Scroll images by bigoo.ws

DEMI MASA

Demi masa. Sesungguhnya manusia benar-benar berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.

LAJNAH DPPKJ
KENALI PAS
MEMORANDUM: SEMARAKKAN PERJUANGAN BAHASA
Wednesday, April 19, 2006
19 RABIULAWAL 1427 / 18 APRIL 2006

Pendahuluan
Semenjak daripada 1956 (tahun Dewan Bahasa dilahirkan), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah melalui pelbagai fasa perkembangannya. Dari era yang penuh dengan kegetiran dan semarak perjuangan mendaulatkan bahasa Melayu begitu memuncak sehinggalah kini, disaat bahasa Melayu bagaikan melukut ditepian gantang, DBP tetap terus mempertahankan kewujudannya serta memperjuangkan aspirasi dan fungsinya untuk mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu.

Bagi Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat), DBP sebagai sebuah badan yang dipertanggungjawab samada secara rasmi atau tidak bagi meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa ligua franca di Malaysia perlu diiktiraf ini sesuai dengan kedudukan bahasa Melayu itu sendiri sebagai bahasa rasmi kebangsaan. Pengiktirafan ini, bagi DPP Pusat bukanlah sekadar melalui kewujudan banggunan yang tersergam indah mahupun peruntukkan yang bernilai jutaan ringgit tetapi pengiktirafan ini bagi DPP Pusat perlu dilihat melalui skop yang lebih meluas bagi memastikan misi dan visi DBP dapat terus disemarakkan.
Skop ini perlulah mencakupi kebersamaan antara agenda politik kerajaan dan dasar DBP itu sendiri. Pengiktirafan terhadap fungsi DBP juga perlu dilihat daripada peranan langsung yang diberikan kepada DBP untuk memastikan kemurnian dan kedaulatan bahasa Melayu tidak diperdagangkan semahunya. Inilah pengiktirafan yang sewajarnya diperolehi DBP di dalam memperjuangkan bahasa Melayu bahasa yang dituturkan hampir 300 juta orang didunia yang juga merupakan bahasa ke 4 didalam turutan penuturan bahasa terpenting didunia.

Bagi DPP Pusat perjuangan bahasa Melayu hari ini melalui detik yang amat getir. Kegetiran ini rasanya lebih sukar daripada perjuangan terdahulu bagi meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kebangsaan. Hari ini senarionya sama sekali berubah.
Pencinta kepada bahasa Melayu yang berupaya menyayanginya dengan segenap jiwa semakin kurang dan kritikal. Letaknya pun kini jika ada, hanya didalam kelompok tertentu yang terpencil. DPP Pusat melihat senario ini adalah kesan langsung terhadap agenda politik pemerintah yang jauh menyimpang daripada dasar untuk memertabatkan bahasa Melayu itu sendiri. Perlaksanaan dasar yang tidak konsisten dan kecelaruan kefahaman dan jatidiri adalah antara penyebab utama kepada kemelut ini.

Jika sebelum ini bahasa Melayu di Malaysia kehilangan akar jati dirinya melalui pemansuhan tulisan jawi didalam sistem pendidikan negara sehingga menyebabkan tulisan jawi yang begitu sinonim kepada bahasa Melayu tenggelam dan lemas didalam arus pemodenan negara. Dasar politik caca marba ini juga pernah menyebabkan bahasa Melayu diubah kepada Bahasa Malaysia tanpa perancangan yang strategik.
Dengan hanya hasrat untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai lingua franca bagi rakyat Malaysia dasar ini diwujudkan. Malah langkah ini sebenarnya dilihat oleh ramai pihak hanyalah satu usaha untuk mengekori usaha Indonesia menjadikan bahasa Indonesia yang dasarnya adalah bahasa Melayu sebagai lingua franca rakyat negara tersebut.

