KUALA LUMPUR, 5 April (Hrkh) - Bekas Ketua Pengarang Kumpulan The New Straits Times Press (NSTP) Datuk A Kadir Jasin mempersoalkan apakah jaminan kerajaan akan dapat mencapai matlamat Dasar Ekonomi Baru (DEB) dalam masa 15 tahun dari sekarang setelah gagal mencapai matlamat itu 15 tahun selepas tamat DEB? "Matlamat ini (30 peratus pemilikan Bumiputera) sepatutnya dicapai pada penghujung DEB pada tahun 1990. Tetapi gagal. Hari ini, 15 tahun selepas DEB tamat, ekuiti Bumiputera, termasuk yang dipegang oleh agensi amanah ( trust agencies), hanya 18 peratus. Kini Perdana Menteri (Datuk Seri) Abdullah (Ahmad Badawi) menangguhkan sekali lagi tempoh pencapaiannya sehingga tahun 2020. Setelah Kerajaan gagal mencapai matlamat itu 15 tahun selepas tamat DEB, apakah jaminan ia akan dapat memenuhinya dalam masa 15 tahun dari sekarang?" beliau mempersoalkan ketika mengulas Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) dalam blognya.
Selain mempersoalkan kewajaran kerajaan menangguhkan tempoh pencapaian DEB hingga tahun 2020, Kadir, yang pernah disebut-sebut sebagai salah seorang yang dijangka menjadi calon Barisan Nasional bagi kawasan Parlimen Pendang menjelang Pilihanraya Umum 2004 yang lalu, juga mempersoalkan kewajaran kerajaan mengekalkan matlamat pemilikan modal bumiputera pada kadar 30 peratus.
"Mengapa kekal 30 peratus? Siapa yang akan memiliki baki 70 peratus itu? Apakah ini wajar? Pada kadar kelahiran sekarang, nisbah penduduk Bumiputera berbanding kaum-kaum lain pada tahun 2020 mungkin lebih tinggi. Jadi, wajarkah pemilikan ekuiti mereka kekal 30 peratus?" beliau terus mempersoalkan.
Walaupun beliau menyifatkan dasar kerajaan mengutamakan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tidak salah, tetapi beliau mengingatkan, "sejauh mana ia membantu mempertingkatkan modal Bumiputera terus menjadi tanda tanya". "Ini adalah kerana saham yang dimiliki oleh GLC bukan saham Bumiputera. Ia saham semua rakyat Malaysia".
Kadir berpendapat, ekuiti Bumiputera hanya boleh ditingkatkan jika pelaburan agensi amanah seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB) dipesatkan dan masyarakat perdagangan dan perindustrian Bumiputera dibina semula.
Ketika mengulas matlamat RMK9 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini, Kadir berkata, "antara kesimpulan yang boleh kita buat berasaskan matlamat RMK9" ialah "Bumiputera terus ketinggalan. Walaupun banyak rancangan dan peruntukan ditujukan kepada usaha membasmi kemiskinan dan menyempitkan jurang pendapatan antara kaum, namun Bumiputera akan kekal di tempat ketiga.
Misalnya, RMK9 meramalkan penyempitan jurang pendapatan antara Bumiputera dengan kaum Cina dan India antara tahun ini dan tahun 2010, namun Bumiputera akan kekal pada anak tangga paling bawah".
Kerajaan menjangkakan, kata beliau, jurang pendapatan antara Bumiputera dan Cina diramalkan menjadi bertambah sempit daripada nisbah 1:1.64 pada tahun 2004 kepada 1:1.50 pada tahun 2010.
"Dalam bahasa yang mudah, pada nisbah tahun 2004, bagi setiap RM1 yang diperoleh oleh seorang Bumiputera, seorang Cina memperoleh RM1.64. Kalau pendapatan Bumiputera naik kepada RM2, pada nisbah tahun 2004, pendapatan Cina akan naik kepada RM3.28.
Tetapi pada nisbah 1:1.50 pada tahun 2010, jika pendapatan Bumiputera bertambah RM2, pendapatan Cina bertambah RM3.
Kalau diterbalikkan andaian ini, jika pendapatan orang Cina meningkat kepada RM4.50, pendapatan Bumiputera dijangka meningkat kepada RM3," beliau menghuraikan untuk menunjukkan bagaimana Bumiputera terus ketinggalan.
Kerajaan juga, kata Kadir, meramalkan jurang pendapatan antara Bumiputera dan India pula diramalkan mengempis daripada nisbah 1:1.27 pada tahun 2004 kepada 1:1.15 pada tahun 2010 sementara antara luar bandar dan bandar daripada 1: 2.11 pada tahun 2004 kepada 1:2 pada tahun 2010.
|