Scroll images by bigoo.ws

DEMI MASA

Demi masa. Sesungguhnya manusia benar-benar berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.

LAJNAH DPPKJ
KENALI PAS
Abdullah ke arah kediktatoran
Thursday, April 20, 2006
"Saya melihat Dr Mahathir tidak campur tangan, cuma dia beri pendapat. Apa yang berlaku kerajaan yang ada ini hendak tunjuk ek (hebat) dia, bahawa dia kuat daripada Dr Mahathir dan dalam masa yang sama dia takut kepada Dr Mahathir. Ini dua keadaan yang saya lihat dan ini wujud dalam kerajaan yang ada pada hari ini." Demikian antara intipati wawancara Harakah bersama Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di rumahnya, Rusila baru-baru ini. Ikuti wawancara penuh dengan beliau.

Soalan (S): Apa penilaian Tuan Guru setelah lebih dua tahun Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri?
Jawapan (J): Penilaian saya dalam masa dua tahun menunjukkan kelemahan yang ketara, tidak sebagaimana yang ditonjolkan di peringkat awal. Ini dapat dinilai dengan beberapa tindakan yang diambil mendedahkan kelemahan dan kecelaruan pimpinan beliau. Ianya bukan sahaja tidak boleh menangani masalah yang sedia ada bahkan ditambah dengan masalah-masalah baru. Dan yang paling ketara ialah masalah rasuah dan penyelewengan yang dijanjikan begitu hebat di masa beliau mula-mula mengambil alih pemerintahan dan sebelum pilihan raya seperti tindakan membawa ke mahkamah Eric Chia berhubung dengan kes Perwaja. Kita lihat langkah itu tidak lebih dari gimik pilihan raya dan tidak berani hendak bertindak. Begitu juga dengan masalah AP, import kereta-kereta, dan apa yang berlaku berpindah tangan sahaja.

Dasar yang lama masih dilaksanakan dengan cara yang lebih buruk. Dan yang ketara lagi masalah kenaikan harga minyak dalam masa Petronas mendapat keuntungan yang begitu besar. Tidak mampu hendak menahan harga minyak daripada naik. Maksud saya harga minyak yang menjadi keperluan kepada rakyat dengan alasan hendak menangani masalah subsidi yang terlalu kerdil dan terlalu sedikit.Itupun menandakan kelemahan juga. Jadi kelemahan itu bertali-tali antara satu sama lain.

S: Kenapa ini berlaku pada pandangan Tuan Guru?
J: Berlaku kerana Umno gagal dalam pembangunan manusia bahkan parti Umno itu sendiri mengalami penyakit yang amat parah macam kanser. Dan penyakit rasuah yang diakui oleh orang Umno sendiri dalam parti dia sehingga hendak memilih kepimpinan pun memerlukan rasuah yang begitu ketara. Bagaimana parti yang begini rupa boleh memerintah Negara dan rakyat perlu menolak Umno supaya Umno memulihkan diri mereka terlebih dahulu.

Begitu juga dalam masalah pengurusan, masalah pentadbiran. Umno menjadi parti yang ‘bertongkat’ dengan alat-alat kerajaan dan tidak boleh bergerak dengan sendiri dalam masa pilihan raya. Berbeza dengan zaman Tunku Abdul Rahman. Bila pilhan raya, dalam masa caretaker goverment, Tunku Abdul Rahman tidak menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri dan hanya menjalankan tugas sebagai pemimpin parti sahaja dan bekerja bagi pihak parti, bukan menggunakan jentera kerajaan.

Sekarang Umno menggunakan segala jentera kerajaan dan salah dari prinsip demokrasi dan itu menandakan kelemahan parti yang memerintah. Tapi dia tidak mengaku kelemahannya dan menggunakan perancangan ke arah menjadi diktator. Ini menjadi lebih bahaya lagi dan Malaysia menuju ke arah diktator dengan melakukan Akujanji terhadap pegawai kerajaan dan mengugut rakyat. Ini diktator, bukan lagi demokrasi.

