Serentak dengan keputusan itu, kerajaan turut memutuskan untuk memberhentikan semua rundingan bersabit pembinaan jambatan itu dengan republik tersebut.
Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Perdana Menteri (JPM) menjelaskan:
''Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira suara dan sentimen rakyat Malaysia keseluruhannya terutama berkenaan bekalan pasir dan ruang udara.''
Keputusan itu turut meliputi pembinaan ''Jambatan Indah'' atau jambatan bengkok berharga RM620 juta di sebelah Malaysia, yang kerja-kerja awal telah pun dijalankan.
Jambatan Indah itu adalah sebahagian daripada Projek Bersepadu Gerbang Selatan berharga RM2.5 bilion yang akan menjadikan Johor pusat logistik serantau yang akan menghubungkan pelabuhan, lapangan terbang dan lebuh raya.
Mengulas lanjut perkara itu kepada Bernama petang ini, Abdullah berkata, Malaysia tidak meneruskan pembinaan jambatan bagi menggantikan Tambak Johor kerana implikasi dan komplikasi undang-undang yang akan berbangkit kelak.
Perdana Menteri berkata, Kabinet membincangkan projek itu pada mesyuarat mingguannya hari ini dan berpendapat sekiranya Malaysia meneruskan projek itu akan timbul implikasi dan komplikasi undang-undang yang perlu diselesaikan kelak.
''Masalah akan timbul apabila kita hendak potong tambak, laluan paip air dan laluan kereta api (yang sedia ada) kelak untuk disambungkan dengan jambatan yang baru. Masalah itu tidak akan selesai,'' katanya.
Sementara itu, Abdullah yang ditemui pemberita selepas membuat lawatan kerja ke Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah di Putrajaya petang ini berkata, kerajaan akan membayar pampasan kepada kontraktor Gerbang Perdana Sdn. Bhd. sebanyak kira-kira RM100 juta.
Beliau berkata, keputusan yang dibuat kerajaan itu juga bukan disebabkan oleh ''tekanan daripada mana-mana pihak (Singapura).
''Ia dibuat setelah mengambil kira perasaan dan sentimen rakyat yang tidak mahu pasir dan ruang udara diberikan kepada Singapura.''
Abdullah berkata, sebarang rundingan dua hala dengan Singapura selepas ini tidak akan menyentuh lagi mengenai soal jambatan, pasir dan ruang udara.
Ditanya apakah nanti Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) yang bakal digunakan Januari ini akan menjadi `gajah putih'? Abdullah berkata:
''Ia tidak akan menjadi gajah putih kerana semua aliran trafik dari Tambak Johor dan sebaliknya akan melalui CIQ baru itu.''
Pembinaan jambatan menyeberangi Selat Tebrau bagi menggantikan Tambak Johor yang sudah berusia 80 tahun itu tidak disenangi Singapura yang beberapa kali menghantar nota bantahan kepada Kerajaan Malaysia.
Malaysia bagaimanapun membuat keputusan untuk meneruskan rancangan membina jambatan itu di kawasannya sendiri apabila perbincangan antara kedua-dua kerajaan berlarutan tanpa sebarang persetujuan.
Singapura pada mulanya mahu Tambak Johor dikekalkan dengan alasan ia mempunyai nilai sejarah dan tidak percaya projek itu memberikan manfaat kepadanya.
Apabila Malaysia secara unilateral meneruskan projek itu di kawasannya, Singapura memberi amaran bahawa pembinaan jambatan itu boleh mendatangkan ''implikasi serius'', tanpa menjelaskan lebih lanjut.
Bagi Malaysia, jambatan itu dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di Tambak Johor yang akan menguntungkan pengguna kedua-dua negara selain meningkatkan kualiti air di Selat Tebrau yang terhalang alirannya sejak adanya Tambak Johor, sekaligus memulihkan sistem ekologi di perairan itu.
Malaysia meneruskan pembinaan projek itu dengan harapan rundingan antara kedua-dua kerajaan akan mencapai persetujuan Singapura untuk menyambung jambatan itu di bahagiannya.
Bagaimanapun, Menteri Luar Kedua Singapura Raymond Lim memberitahu Parlimen republik itu awal bulan ini bahawa negara itu tidak dapat menerima bahawa Malaysia berhak membuat keputusan sendiri membina separuh daripada jambatan itu.
Dalam rundingan kedua-dua kerajaan, Singapura telah meminta antara lainnya supaya Malaysia membenarkan pesawat pejuangnya menggunakan ruang udara Malaysia dan ia dibekalkan pasir sebagai balasan.
Permintaan Singapura itu dikritik rakyat Malaysia, terutamanya penduduk Johor yang menganggapnya sebagai keterlaluan, yang jika dituruti boleh diibaratkan menggadaikan kedaulatan negara.