Ketika mula-mula Pak Lah diisytiharkan secara rasmi sebagai perdana menteri Malaysia begi menggantikan Dr.M, awal-awal lagi pelbagai lapisan masyarakat memandang dengan penuh pengharapan kepada Pak Lah untuk memimpin Malaysia ke arah yang lebih baik berbanding kepimpinan Dr.M yang dianggap "keras". Maka tidak hairanlah jika potret kelima-lima perdana menteri yang bermula dari Tunku Abdul Rahman sehingga ke Pak Lah, pelukis berkenaan mengenakan warna hitam sebagai baju yang dipakai oleh Dr.M ! Betapa kerasnya kepimpinan Dr.M dari segi kacamata pelukis berkenaan khasnya dan rakyat jelata amnya. Namun kini, setelah Pak Lah memgang tampuk kepimpinan tertinggi negara, pelbagai malapetaka dan bencana menimpa iklim pemerintahan negara.
Mungkin kerana kebebasan dan ketelusan yang diberikan oleh Pak Lah kepada media maka, selepas satu, satu pekong korupsi kabinet serta tidang kurang hebatnya pekong syarikat GLC negara didedahkan. Hampir kesemuanya berimej buruk.
Contohnya, proton yang mana dibentuk dan diacu oleh Dr. M sendiri dibayangi dengan dasar AP(Approved Permit) yang berleluasa di bawah kuasa Rafidah Aziz sehingga menyebabkan proton bermasalah untuk bersaing di negara sendiri. Namun, untuk meredakan ketegangan, Pak Lah membawa pula dasar NAP (Dasar Automotif Negara) yang menyebabkan duti import dan duti eksais diturunkan,sedangkan pada masa itu heboh diperbincangkan tentang kenaikan harga minyak negara mencecah 30 sen seliter.
Kini melalui mulut Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff pula mendakwa Proton kini dibebani dengan 39,000 buah kereta yang tidak terjual dan rezabnya telah kering berbanding dengan mempunyai RM2.3 bilion semasa beliau melepaskan jawatannya.
(Malaysiakini, 15 April 2006) Manakala mengenai keputusan kerajaan Pak Lah yang didakwa olehnya mengalami jalan kebuntuan sehingga memaksa minyak dinaikkan sebanyak 30 sen bagi mengurangkan subsidi yang diberikan oleh kerajaan kepada minyak, dijawab pula oleh Dr.M bahawa masih ada jalan atau cara untuk mengatasi masalah itu iaitu dengan mengikat kembali nilai matawang negara berbanding dolar. (Malaysiakini,15 Mac 2006) Isu yang terbaru adalah pemberhentian pembinaan "Jambatan Indah" bagi menghubungkan Singapura dan Johor. Rata-rata Dr.M amat tidak berpuas hati dengan tindakan kerajaan Malaysia dibawah Pak Lah berkenaan.
Namun kenyataan tegas Dr. M itu tidaklah disiarkan dengan begitu meluas sekali oleh media perdana, nampaknya suara Dr.M kini tiada bezanya dengan suara DS Anwar Ibrahim mahupun pemimpin pembangkang yang lain. Jika sealiran dengan arus dasar negara maka akan disiarkan, jika sebaliknya maka dibakul sampahkan sahaja apa yang disuarakan itu. Malah Dr.M seolah-olah begitu kecewa dengan kelembapan yang dimiliki oleh Pak Lah tentang pembinaan jambatan berkenaan. Ujar Dr. M, "Itulah kalau tunggu lama dia (Singapura) akan cari macam-macam lagilah helah, kena bagi pasir, air space dan la ni kita dah tak minta nak naik harga air dah senyap. dengan cara itu kita akan lebih baik dengan jiran kita." Malah Dr.M yang merupakan menjadi perintis terhadap pembinaan jambatan berkenaan berasa akan keperitannya apabila membicarakan tentang pembinaan itu, namun Pak Lah yang tidak merasai sendiri proses itu boleh memberikan arahan untuk memberhentikannya kerana Pak Lah tidak merasai semuanya itu. Ini ditambah lagi dengan penggunaan banyak wang dan tenaga diperlukan untuk membina serta merencanakannya.
Ini disuarakan oleh Dr.M sendiri, "Kita harus consult semua pihak termasuk orang asing bila nak buat sesuatu di negara kita kalau tidak kita mungkin buat benda salah dan terima padahnya. jadi consultation dengan jiran amat baik dan kalau jiran tak setuju kita kena ambil kira pendirian jiran walaupun apa yang kita buat tu dalam negara kita sendiri."
Pendek kata, apa yang dibuat oleh Pak Lah seolah-olah menghilangkan dasar terdahulu yang dibuat oleh Dr.M. Secara langsung atau tidak langsung, keyakinan rakyat terhadap Pak Lah digugat sendiri oleh mentornya sendiri. Suatu ketika dahulu, sahabat saya yang merupakan orang kuat Dr. M kerap kali menyatakan kepada saya, pembangkang tidak perlu buat apa-apa kepada UMNO, biar UMNO serta rakyat seluruhnya tahu sendiri apa yang busuk di dalam UMNO.
Kini apa yang disuarakan itu makin menjadi nyata. Apa yang tinggal sekarang adalah ketidakyakinan penyokong UMNO serta pemyokong atas pagar terhadap kepimpinan "pengganti" di bawah PAS. Sememangnya penyokong PAS ramai yang yakin akan hakikat kredibiliti pemimpin PAS namun bagaimana pula dengan usaha untuk yakinkan penyokong UMNO ? Memang UMNO kuat hanyalah kerana faktor kawalan media, wang, penggunaan jentera pilihanraya serta pemberian ihsan yang dilabelkan "Satu Lagi Projek Kerajaan Barisan Nasional".
Namun bagi yang berfikir dan tahu arus politik perdana pasti akan tahu siapa yang perlu disokong atau "dipangkah" semasa pilihanraya nanti, tetapi ramaikah yang tidak termakan dengan taktik sogokan itu ? Kini bolehlah rakyat lihat sendiri pembaziran yang dimiliki oleh kerajaan hasil dari kelemahan serta kelembapan Pak Lah membuat keputusan. "Sesungguhnya UMNO sedang menghadapi musuh yang diciptanya sendiri."