Sememangnya benar usaha Indonesia itu berjaya tetapi yang dilupakan oleh kerajaan apabila merubah bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia ialah tuntutannya. Kewujudan bahasa Indonesia adalah tuntutan rakyat yang lahir daripada Sumpah Pemuda 1928 bagi mewujudkan sebuah negara bangsa tetapi lain pula halnya dengan apa yang berlaku di Malaysia pengisytiharannya adalah hasil daripada dasar politik yang sempit yang kesannya bahasa Melayu kini dilihat sebagai bahasa yang tidak konsisten dan tidak mempunyai jati diri.

Hari ini sekali lagi bahasa Melayu berhadapan dengan dasar kritikal pemerintah yang bukan saja merugikan bahasa Melayu itu sendiri malah ianya menyentuh secara langsung kredibiliti bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa ilmu. Pengenalan pengajaran Sains dan Matematik didalam bahasa Inggeris merupakan dasar yang cukup krtikal dan amat berbahaya kepada kedaulatan bahasa Melayu dan hakikat ini diakui oleh semua pihak.

Senario inilah yang mendesak DPP Pusat untuk bertemu dan bermuzakarah dengan semua pihak yang terlibat didalam usaha mendaulatkan bahasa Melayu bagi memastikan fungsi dan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara dan tunggak kepada kecemerlangan ilmu dapat terus diperkukuhkan dan disemarakkan.

Maka untuk itu sesuai dengan fungsi dan peranan DBP, DPP Pusat menggariskkan beberapa pandangan untuk dinilai dan dilaksanakan bagi memastikan usaha murni mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rakyat Malaysia seluruhnya terus dimantapkan sesuai dengan peredaran masa dan keadaan.

Kembalikan Perjuangan Bahasa Kepada Rakyat

Satu-satunya alasan yang menjadikan perjuangan mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi diterima dan diakui ialah kerana ketegasan yang dipamerkan oleh pejuang-pejuangnya. Ini adalah kenyataan yang perlu diterima. Hari ini dengan wadah perjuangan melalui bilik-bilik berhawa dingin dan perbincangan politik tidak menyumbang secara terus kepada perkembangan bahasa Melayu. Bukanlah menjadi satu rahsia bahawa dengan kelicikan permainan politik perbincangan seringkali dijadikan bahan sandiwara bagi menjustifikasikan tindakan pihak tertentu. Contoh paling jelas dapat dilihat daripada pertemuan ahli kademik dan intelek bagi mendesak kerajaan untuk menilai semuala cadangan pengajaran Sains dan Matematik didalam bahasa Inggeris, adakah kerajaan memandang serius pada setiap lontaran cadangan, kerisauan dan kebimbangan mereka yang hadir. Jawapannya tidak.

Maka dengan itu DPP Pusat merasakan sudah sampai masanya DBP memainkan peranan untuk menggerakkan nasib dan perjuangan bahasa Melayu sehingga ke akar umbi. Melalui pelbagai medium yang sesuai seperti Bulan Bahasa dan sebagainya sewajarnya usaha ini perlu dilakukan. Rakyat perlu disedar dan dibangkitkan daripada paradigma celaru untuk kembali kritis terhadap nasib dan perjuangan bahasa Melayu sebagai prasyarat kepada kelansungan nasib dan perjuangan orang Melayu itu sendiri.

Wacana ilmu, program penerangan, pameran dan roadshow perlu dilaksanakan sehingga ke akar umbi dengan tidak hanya tertumpu di kawasan bandar-bandar besar sahaja. Melalui agenda yang meluas ini rasa keprihatinan rakyat terhadap nasib dan perjuangan bahasa Melayu perlu dipupuk. Malah kemampuan DBP untuk menjelejah ke sekolah-sekolah perlu dimaksimakan dengan kepelbagaian aktiviti. Kefahaman rakyat terhadap DBP yang hanya dilihat sebagai 'penjual buku' perlu diubah kepada badan yang benar-benar serius untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa yang berdaulat.

