KUALA LUMPUR, 6 April (Hrkh) - Dewan Rakyat menjadi riuh seketika semalam apabila M. Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) mendakwa Ahli Parlimen Sungai Siput, Dato' Seri S. Samy Vellu memiliki rumah bernilai RM5.6 juta di kawasannya (Sungai Siput). Keriuhan dewan tercetus semalam apabila Dato' Wan Junaidi Wan Jaafar (BN-Santubong) bangun mencelah dan menyatakan kedudukan kaum India kedua tertinggi selepas kaum Cina, kerana sebelum ini M Kulasegaran dalam perbahasannya memberitahu kaum India jauh ketinggalan berbanding kaum lain.
"Ini bermakna masyarakat India yang kaya raya tidak membantu India yang miskin,"jelas Wan Junaidi.
M. Kulasegaran yang masih berdiri ketika itu terus memberi contoh salah seorang kaum India yang kaya adalah Ahli Parlimen Sungai Siput kerana memiliki rumah bernilai RM5.6 juta.
Sebaik sahaja M. Kulasegaran membabitkan Ahli Parlimen Sungai Siput di dalam perbahasannya, dewan menjadi riuh dengan kecaman beberapa ahli parlimen Barisan Nasional.
Dewamany S Krishnasamy (BN-Cameron Highlands), Dato' Dr Wan Junaidi Wan Jaafar (BN-Santubong), Dato' Mohammad Aziz (BN-Sri Gading), dan Dato' Bung Mokhtar Raden (BN-Kinabatangan) terus bangun dan masing-masing mengecam M.Kulasegaran kerana membuat tuduhan melulu tanpa bukti yang sah.
Bagaimanapun M.Kulasegaran yang mahu mempertahankan dirinya terus memberitahu dewan beliau mempunyai maklumat lengkap tentang rumah ahli parlimen berkenaan.
"YB.. jangan jumpa saja dokumen terus nak menuduh orang berkenaan,"kata Dato' Muhammad Aziz diikuti celahan beberapa ahli parlimen yang lain.
"Saya seorang 'gentlemen' dan saya ada maklumat lengkap tentang ahli parlimen Sungai Siput, sebab itu saya berani bagi tahu dewan, saya boleh tunjuk dokumen tersebut," jawab M Kulasegaran.
|