S: Abdullah ditonjol sebagai seorang yang dekat kepada aktiviti keagamaan tetapi kita melihat dalam masa pemerintahan beliau banyak isu-isu yang berkaitan dengan penentangan terhadap agama seperti memorandum sembilan menteri bukan Islam, Sisters In Islam dan sebagainya. Jadi kenapa hal-hal begini lebih banyak berlaku di zamannya?
J: Agama Islam lain daripada agama yang lain. Agama Islam adalah agama yang lengkap, yang sempurna dan bukan agama untuk menonjolkan peribadi sahaja termasuklah peribadi yang mempunyai kemampuan untuk memimpin rakyat dan negara dalam segala aspek. Dan al-Quran sendiri menyebut dalam surah as-Saff (ayat 9, yang bermaksud): ''Agama Islam ini mestilah mengatasi agama-agama yang lain''. Mengatasi dari segi keadilan dia, kebaikan dia, dari segi kewibawaan dia sehingga agama lain takut kepada Islam kerana kehebatan dan kebaikannya.

Apa yang berlaku hari ini agama Islam tidak hebat. Dan bukan sahaja tidak hebat bahkan pemimpinnya juga tidak hebat sehingga ahli-ahli kabinetnya sendiri boleh mengemukakan memorandum. Ini adalah salah dari segi semangat Barisan Nasional (BN). Sepatutnya menteri-menteri ini boleh dipecat dan boleh diambil tindakan disiplin dengan keras kerana lari dari segi disiplin parti itu sendiri. Ini menandakan sudah celaru dan tidak boleh memimpin pengikut-pengikut dia. Dan bagi orang Islam sangat malang. Kita mengharapkan Umno yang menjadi teras ini dan menjadi pelindung kepada Islam, rupa-rupanya sudah roboh dan sudah tembus. Apa yang malangnya, Umno menjadi pelindung kepada ajaran sesat. Misalnya, ada ajaran sesat yang berlindung di bawah Umno iaitu kumpulan anti-hadis yang hanya mendakwa untuk memakai al-Quran sahaja, sedangkan al-Quran sendiri menjelaskan kepada kita apa yang dibawa oleh rasul mestilah kita mengambil. Dan para sahabat bukan sahaja mengambil al-Quran, bahkan mengambil amalan Nabi SAW dan menafsirkan al-Quran. Di sana ayat Quran yang umum berkait dengan sembahyang didetailkan oleh Nabi SAW, ini yang dinamakan hadis. Di sana ada ayat yang berkait dengan zakat dan ada ayat berkait dengan ibadat haji. Amalan haji disebut oleh Nabi SAW (yang bermaksud) iaitu ''Ambil daripada aku cara ibadat haji kamu'' dan didetailkan oleh hadis Nabi SAW. Ini menunjukkan al-Quran dan hadis ini tidak boleh dipisahkan sebagaimana batang tubuh Nabi SAW tidak boleh dipisahkan daripada kita, mengikut al-Quran begitulah segala yang lahir dari Nabi SAW yang dinamakan hadis tidak boleh dipisahkan. Tapi boleh lahir kumpulan ini. Kumpulan ini ditaja oleh Freemason, ditaja oleh zionis untuk merosakkan Islam dari dalam dan ditubuhkan oleh kalangan yang ada dalam Umno dan Umno menjadi pelindungnya.

Satu lagi Sisters In Islam yang dibayangi oleh anak Perdana Menteri sendiri dan anak dua orang bekas Perdana Menteri. Mereka melindungi Sisters In Islam yang terang-terang menentang hukum-hukum yang dinaskan dalam al-Quran. Bila menentang nas ini sudah jadi murtad, kalau dilakukan dengan peka, dengan ilmu, dengan pengetahuan. Tapi yang malangnya diberi perlindungan oleh Umno kerana anak kepada tokoh-tokoh Umno. Dan di sana ada kumpulan-kumpulan lain yang secara tidak langsung dilindungi oleh Umno seperti ajaran Qadiyani dan termasuklah ajaran Arifin Muhamad (Ayah Pin) yang lahir di Besut itu. Arifin tidak dapat ditangkap dengan sebab dalam pengikut dia ramai pengikut-pengikut Umno dan Umno melindunginya kerana hendak jaga pengaruh dia. Umno menjadi pelindung kepada ajaran sesat.