Memperbanyakkan Usaha Penterjemahan

Bagi membuktikan bahawa bahasa Melayu setanding dengan bahasa-bahasa lain dan juga untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai medium perkembangan ilmu. DBP perlu memperbanyakkan penterjemahan buku-buku. Usaha penterjemahan ini sebenarnya satu usaha yang perlu dipandang serius oleh DBP sebagai satu usaha terpenting. Perkembangan tamadun dan bahasa dunia semenjak dahulu lagi dapat dilihat seiring dengan usaha mempelbagaikan bahan-bahan ilmu ke bahasa ibunda sesebuah negara. Perkembangan tamadun barat sebagai contohnya dilihat banyak berpunca daripada usaha cerdik pandai mereka untuk menterjemah pelbagai bahan ilmu daripada segenap bidang tidak kiralah bahasa, kesihatan, ekonomi, matematik, sains dan sebagainya. Melalui usaha tersebut karya-karya agung daripada Ibn Sina, al-Khawarizmi, Ibn Rushd dan sebagainya dapat dibaca dan dikaji oleh seluruh masayrakat barat. Kesan langsung daripada usaha tersebut pembudayaan ilmu dapat diwujudkan. Dengan wujudnya budaya ilmu secara tindak langsung peradaban bangsa dan negara akan menjadi lebih tinggi dan akan menyumbang kepada perkembangan bahasa ilmu itu sendiri. Itulah yang berlaku dibarat yang dijadikan rujukan bagi seluruh manusia kini.

Memperkasakan Peranan DBP

Sebagaimana yang dinyatakan diatas bahawa skop pengiktirafan kerajaan terhadap fungsi dan peranan DBP perlu diperluaskan. Tuntutan ini bagi memastikan penyemarakkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dapat dilakukan secara menyeluruh. Peranan DBP didalam menentu dasar sesuatu perkara yang melibatkan kepentingan bahasa perlu diperluaskan. Sektor-sektor seperti penyiaran, penerbitan, pentadbiran kerajaan dan sebagainya perlu sentiasa didalam pemerhatian DBP bagi memastikan penyemarakkan penggunaan bahasa Melayu dapat dilakukan melalui medium-medium yang wajib dan popular. Hari ini senario tersebut tidak wujud penyalahgunaan bahasa melalui medium penyiaran dan penerbitan cukup meluas dan situasi ini tidak meyumbang kepada perkembangan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bertentangan sama sekali dengan perlembagaan negara didalam artikel 152 Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi yang hendaklah ditulis dan disebut sebagaimana yang telah ditetapkan.

Maka atas sebab itulah peranan DBP diperlukan. Kewujudan garis panduan pentadbiran, penyiaran dan penerbitan yang meletakkan kepentingan bahasa Melayu sebagai kepentingan utama perlu dijadikan perjuangan DBP diera ini. Malah ianya bukanlah satu perjuangan yang baru tetapi satu penjelmaan semula semangatnya bagi memastika matlamat menjadikan bahasa Melayu sebagai lingua franca tercapai.

Kesimpulan

Abad ke 19 dan 20-an merupakan antara tahun-tahun penting kepada perjuangan bahasa dinegara ini. Perjuangan bahasa yang dituntut adalah seiring dengan tuntutan kemerdekaan negara daripada penjajah. Kelompok ulama, pemimpin, pentadbir, pedagang, wartawan, sasterawan, budayawan , guru-guru merupakan pelopor kepadanya. Diatas jasa merekalah kewujudan bahasa Melayu begitu disegani. Merekalah juga yang menyuntik kesedaran kepada seluruh rakyat untuk bangkit mempertahankan bahasa mereka. Kelompok inilah juga yang mengajak rakyat untuk kritis melihat sebarang bentuk usaha dan dasar yang menyentuh kepada kedaulatan bahasa Melayu adalah satu bentuk pengkhianatan kepada agama, bangsa dan negara. Mereka berdiri dengan lantang dengan segala keterbatasan medium dan prasarana tetapi usaha mereka berjaya dan apa yang kita kecapi hari ini adalah hasil titik peluh mereka.

