MELAKA 14 April - Semua juvenil dari Sekolah Henry Gurney (SHG) dijangka berpeluang menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sekolah-sekolah harian terpilih seluruh negara, bermula tahun depan. Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Fu Ah Kiow berkata, cadangan pelaksanaan itu masih dalam peringkat penelitian dan belum dibawa ke pengetahuan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Beliau memberitahu, jika cadangan itu diluluskan, juvenil terbabit dapat mengambil peperiksaan utama tersebut di sekolah-sekolah harian dengan pengawasan Jabatan Penjara.
Katanya, langkah ini wajar bagi memberi peluang kedua kepada lepasan SHG membersihkan nama mereka dengan memperoleh sijil peperiksaan yang tercatat nama sekolah harian terpilih.
''Ia dapat menepis pandangan negatif masyarakat terhadap status lepasan SHG. ''Sebelum ini, lepasan PMR dan SPM dari SHG merintih kerana sukar mendapat pekerjaan atau melanjutkan pengajian tinggi kerana tercatat nama Sekolah Henry Gurney pada sijil peperiksaan mereka,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat lawatan ke Sekolah Henry Gurney, Telok Mas di sini hari ini.
Setakat ini, terdapat empat SHG di negara ini iaitu SHG Telok Mas, Melaka; SHG Batu Gajah, Perak; SHG Keningau dan SHG Kota Kinabalu, Sabah.
Tahun lalu, sebanyak 94 peratus calon peperiksaan PMR dari SHG seluruh negara lulus, manakala 100 peratus lulus dicatatkan pada 2004.
Bagi SPM pula, mencatatkan keputusan 89 peratus lulus pada tahun lalu bagi seluruh SHG dan 92 peratus pada 2004.
Dalam pada itu, Ah Kiow menambah, pihaknya akan berbincang dengan Hishammuddin dalam tempoh terdekat ini bagi mendapatkan kebenaran berkenaan.
Katanya, jika cadangan itu diluluskan, ia boleh dilaksanakan seawal-awalnya tahun depan.
''Calon-calon PMR dan SPM dari Sekolah Henry Gurney tidak ramai dan langkah itu dapat dilaksanakan dengan mudah, malah ia tidak akan menimbulkan sebarang masalah kepada mana-mana pihak,'' jelasnya
|