DEMI MASA |
|
|
Saksi kecewa ada pihak mengundi guna nama ibunya |
Wednesday, April 05, 2006 |
KOTA BHARU, 4 April (Hrkh) - Seorang saksi perbicaraan kes petisyen pilihan raya kecil DUN Pengkalan Pasir, Fadzil Abu Bakar, 22 melahirkan rasa marah, kecewa dan terkejut apabila mendapat tahu seseorang menggunakan nama ibunya untuk mengundi. Katanya, beliau mendapat tahu nombor siri 213 yang tertera nama ibunya Fatimah Mahmood digaris sebagai pengesahan sudah mengundi diketahui selepas hari pengundian.
Sedangkan kata beliau ketika hari pengundian berlangsung ibunya berada di rumah adik beradiknya di Ipoh, Perak dan hanya kembali ke Kampung Dangar selepas Hari Raya Haji lalu. ''Oleh itu saya mengsyaki segelintir orang Umno dengan di bawah pengetahuan calonnya, mengundi menggunakan nama ibu saya pada 6 Disember lalu,'' katanya menjawab pemeriksaan peguam responden kedua, Siti Salwa Musa pada perbicaraan kes tersebut di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.
Malah beliau menolak cadangan peguam terbabit, petisyen dibuat bagi mencemarkan kemenangan Barisan Nasional di DUN berkenaan pada pilihan raya kecil lalu.
Dan turut menolak andaian peguam, petisyen dikemukakan untuk mempertikaikan proses pilihan raya.
Beliau yang bertugas sebagai 'polling agent' di Sekolah Kebangsaan Sultan Ibrahim 3 menjelaskan tidak mengetahui siapa yang mengundi menggunakan nama ibunya.
''Tetapi memang mengetahui ada pihak yang mengundi menggunakan nama mak saya setelah diberitahu perkara itu pihak pempetisyen selepas hari pengundian,'' katanya menjawab soalan peguam responden pertama, Mohd Hafarizam Haron. Sebelum itu ketika menjawab pemeriksaan utama peguam pempetisyen, Zulqarnain Lukman, Fadzil berkata, ibunya tidak mengundi kerana berada pergi ke rumah anaknya seorang lagi, Kartini di Ipoh, Perak dua hari sebelum pilihan raya. Fadzil lepasan Politeknik Kuantan hanya mengetahui nama ibunya digaris di bahagian bawah sebagai tanda sudah keluar mengundi selepas pilihan raya berlangsung. ''Saya bertugas bukan di saluran satu dan tidak mengetahui siapa yang menandakan bagi pihak emak saya. Saya hanya tahu ada pihak yang mengundi bagi pihak emak saya selepas hari pengundian,'' katanya. Sebelum itu, emaknya, Fatimah, 64 memberitahu mahkamah beliau berada di Ipoh ketika hari mengundi dan membawa bersama kad pengenalan.
Saksi ke-11, Abdul Rahman Salleh yang bertugas sebagai 'polling agent' di saluran 1 Sekolah Kebangsaan Sultan Ibrahim 3 dari jam 8 – 10 pagi pula mengesahkan beliau menandakan garisan di bawah nama Fatimah Mahmood, selepas nama itu disebut kerani SPR.
Menurutnya, beliau tidak kenal siapa Fatimah Mahmood dan mengakui tidak tersilap lagi membuat tandaan tersebut kerana nombor kad pengenalan turut disebut sama kerani SPR.
Hadir sama pada perbicaraan hari ini, Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dato' Mustafa Ali dan Timbalan Speaker DUN Kelantan, Ustaz Nusuruddin Daud dan calon PAS Pengkalan Pasir, Haji Hanifa Ahmad.
Semalam, turut mengikuti perbicaraan, Speaker DUN Kelantan, Dato' Wan Abdul Rahim Wan Abdullah. Galeri awam mahkamah penuh sesak dengan kehadiran orang ramai terutama dari Pasir Mas. Bagaimanapun Adun Pengkalan Pasir, Haji Hanafi Mamat kelihatan keseorangan.
