Scroll images by bigoo.ws

DEMI MASA

Demi masa. Sesungguhnya manusia benar-benar berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.

LAJNAH DPPKJ
KENALI PAS
ISA: KAN KU LONDEHKAN SEMUA KEBEJATANNYA
Tuesday, April 11, 2006
Perasaan yang paling gejolak dalam sanubari ketika saya ditahan di bawah ISA adalah takut dan berharap. Sebagai insan biasa, takut bererti merasa gerun jika saya terus dipenjara bertahun-tahun lamanya. Berharap pula bererti perasaan yang berterusan menanti-nanti saat dan ketika agar dibebaskan secepat mungkin.

Sebagai manusia kerdil, sudah pasti ingatan terhadap anak-anak, isteri dan bapa yang sudah tua membawa saya untuk sentiasa berharap bahawa penahanan saya tidak lama. Mungkin enam bulan. Mungkin tiga bulan!

Itulah perasaan yang bermain di lubuk hati saya.

Saya dan Ezam, rakan seblok tahanan saya, pada hari-hari pertama kami di Kem Kamunting tidak mahu bercakap banyak tentang masa depan kami. Masing-masing memendamkan perasaan. Mungkin Ezam juga tidak mahu dikurung lama.

Saya sembunyikan perasaan saya. Saya tidak membuka mulut tentang perkara tersebut. Tidak saya zahirkan saya bersedia ditahan lama. Tidak pula saya zahirkan yang saya mahu dibebaskan segera.

Jujur?

Apapun itulah perasaan saya ketika itu. Saya bukan wira. Saya pun tidak mahu jadi hero. Saya mahu..........bebas!

Pada minggu pertama saya di Kem Kamunting, tidak terlintas bahawa saya akan ditahan lebih dari satu tahun. Saya enggan memikirkan kemungkinan tersebut! Terasa seram. Gerun. Meremang bulu roma!

Bagi saya mustahil penahanan kami akan berlangsung hingga satu tahun. Raja Petra dan Pak Din dibebaskan sebelum cukup 60 hari soal-siasat. Ghani dan Gobi pula dibebaskan oleh keputusan mahkamah. Kempen di luar begitu semarak. Isteri-isteri dan anak-anak turut menyumbang meningkatkan kempen untuk membebaskan kami. Tekanan masyarakat dan badan-badan hak asasi manusia tempatan dan antarabangsa memuncak mengutuk penahanan kami. Tidak mungkin Mahathir dapat bertahan.

Dengan itu semua, mustahil saya akan ditahan sehingga satu tahun di Kem Kamunting. Paling lama enam bulan. Mungkin tiga bulan. Hati kecil saya memujuk diri saya bahawa mungkin seminggu dua lagi saya akan dibebaskan. Entah-entah esok ada SB datang dari Bukit Aman menyampaikan berita yang saya boleh balik!!! Begitulah kerdilnya jiwa ini. Begitu daifnya perasan hati. Tinggi sekali kemahuan insan terhadap kebebasan.

Semasa disoal-siasat oleh SB, setelah berlalu 40 hari, perasaan saya mula menjadi cemas. Terdetik di hati: "Eh, aku akan ke Kamunting ke?".
Tetapi saya cuba menguatkan perasaan saya berkali-kali dengan berkata dalam hati "Tidak..tidak..tidak. Bebas..bebas..bebas". kata orang dalam bahasa Orang Puteh: "I was in the state of denial"

Doa dan permintaan saya kepada Allah adalah agar dibebaskan. Tidak dihantar ke Kem Kamunting.

Pada masa itu saya benar-benar merasakan saya diletakkan dalam satu terowong gelap yang tiada penghujungnya. Tiada cahaya kelihatan di hujung terowong. Oh, panjangnya terowong itu. Oh gelapnya, tiada sebarang petanda.

Sehari sebelum saya dihantar ke Kem Kamunting, saya membaca sepotong ayat Al-Quran.

Tersentak jiwa raga saya. Bagai nak tercabut jantung saya! Seolah-olah ayat tersebut ditujukan kepada saya. Bukan tidak pernah saya dengar ayat tersebut. Ayat itu sudah banyak kali saya dengar dalam program-program usrah dan tarbiyyah. Bahkan saya sendiri menyampaikan tazkirah beberapa kali berpandukan ayat tersebut!

Seolah-olah ada satu suara yang membisikkan kepada saya. Dihantar ke Kamunting adalah baik bagi kamu. Hanya kini kamu tidak sedar dan tidak nampak kebaikannya. Setelah kamu melaluinya, pasti ianya baik bagi kamu.

Bukan! Bukan! Bukan! Bukan untuk saya. Bukan ke Kamunting! Tidak ada baiknya merengkok di Kem Kamunting. Tidak ada baiknya dipisahkan daripada anak-anak dan isteri tercinta. Yang ada adalah penyiksaan. Pilu. Sedih. Sengsara!

