"Biar pun harga kereta diturunkan berikutan pengurangan duti import semua jenis kenderaan siap pasang (CBU) Asean, namun ia tidak mampu menggembirakan sebahagian besar rakyat di negara ini.
Anggota Dewan Negara, Senator Wan Ubaidah Omar berkata, penurunan harga kereta tidak memberi makna kepada seluruh rakyat kerana mereka masih berdepan dengan kenaikan harga minyak yang cukup membebankan.
"Kerajaan tidak perlu berbangga kononnya telah membela rakyat dengan hanya menurunkan duti import.
Ini kerana tindakan berkenaan masih belum mencapai matlamat untuk membela rakyat khususnya golongan yang berpendapatan rendah. "Rakyat terbanyak tidak mendapat sebarang manfaat hasil penurunan harga kereta sama ada yang diimport atau buatan tempatan kerana mereka tidak menerima kesan langsung ekoran perubahan tersebut," katanya di sini. Baru-baru ini, kerajaan mengumumkan Dasar Automatik Negara yang menyebabkan duti import semua jenis kenderaan CBU Asean diturunkan kepada lima peratus.
Wan Ubaidah berkata, biarpun berlaku 'perang' penurunan harga kereta makin ketara sekarang, namun rakyat masih dibelenggu kesusahan hidup akibat barang keperluan harian semakin naik. ''Apa yang perlu kerajaan buat ialah menurunkan harga minyak pada kadar asal.
Hanya dengan cara itu semua barang keperluan harian khususnya beras, ikan, sayur, minyak dan gula tidak melambung seperti sekarang. ''Rakyat di kampung-kampung tak beli kereta baru, nak beli pakaian dan makanan pun sekarang pun agak susah. Jadi tak perlulah kerajaan berbangga dengan kadar penurunan harga kereta,'' ujarnya |