DEMI MASA |
|
|
Pertarungan di padang tidak sama rata |
Friday, April 14, 2006 |
Sebagai petugas bilik berita, penulis kerap dihubungi orang luar, bertanya itu dan ini. Tidak kurang juga yang memberitahu perkembangan dan isu semasa di tempat masing-masing. Dalam banyak-banyak panggilan itu, ada satu suara lelaki yang kerap bertanyakan aktiviti Parti KeADILan Rakyat. Dia asyik bertanya aktiviti Anwar Ibrahim, aktiviti Dr Wan Azizah Wan Ismail dan parti KeADILan.
Penulis melayannya dengan baik. Tetapi apabila kerap benar, timbul juga rasa jengkel di hati. Terlintas di hati, kalau nak tahu perkembangan Anwar, Wan Azizah atau KeADILan, beli dan bacalah akhbar 'Suara KeADILan' dan akhbar-akhbar alternatif lain. Atau telefonlah ke pejabat KeADILan atau pemimpin-pemimpinnya.
Suatu hari penulis dengan nada sedikit keras bertanya: "Kenapa saudara asyik telefon sini saja. Kalau nak tahu perkembangan parti KeADILan, beli dan bacalah 'paper' Suara KeADILan!"
Jawapannya pendek tetapi cukup menyentak hati penulis: "Saya buta. Mana boleh baca!"
Penulis tergamam, berasa begitu bersalah sekali lantas memohon keampunan Yang Maha Kuasa.
Peristiwa ini membuatkan penulis terpanggil mengetahui lebih lanjut pemanggil misteri itu. Dia memberikan namanya sebagai Rizal, berusia 27 tahun dan kini tinggal di Ulu Langat.
Rizal masih bujang dan profesionnya tukang urut di rumah.
Dalam usia muda itu Rizal mengambil peduli isu-isu kemanusiaan seperti keadilan. "Saya bukan ahli KeADILan," beritahunya. "Tetapi saya ingin melihat keadilan tertegak di bumi ini."
Demikian, betapa gigihnya si pemuda buta ini ingin mengetahui isu-isu semasa membabitkan keadilan dan KeADILan. Tetapi sebahagian besar daripada kita yang sempurana sifat anggota, terus alpa dan leka - hanyut dalam serakah nafsu kemewahan tanpa mempedulikan insan-insan sekeliling.
Jika si buta terpaksa bertarung dengan si celik dalam padang permainan tidak sama rata, kehidupan juga dipenuhi dengan senario serupa.
Baru-baru ini penulis mengikuti Debat Perdana RTM yang seperti biasa moderatornya bekas pengarang, Johan Jaafar. Malam itu, ahli panelnya wakil Umno, Dr Zambry Kadir, Dato' Idris Haron, Dato' Hamzah Zainuddin dan 'tersepit' di celah-celah Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng. Walaupun perbahasannya mengenai Rukun Negara, penulis mendapati ia tersasar daripada menghormati dan mengamalkan falsafah dan semangat yang terkandung dalam prinsip asas negara itu.
Penulis beranggapan majlis itu bukan forum, diskusi atau debat. Malah ia bagaikan permainan badminton. Mula-mula Johan 'angkat' bulu tangkis, belum sempat dibalas oleh Guan Eng, ia dilibas (smash) oleh Idris. Tidak cukup dengan itu, Zambry 'menambah luka' manakala Hamzah (Pengerusi Felcra) memastikan mangsa KO.
Jelas sekali dalam perbahasan itu, Guan Eng hanya 'senyum sana senyum sini' kerana kerap apa hendak diperkatakannya dipotong Johan dan kemudian dilibas secukup-cukupnya oleh Idris, Hamzah dan Zambry.
Suatu ketika, apabila Guan Eng yang 'macam nyawa-nyawa ikan' mahu menyatakan pendapatnya, Hamzah dengan pantas memotong dan secara angkuh antara lain berkata: "Kalau macam inilah sikap pembangkang, macam mana nak perintah negara?"
Begitulah keadaannya di padang permainan yang tidak sama rata. Pihak berkuasa dan yang merasakan diri mereka berkuasa, menggunakan kesempatan sepenuhnya ke atas lawan. Senarionya sama seperti kisah seorang tahanan yang ditumbuk bertubi-tubi hingga lebam mata atau diajak berlawan sedangkan kaki tangannya diikat.
Perhimpunan aman membantah kenaikan harga minyak juga menyaksikan episod di padang yang tidak sama rata. Rakyat datang dengan poster dan laungan meluahkan isi hati mereka tetapi ia disambut dengan deruan helikopter di atas kepala dan pasukan FRU yang bersenjatakan belantan, senapang, meriam air, anjing dan sebagainya.
Jika tidak melalui perhimpunan, bagaimana rakyat mahu bersuara atau memperdengarkan suara mereka? Akhbar, TV, radio - semuanya tidak menyiarkan (menggelapkan) rintihan rakyat, sebaliknya membesar-besarkan suara si pengampu. Buktinya seorang pemimpin kecil yang baru ditabal wakil rakyat diberi liputan besar-besaran hanya kerana berpendapat harga bahan bakar wajar dinaikkan 40 sen seliter.
Dulu ketika mula berkuasa bukanlah PM sudah memberi amaran kepada orang-orang kanannya supaya tidak menyembunyikan apa-apa kepadanya walaupun perkara itu pahit. Kini rakyat hendak memberitahunya, kenaikan harga bahan bakar itu memeritkan mereka, jadi tidakkah zalim namanya mereka yang hendak memberitahu hal itu ditangkap, disembur dengan air asid, dipukul, digertak dengan anjing dan helikopter berlegar hanya beberapa meter di atas kepala?
Hakikatnya, dunia memang padang permainan tidak sama rata. Mereka yang berkuasa menyalah guna kedudukan dengan sedikit saja insan berwaspada. Insan inilah yang ingat masa depan mereka, di mana mereka akan diadili di depan Rabbul Jalil. Ketika itu 'padang sama rata' sebab mulut manusia sudah dikunci, sebaliknya semua anggota tubuh badan akan bersuara, menjadi saksi!
|
posted by jasindaily online @ 6:56 AM |
|
|
|
DPPKJASIN |
Name: jasindaily online
Home: Jasin, Melaka, Malaysia
About Me: Di bangunkan pada bulan April 2005
See my complete profile
|
CORETAN YANG LALU |
|
ARKIB JASNIDAILY |
|
POWERED BY |
|
|