peristiwa di negara dunia ketiga kurang mendapat perhatian mereka, dan kalau ada pun pemaparannya adalah dalam bentuk negatif. Apa yang nyata, arah pengaliran berita bergerak dari dunia pertama ke dunia ketiga dalam ketidakseimbangan (Whetmore, 1995:400).

Negara maju melakukan penjajahan baru

Sebenarnya, sejak sekian lama kita perlu mengakui bahawa sistem komunikasi dunia dikuasai oleh negara-negara maju seperti Amerika.

Dari negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, Eropah, dan Jepun inilah gergasi media dunia beroperasi menyebarkan maklumat ke seluruh dunia.

Melalui syarikat multinasional, maklumat bukan sahaja menjadi sebagai komoditi utama, malah produk budaya turut dieksport ke negara-negara membangun.

Syarikat-syarikat ini, seperti yang disebut oleh Mowlana (1975), telah menjadi pengeluar utama dalam penghasilan maklumat dan produk budaya di peringkat global.

Syarikat sebegini biasanya terdiri daripada pengeluar filem, penerbit buku, stesen televisyen, agensi berita, syarikat rakaman dan sebagainya.

Akibatnya, wujudlah apa yang disebut sebagai neo-kolonialisme. Ia merupakan satu penjajahan bentuk baru bagi menggantikan kolonialime yang tersingkir lewat Perang Dunia ke-2.

Gejala inilah yang amat dibimbangi ketika ini, kerana ancaman produk budaya yang dibawa mampu meranapkan sesebuah negara jika pemerintahnya tidak berhati-hati.

Masyarakat Malaysia menjadi mangsa jajahan Amerika

Misalnya, eksport filem-filem Barat yang didominasi oleh Amerika telah berjaya memecah tembok negara-negara Timur yang terkenal dengan adab sopannya dan meruntuhkan nilai-nilai keislaman yang dimiliki selama ini.

Penayangan filem-filem berbentuk 'super hero' seperti 'Spiderman', 'Batman' (sekadar beberapa contoh) dilihat mampu menembus jangkauan fikiran anak-anak sehingga menjadi idola yang mungkin melakukan aksi-aksi 'stunt' yang membahayakan.

Begitu juga filem 'Harry Potter and The Half Blood Prince', penonton yang majoriti mengaku sebagai umat Nabi Muhammad s.a.w. seolah-olah diajak berhibur dengan sihir sehingga menyematkan di minda penonton bahawa mengamalkan sihir tidak salah, malah kita boleh mempelajarinya di sekolah atau institusi yang tertentu.

Ini seolah-olah menjadi salah satu dakyah Amerika melalui perkampungan sejagat yang dibawa oleh syarikat pengeluar filem yang cuba meracuni umat akhir zaman ini, bahawa mengamalkan sihir itu bukanlah satu dosa sebaliknya sebagai hiburan yang halal.

Selain itu, rancangan-rancangan hiburan yang berbentuk realiti seperti Akademi Fantasia, Malaysian Idol, Who Will Win dan Audition telah mencetuskan arus kegilaan dan fanatik golongan muda yang sudah tidak antara yang halal dan haram.

Tidak salah kita bertanding untuk menguji minda atau beradu kekuatan di gelanggang, tetapi pertandingan hiburan seperti yang disebut seolah menjadi medan maksiat yang halal.

Sebenarnya dalam konteks sebegini, rakyat yang majoritinya bukan di kalangan kelompok elit masyarakat telah menjadi mangsa kepada pengeluar dan pengedar produk budaya ini.

Nilai Islam dihakis oleh kelompok elit

Menurut laporan (Hamelink, 1994: 103) pada tahun berkenaan (1994) sahaja, industri hiburan yang dieksport seperti filem dan 'home video' telah mendatangkan pulangan sebanyak US$8 bilion sementara tujuh puluh peratus daripada US$20 bilion melalui pendapatan industri muziknya yang dieksport disumbangkan dari luar Amerika.

Ini belum dicampur dengan dakyah dan nilai-nilai Barat 'bobrok' yang telah disemainya sejak sekian lama. Bayangkanlah nilai dan harga yang terpaksa kita korbankan saban waktu dalam negara yang kita cintai ini.

Tidak hairanlah jika sebuah negara yang digelar 'negara Islam' tidak memiliki langsung ciri-ciri keislaman akibat dihakis oleh produk budaya Barat yang dibawa sendiri oleh 'tangan-tangan' yang berada dalam kelompok elit masyarakat.

Oleh yang demikian, pihak pemerintah perlu melakukan sesuatu demi memastikan nilai-nilai yang disuburi selama ini dengan 'nur' Islam dan ketimuran dapat terus dipelihara.

Cukuplah sudah dengan segala bentuk kemaksiatan dan aliran masalah sosial yang kronik akibat pengaruh produk budaya yang mengalir bagai 'air sungai yang tidak bertebing'.

Sudah sampai masanya, satu pelan kontigensi disediakan bagi menyekat dan seterusnya menghalang terus pengaliran produk yang amat membahayakan ini.
posted by jasindaily online @ 7:28 AM  
0 Comments:
Post a Comment
<< Home
 
DPPKJASIN

Name: jasindaily online
Home: Jasin, Melaka, Malaysia
About Me: Di bangunkan pada bulan April 2005
See my complete profile
CORETAN YANG LALU
ARKIB JASNIDAILY
POWERED BY

Free Blogger Templates

BLOGGER

© 2005 Info Template by Isnaini Dot Com