Scroll images by bigoo.ws

DEMI MASA

Demi masa. Sesungguhnya manusia benar-benar berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.

LAJNAH DPPKJ
KENALI PAS
Rais Yatim rasmi persembahan makyong di Tumpat
Sunday, April 09, 2006
TUMPAT, 9 April (Hrkh) - Apakah hasrat di sebaliknya pemimpin Umno sibuk mendesak kerajaan Kelantan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN), mungkinkah mereka mahu memastikan permainan tradisional yang diharamkan seperti makyong, menora dan main puteri dihidupkan kembali di negeri itu?.

Inilah bukti terbaru yang dapat disimpulkan apabila malam tadi Kementerian Kesenian, Kebudayaan dan Warisan menganjurkan program 'Merakyatkan Seni Budaya dan Kempen Berbudi Bahasa' diadakan di Kampung Bunuhan dekat sini.

Program yang dianggap mencabar Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998 itu dirasmikan menteri terbabit, Dato' Seri Dr Rais Yatim yang turut dihadiri Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Dato' Seri Annuar Musa dan beberapa Adun BN.

Bertempat di dalam kebun kelapa milik seorang penduduk, program itu disifatkan bercanggah dengan peraturan agama, apabila wanita yang berpakaian mendedahkan aurat menari lengang lengok di atas pentas meneriak ‘abang wei.. adik wei'.

Biar pun agak kurang mendapat sambutan menggalakkan kecuali mereka yang hadir untuk melihat sendiri usaha seorang menteri mencabar peraturan berkaitan hiburan di Kelantan, namun ia jelas mencerminkan hasrat Umno untuk mempersendakan agama.

Adun Kelaboran, Mohd Zaki Ibrahim berkata, secara jelas sudah berlaku perlanggaran kepada enakmen yang dikuatkuasa di Kelantan sejak sekian lama apabila persembahan makyong, menora dan main putera yang mendedahkan aurat dan berunsur tahyol dipentaskan kembali.

''Sekarang Dewan Pemuda PAS Kelantan sedang meneliti kembali rakaman persembahan tersebut dan kemungkinan kita akan membuat laporan polis dalam masa terdekat ini kerana mereka sengaja menimbulkan rasa tidak senang hati di kalangan rakyat,'' katanya.

Beliau juga berkata, pihaknya akan menyemak sama ada penganjuran persembahan itu mempunyai permit atau sebaliknya.

Selain makyong penganjur juga menampilkan persembahan dikir barat, Salam Pantai Timur yang bersifat humor mempersendakan dasar kerajaan negeri, paluan rebana, kertuk dan pameran wayang kulit.

Orang ramai yang hadir disajikan dengan pelbagai makanan yang disediakan khas. Di penghujung program, Ketua Umno Tumpat, Dato' Nor Zahidi Omar menyerahkan 'pulut semangat' kepada Rais dan Annuar.

Tempat berlangsung program Merakyatkan Seni Budaya dan Kempen Berbudi Bahasa itu dikawal ketat anggota Rela dan polis. Lorong menghala ke tempat program yang diadakan di dalam kebun kelapa diterangi dengan lampu limpah.

Anggota Rela dilihat berada di sepanjang lorong tersebut. Difahamkan sebuah generator khas dipasang untuk membekalkan kuasa elektrik yang terletak di belakang pentas. Di kawasan itu hanya kelihatan rumah Awang Omar seorang pemain Puteri yang dikenali di kampung terbabit.

Hanya kelihatan hadir remaja-remaja Melayu dan tidak ramai penduduk keturunan Siam, biar pun tapak program terletak tidak jauh dari perkampungan mereka.

Ketika program itu sedang rancak berlangsung, sudah ramai penduduk yang hadir kelihatan pulang. Mereka yang berada berhampiran pentas hanya golongan remaja termasuk gadis berseluar ketat.

Pameran wayang kulit juga diadakan di atas sebuah bas khas dan beberapa buah khemah yang disediakan. Sebuah lagi bas milik kementerian kelihatan berada tidak jauh dari tempat tersebut.

Seorang penduduk ketika ditemui berkata, beberapa hari sebelum program berlangsung petugas daripada kementerian berkenaan sibuk memasang pentas, khemah dan lampu limpah.

''Saya diberitahu beberapa petugas kira-kira RM150,000 diperuntukkan bagi menjayakan program ini. Biar pun tidak minat, saya datang juga kerana kedudukan rumah berdekatan dengan program ini,'' katanya.

Sebelum program itu berakhir, Rais menyampaikan bantuan kepada beberapa pengiat seni antaranya, Che Ahmad Tumpat, Shaari Abdullah dari Pengkalan Chepa, Eh Chong, Pak Nik Suara Emas dan Abdul Rahman Al Baladi.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Perpaduan Masyarakat negeri Dato' Anuar Tan Abdullah berkata, kerajaan negeri tetap bertegas mengenai persembahan makyong, menora dan main puteri kerana ia membabitkan soal akidah.

"Ini bukan soal hiburan kerana soal akidah yang tidak boleh dipermainkan," katanya kepada pemberita pada majlis penutup program Cuti-Cuti Malaysia Travel Mart di sini, malam tadi.

Manakala persembahan wayang kulit pula diadakan di tempat yang sama selepas program utama berakhir kira-kira jam 12 malam.

Selain itu tidak jauh dari pekan Wakaf Bharu satu lagi persembahan wayang kulit diadakan berhampiran jalan utama. Biar pun jam melewati 12.30 malam, persembahan itu tetap diteruskan. Turut kelihatan tidak jauh dari situ beberapa anggota polis.

Rais ketika bercakap kepada pemberita selepas itu mengajak sesiapa yang mencabar program tersebut dengan mengatakan makyong haram di sisi Islam, untuk berdebat.

"Saya tidak nampak makyong ini salah di sesi Islam. Lagi pun pakaian yang mereka pakai, percakapan di dalam persembahan, saya dapati ia tidak bersalahan dengan Islam. Oleh itu, saya bagi kementerian ingin berdebat dengan mana-mana pihak yang mengatakan makyong ini haram," katanya

Ditanya adakah persembahan malam itu tidak menyalahi undang-undang, katanya beliau telah mengkaji peruntukan undang-undang dan didapati tidak menyalahi undang-undang yang ditetapkan kerajaan negeri.

Katanya juga, kemeterian terbabit akan terus mempopularkan menora, makyong dan main puteri yang berasal dari Kelantan ke negeri-negeri lain.

"Kementerian Kesenian, Kebudayaan dan Warisan akan membina sebuah Pusat Kegiatan Seni di Kelantan yang bernilai RM15 juta dan dijangka siap dalam masa satu setengah tahun. Peruntukannya telah dimasuk dalam RMK-9," ujarnya.
posted by jasindaily online @ 4:17 PM  
0 Comments:
Post a Comment
<< Home
 
DPPKJASIN

Name: jasindaily online
Home: Jasin, Melaka, Malaysia
About Me: Di bangunkan pada bulan April 2005
See my complete profile
CORETAN YANG LALU
ARKIB JASNIDAILY
POWERED BY

Free Blogger Templates

BLOGGER

© 2005 Info Template by Isnaini Dot Com