Ayat itu adalah ayat 216, Surah Al-Baqarah yang mafhumnya : "....dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya"

Bagi mengukuhkah jiwa, saya membaca sirah sahabah. Saya menekuni kisah-kisah Mus'ab bin Umayr, Salim Maula Abi Hudhayfah, Nu'man bin Al-Muqarrin, Utbah bin Ghazwan, Zaid bin Al-Khattab, Khabbab bin Al-Arat, Al-Bara bin Malik Al-Ansari, Abbad bin Bishr dan lain-lain lagi. Tiba-tiba perasaan saya tersentak. Tidak saya sedari air mata saya mengalir deras. Sederas denyutan nadi saya.

Seorang sahabah Rasulullah s.a.w telah ditawan oleh musuh. Beliau dihadapkan kepada para pemimpin musuh. Beliau diperintahkan untuk menghina Rasulullah s.a.w. Beliau enggan. Seorang pahlawan datang menetak sebelah tangannya dengan pedang tajam hingga putus.

Beliau diperintah lagi untuk menghina Rasulullah s.a.w. Sekali lagi beliau enggan. Sekali lagi juga tangannya yang sebelah lagi ditetak dengan pedang tajam. Putus dan kudung kedua-dua belah tangannya. Beliau tetap bertahan. Teguh iman. Cekal pendirian!

Sekali lagi beliau diarahkan menghina Rasulullah s.a.w. Beliau tetap bertahan. Kali ini kakinya pula dipancung hingga putus. Maka ia jatuh dan terus dibunuh.

Syahid!


Membaca kisah ini terasa kerdil sangat diri saya. Saya hanya bergelut mahu dibebaskan sedangkan sahabah Rasulullah s.a.w bertahan dan tidak sedikit pun runsing walaupun bergelut antara hidup ataupun mati.

Saya merasa diri saya begitu kerdil kerana para sahabah diuji aqidah dan keimanan mereka. Sedangkan saya hanya disoal-siasat dan dipaksa oleh SB untuk meninggalkan komitmen dan kepercayaan politik saya. Terasa begitu kerdil. Malu kepada Allah. Teresak-esak saya menangis dalam keheningan malam di Kem Kamunting.

Saya mengaku menjadi anggota gerakan Islam. Pernah menerajui gerakan Islam. Pernah melalui tarbiyyah dengan aneka jenisnya; usrah, tamrin, qiyamullail, iftar jama'i, rehlah, katibah dan mukhayyam. Tetapi inikah sifat seorang pejuang Islam? Beginikah kualiti seorang da'i?.
Saya insaf. Beristighfar kepada Allah. Terasa benar-benar malu kepada Allah. Apalah ertinya kebebasan jika bebas dengan segala kedhaifan dan kelesuan jiwa?

Saya mesti bangkit. Saya mesti lawan. Bangkit melawan. Bebas sebagai seorang yang melawan. Bukan bebas sebagai seorang yang tewas. Patah semangat. Berjiwa bacul!

Hari-hari seterusnya membuka ruang seluas-luasnya bagi tajdid diri saya. Saya bangkit dari terlalu berharap inginkan bebas tanpa melawan. Saya mesti memenuhi tuntutan tarbiyyah. Penjara adalah medan penting bagi tarbiyyah.

Beberapa hari kemudian saya dapati saya berada dalam satu perjuangan menentang kezaliman. Menentang pembohongan dan kebatilan. Senjata saya adalah pena dan kertas. Saya bongkar satu persatu. Saya dedahkan segala kepalsuan.

Meletup!

Afidavit kami meletup di seluruh dunia. Afidavit yang kami kemukakan bagi permohonan habeas corpus kami melondehkan pekong dan pembohongan kerajaan Umno-BN serta kebobrokan dan tembelang SB. Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Anum telah mengecam Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai yang telah memalukan kerajaan.

Memang! kerajaan Umno-BN memang tidak tahu malu!

Saya terus menulis dan menulis. Bila dua buah buku saya "Suara dari Kamunting 1 & 2" terbit hanya selepas lima bulan saya berada di Kem Kamunting, sedarlah saya:

Sadaqallahul 'Azim.

Allah itu benar. Benar! Benar! Benar!

"....dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya" (Al-Baqarah:216)
Ketika itu tidak dalam rancangan saya untuk terus menerbit. Rupa-rupannya sepuluh buah lagi buku menyusul selepas itu.

Dengan izin Allah, saya adalah tahanan ISA pertama di negara ini yang telah menulis dan menerbitkan 8 buah buku dan menyunting dan seterusnya menerbitkan 4 buah buku semasa masih lagi ditahan di Kem Kamunting.

Saya ditahan di Kem Kamunting kurang dua jam setengah genap dua tahun!

Dua tahun yang amat berbaloi!.

Allahu Akbar!
posted by jasindaily online @ 5:50 PM  
0 Comments:
Post a Comment
<< Home
 
DPPKJASIN

Name: jasindaily online
Home: Jasin, Melaka, Malaysia
About Me: Di bangunkan pada bulan April 2005
See my complete profile
CORETAN YANG LALU
ARKIB JASNIDAILY
POWERED BY

Free Blogger Templates

BLOGGER

© 2005 Info Template by Isnaini Dot Com