Apa yang menyedihkan hari ini perjuangan dan kegemilangan tersebut cuba diabaikan. Mereka cuba menguburkan sejarah bahawa :

1. Pigafetta, seorang ketua kelasi berbangsa Itali dalam pelayarannya bersama Magellan, telah menyusun kamus Melayu-Itali semasa singgah di Pulau Tidore pada tahun 1521. Ia merupakan daftar kata daripada bahasa yang dituturkan oleh orang-orang di pelabuhan itu dengan lebih 400 patah perkataan dan adalah daftar kata Melayu-Eropah yang tertua. Kedudukan Pulau Tidore yang terletak jauh daripada tempat asal Bahasa Melayu menggambarkan betapa luasnya Bahasa Melayu tersebar.

2. Jan Hugen Van Linschotten, seorang bangsa Belanda pernah tinggal di Indonesia antara tahun 1586 hingga 1592 dan berkhidmat sebagai pegawai kepada pemerintah Portugis. Beliau ada mencatatkan dalam bukunya bahawa Bahasa Melayu dianggap sebagai bahasa yang paling dihormati antara bahasa-bahasa negeri timur.

3. Pada awal abad ke-18, Francios Valentijn, seorang pendeta dan ahli sejarah bangsa Belanda yang banyak menulis menganai wilayah Kepulauan Melayu, telah menggambarkan kepentingan Bahasa Melayu seperti berikut : ''Bahasa mereka, Bahasa Melayu, bukan sahaja dituturkan di daerah pinggir laut, tetapi juga digunakan di seluruh Kepulauan Melayu dan di segala negeri-negeri Timur, sebagai suatu bahasa yang difahami di mana-mana sahaja oleh setiap orang.''

4. Bahasa Melayu adalah bahasa yang digunakan sebagai bahasa rasmi oleh raja-raja dan pentadbir di kepulauan Melayu ini dapat dibuktikan dari :

a. Surat Sultan Acheh kepada Kapitan Inggeris, James Lancester (1601)
b. Surat Sultan Alauddin Shah dari Acheh kepada Harry Middleton (1602)
c. Surat Sultan Acheh kepada raja Inggeris, King James (1612)Inilah hakikat yang cuba dilupakan dan digelapkan daripada kefahaman rakyat bahawa bahasa Melayu pernah dan akan selamanya dimartabatkan sebagai bahasa yang disegani.

Maka atas dasar itulah DPP Pusat untuk mengajak DBP memahami, menyedari dan berusaha bahawa tanggungjawab untuk mempertahankan kedaulatan, kemurnian dan kelangsungan hidup bahasa Melayu terletak kepada semua pihak yang terlibat didalamnya, lebih-lebih lagi DBP. Usaha ini perlu digembelengkan melibatkan semua pihak tanpa mengira latarnya dengan memusatkan hasrat dan cita-cita untuk ;

1. Memastikan kedaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, kebangsaan dan ilmu kepada negara terus dipertahankan.
2. Memastikan sebarang bentuk usaha bagi mencacatkan kedaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, kebangsaan dan ilmu dikekang.
3. Menyemarakkan semangat dan cinta kepada bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, kebangsaan dan ilmu.
4. Membangkitkan kesedaran rakyat untuk sepenuh jiwa mempertahankan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, kebangsaan dan ilmu.Usaha ini harapannya akan memberi sinar baru kepada perkembangan bahasa Melayu yang melalui jalan-jalan suramnya.
Usaha ini juga harapannya akan menyedarkan segelintir kelompok elit pemerintah yang celaru dan tidak memahami akan kepentingan bahasa Melayu kepada rakyat negara ini keseluruhannya.

YB SALAHUDDIN BIN AYUB Ketua, Dewan Pemuda PAS Pusat
posted by jasindaily online @ 3:46 AM  
0 Comments:
Post a Comment
<< Home
 
DPPKJASIN

Name: jasindaily online
Home: Jasin, Melaka, Malaysia
About Me: Di bangunkan pada bulan April 2005
See my complete profile
CORETAN YANG LALU
ARKIB JASNIDAILY
POWERED BY

Free Blogger Templates

BLOGGER

© 2005 Info Template by Isnaini Dot Com