Abdul Rahman juga menolak cadangan peguam responden kedua, garisan di bawah nama Fatimah dibuat biar pun pemilih berkenaan tidak datang mengundi. Dan beliau tidak bersetuju cadangan peguam, garisan itu dibuat selepas hari mengundi. Menjawab soalan Tan Sri Zaki Azmi yang mencadangkan kemungkinan ada dua nama Fatimah di dalam buku daftar sehingga saksi ke-11 itu silap menanda, Abdul Rahman menolak sambil berkata, nombor kad pengenalan berbeza biar pun ada dua nama serupa.
Saksi ke-12, Mariam Abdul Ghani, 53 juga seorang pemilih di Pengkalan Pasir melahirkan rasa tidak puas hati apabila ayahnya, Abdul Ghani Kechik, 69 yang menghadapi masalah penglihatan, tidak dibenarkan beliau mengundi bagi pihak ayahnya. Katanya, beliau sudah mengisi Borang 10 untuk memohon mengundi bagi pihak ayahnya kerana dia uzur dan datang dengan kerusi roda serta tidak boleh melihat dengan jelas.
''Bagaimanapun kerani SPR di tempat mengundi di Sekolah Kebangsaan Dato' Abdul Hamid 2 tidak benarkan saya masuk. Kerana tidak puas hati saya pergi semula ke tempat kerani SPR di luar dan dia sekali lagi mengatakan boleh mengundi bagi pihak bapa sendiri yang uzur.
Kerani di tempat mengundi hanya memberitahu orang buta sahaja dibolehkan anak mengundi bagi pihaknya. Kemudian ayah saya dibawa masuk dan saya tinggal di pintu,'' ujarnya. Dan apabila ayahnya keluar, Mariam menjelaskan dia memberitahu ada orang lain mengundi bagi pihaknya.
Azmi yang cuba mempertikaikan tahap penglihatan bapanya, kemudian mencadangkan ''tidakkah ayah Puan Mariam boleh membezakan di antara petak bertandakan bulan dan dacing.''
Mariam spontan berkata, masalah penglihatan ayahnya beliau tahu sangat kerana sudah lama tinggal bersama. Ekoran itu orang awam yang berada di galeri awam tidak semena-mena tertawa. Malah katanya, sebelum itu beliau sudah membawa ayahnya berjumpa doktor bagi membuat pembedahan untuk menukar manik mata. Seramai empat saksi dipanggil pada sebelah pagi dan tiga lagi sebelah petang termasuk seorang peguam, Osman Mohd Noor.
Perbicaraan bersambung pagi esok. Perbicaraan itu didengar di depan Hakim Mahkamah Pilihan Raya, Dato’ Hasan Lah. Petisyen tersebut difailkan Mohd Ridza Zain pada 4 Januari lalu bagi mencabar keputusan pilihan raya kecil DUN Pengkalan Pasir, ekoran wujud dakwaan beberapa penyelewengan.
Pempetisyen diwakili Haji Mohamad Ariff Yusof, dibantu peguam Hanipa Maidin, Aminuddin Zulkipli, Nasrul Mohamed, Ahmad Najib Deris, Hisyam Fauzi, Abdullah Abdul Karim, Zameri Mat Nawang dan Fariz Izwan Mustafa, manakala responden pertama diwakili Tan Sri Zaki Azmi, Mohd Hafarizam, Norah Abu Bakar dan Azmi Abdullah.
Manakala Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan dan Siti Salwa Musa mewakili responden kedua dan ketiga iaitu pegawai pengurus pilihan raya dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
|
posted by jasindaily online @ 4:35 AM |
|
|
|
DPPKJASIN |
Name: jasindaily online
Home: Jasin, Melaka, Malaysia
About Me: Di bangunkan pada bulan April 2005
See my complete profile
|
CORETAN YANG LALU |
|
ARKIB JASNIDAILY |
|
POWERED BY |
|
|