Sukar untuk diterima bagaimana sebuah syarikat tunggal yang tiada pesaing dalam menguruskan urusan elektrik negara boleh mengalami kerugian yang dasyat. Kerugian 1 billion itu bukanlah satu kerugian yang sedikit, dan sudah tentu ia menimbulkan keraguan tentang bagaimana keadaan ini boleh berlaku. Ketenatan kewangan TNB menyaksikan ia terpaksa 'meminjam dan meminjam' tanpa modal lain untuk menjalankan operasinya, yang mana keadaan ini tidak sewajarnya dilakukan dalam mana-mana perniagaan. Rakyat melihat ini satu keadaan yang amat mendukacitakan. Lepas satu-satu kes yang dibongkarkan yang menunjukkan syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) ini tidak diuruskan dengan cekap. Juga melalui peristiwa ini baru kita tahu masalah TNB sebenarnya bukan kerana sahaja ia tidak cekap diuruskan tetapi ia berdepan dengan masalah kos di luar kawalannya iaitu 83% daripada keseluruhan kos.
Memetik tulisan Mowardi Mahmud dan Johardy Ibrahim di dalam Mingguan Malaysia semalam, pada masa ini, terdapat sembilan IPP bernaung di bawah lima buah syarikat konsesi iaitu YTL Power Generation, Malakoff Bhd., Powertech, Sime Darby dan Genting Sanyen. TNB kini terpaksa membayar lebih RM4 bilion setahun kepada IPP tanpa mengira sama ada kapasiti elektrik digunakan sepenuhnya atau tidak yang mana sebenarnya, beban kos tersebut tidak berpadanan dengan keuntungan tahunan TNB yang berjumlah RM1.5 bilion. Keadaan itu diburukkan oleh peningkatan kos operasi yang perlu ditanggung oleh TNB akibat bayaran operasi dan kapasiti ke atas tambahan dua lagi IPP yang baru berjumlah RM2.13 bilion.
Kalau melihat kepada perjanjian yang dimetrai, sememangnya ia tidak adil dan membebankan TNB. Kita tidak faham bagaimana TNB / kerajaan boleh membiarkan perjanjian yang jelas tidak adil dan yang pasti tidak menguntungkan.
Di antara terma-terma itu termasuk IPP boleh memindahkan semua kos kenaikan bahan api (minyak dan arang batu) kepada TNB tatkala TNB sendiri tidak memiliki mekanisme berkaitan tarif. Sebarang kenaikan harga minyak dan arang batu akan ditanggung secara penuh oleh TNB (kan pening tu!). Melainkan IPP Generasi Kedua (mengunakan arang batu), lima IPP Generasi Pertama (menggunakan gas) mengenakan caj semua kapasitinya kepada TNB. Lima IPP itu ialah YTL, Powertech, PD Power, Genting Sanyen dan Segari yang mengenakan keseluruhan caj kapasitinya berjumlah RM2.7 bilion terhadap TNB, merangkumi caj tenaga dan kapasiti, pada tahun lalu.
Difahamkan jumlah caj itu dijangka meningkat menjadi RM4 bilion pada tahun 2007 dan RM5.6 bilion pada tahun 2010.
Juga dijangka akan ada sebuah IPP baru dibina yang dianggarkan menelan kos lebih RM7 bilion dan apabila siap kelak, TNB akan membayar antara RM1.2 bilion dan RM1.5 bilion.
Dalam konteks ini, IPP boleh mendapat balik pelaburan pembinaannya dalam tempoh antara enam hingga tujuh tahun. Ini bermakna baki tahun-tahun perjanjian akan merupakan keuntungan sepenuhnya, dengan caj operasi dan penyenggaraan yang kecil.
Apabila TNB sudah tenat dan tidak dapat berbuat apa-apa kerana perjanjian sudah dimeterai, kedengaranlah usul agar kerajaan mengkaji semula kadar tarif elektrik di negara ini setiap tiga hingga empat tahun bagi membantu mengurangkan kos operasi yang ditanggung oleh TNB. Cadangan daripada Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Che Khalib Mohamad Noh agar amalan menaikkan kadar tarif setiap tiga hingga empat tahun dengan melibatkan pertambahan kadar antara tiga hingga empat peratus itu dapat dilaksanakan kerana telah dilaksanakan di negara-negara maju. Bagi Che Khalid langkah tersebut tidak akan memberi sebarang kejutan kepada semua pihak berhubung kenaikan tarif tersebut. Amboi sedapnya, bila dah rugi cepat-cepat nak suruh rakyat tanggung. Disebabkan negara-negara maju dah buat, maka kitapun kena buat jugak.
Kenapa tak ikut cara negara maju dalam menguruskan syarikat yang mana ia lebih telus? Sebagai contoh dalam pemberian lesen IPP, kerajaan bolehlah mengikuti langkah negara-negara maju lain seperti Australia dan Kanada yang mana pemberian secara tender terbuka untuk memastikan ketelusannya. Melihat kepada keadaan ini, tidak syak lagi kebimbangan rakyat terhadap kemampuan kerajaan BN dalam menguruskan harta-harta kerajaan berasas. Sebenarnya perkara ini telah didedahkan oleh Husam Musa, ketika sesi perbahasan Bajet 2006 Dewan Undangan Negeri Kelantan, yang antara lain menyebut situasi berat sebelah yang berlaku apabila kerajaan memberikan subsidi gas dan diesel yang jumlahnya berbillion kepada IPP, yang mana ia tidak adil untuk rakyat. Kini kita tahu bahawasanya IPP ini bukan sahaja mendapat keuntungan dari segi subsidi gas dan diesel yang diberikan melalui Petronas, tetapi melalui perjanjian berat sebelah yang merugikan TNB. Soalnya, siapakah pemilik 5 IPP utama ini? Adakah mereka ini mempunyai hubungan istimewa dengan pihak kerajaan sehinggakan kerajaan sanggup rugi dan mungkin akan mengambil tindakan tidak popular kerana terpaksa menaikkan tarif elektrik pada suatu masa nanti?
Walaupun perdebatan isu kesan caj yang tinggi oleh IPP telah berkumandang sejak 10 tahun lalu khususnya selepas insiden bekalan elektrik terputus di seluruh Semenanjung pada 3 Ogos 1996, namun tiada satu tindakan konkrit kerajaan dalam mengatasi masalah ini. Kita bimbang sekiranya ketidakcekapan dan tiadanya ketelusan ini berterusan, ini akan memberi kesan buruk kepada bukan sahaja kerajaan malah juga kepada rakyat. Sudah kedengaran suara-suara yang inginkan agar GLC juga diuruskan oleh bukan-bumiputera. Ini timbul kerana kebanyakkan GLC yang mengalami kerugian diuruskan oleh bumiputera (Melayu/UMNO).
Kita berharap agar keadaan ini berubah. Kepada mereka yang masih lagi menyokong UMNO, tak nampak lagi ke kegagalan demi kegagalan kerajaan BN hadhari pimpinan Pak Lah ini yang sememangnya lemah dan tidak bermaya. BN telah memerintah sekian lama, begitu banyak perancangan dan badan-badan yang ditubuhkan kononnya untuk memastikan kemajuan negara, namun kegagalan demi kegagalan yang muncul antaranya sehingga kini ekuiti bumiputra masih lagi jauh di bawah 30%, peratusan yang disasarkan oleh kerajaan di dalam DEB. Sampai bila kita harus begini? "Muhasabah dan Terus Melangkah"
|