S: Adakah PAS melihat ada 'campur tangan' bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir terhadap kerajaan sekarang berdasarkan kepada beberapa kenyataannya seperti dalam isu kenaikan harga petrol, tambatan nilai ringgit, pelaksanaan Islam Hadhari dan lain-lain?
J: Saya melihat Dr Mahathir tidak campur tangan, cuma dia beri pendapat. Apa yang berlaku kerajaan yang ada ini hendak tunjuk ek (hebat) dia, bahawa dia kuat daripada Dr Mahathir dan dalam masa yang sama dia takut kepada Dr Mahathir. Ini dua keadaan yang saya lihat dan ini wujud dalam kerajaan yang ada pada hari ini. Dan bekas Perdana Menteri berhak memberi pendapat sebagaimana kita juga berhak memberi pendapat. Dan Mahathir ada kehebatan dia, saya puji kehebatan dia dalam perkara ini, ada kewibawaan. Walaupun kita tidak bersetuju dengan Tun Dr Mahathir tetapi beliau mempunyai beberapa ciri kehebatan dan kewibawaan sebagai seorang pemimpin seperti dalam isu antarabangsa.

Walaupun ada dolak dalik dia, tetapi ada sifat-sifat dia yang tidak ada pada pemimpin yang ada hari ini. Ini juga adalah satu kelemahan. Contohnya dalam masalah pembatalan Jambatan Indah dengan Singapura. Tun Dr Mahathir telah meletakkan batu asas. Ini menandakan Mahathir, dia hendak tangani masalah ini. Dia tinggal tetapi kerajaan yang ada ini tidak boleh hendak tangani lalu dia berlepas tangan. Apa yang berlaku, ini satu kelemahan kerana tidak boleh mengendalikan projek, tidak boleh mengendalikan kewangan dan tidak boleh mengendalikan hubungan dengan Singapura yang menunjukkan Malaysia ada kekuatan dan kehebatan. Ini tidak ada pada kerajaan yang ada pada hari ini.

S: Dalam beberapa isu seperti tahanan ISA, tekanan kepada pensyarah, kenaikan harga minyak, nampaknya Abdullah gagal merealisasikan pentadbiran mesra rakyat. Apa komen Tuan Guru?

J: Bukan sahaja gagal mesra rakyat malah menuju ke arah dictatorship, hendak melindungi kelemahan demokrasi yang sudah cacat dan demokrasi yang sudah tempang, demokrasi yang sekular. Sepatutnya, dalam proses demokrasi barat, dia mengalami beberapa perubahan. Ini kita melihat dalam dunia hari ini di England, demokrasi dia berubah.

Sebagai contohnya House of Lords di Parlimen British atau Dewan Senat dalam negara kita ini. Kalau dulunya dilantik di kalangan bangsawan, kalangan keluarga Diraja. Di mana mereka mengubah House of Lords ini kepada pakar-pakar, orang yang ada kemampuan yang boleh mengendalikan masalah negara, veteran-veteran politik, veteran-veteran pentadbiran dilantik dalam House of Lords dia. Tapi Dewan Senat dalam negara kita, ini dilantik di kalangan orang Umno yang tidak boleh jadi calon, orang Umno yang frust, orang Umno takut kacau parti dia dan sebahagiannya jadi calon pun tidak layak. Ini dilantik jadi Ahli Dewan Negara. Ini beza dengan kita. Kita lantik orang yang mampu masuk dalam Dewan Negara. Mereka pilih orang yang tidak ada kematangan untuk jadi calon dan hendak puaskan hati dia, lantik jadi Ahli Dewan Negara. Ini termasuklah amalan demokrasi di mana kebebasan dibendung, kebebasan disekat.

Kita melihat negara-negara Asean sendiri mengalami perubahan antaranya ialah Filipina dari zaman Marcos menuju ke arah yang lebih demokratik. Indonesia dari era Suharto menuju ke arah Susilo yang lebih demokratik memberi kebebasan kepada media, kebebasan kepada rakyat di semua peringkat untuk mengamalkan demokrasi dengan cara yang lebih sihat. Kerajaan sepatutnya menjadi pengawas supaya tidak berlaku kejadian tidak sihat dalam amalan demokrasi dan bukan untuk jaga kerusi kerajaan. Apa yang berlaku hari ini, demokrasi ini untuk mengawal, menjamin parti yang memerintah menang, walaupun dia uzur, walaupun dia lemah. Ini berbeza dengan barat. Di barat bila parti yang memerintah itu lemah, dia mengundurkan diri secara terhormat. Dia kalah dalam pilihan raya dan dia bina semula parti dia. Ini diamalkan di Amerika, di England dan ini diakui oleh Islam. Islam terima cara ini. Apa yang mendatangkan kebaikan diterima oleh Islam. Bila parti itu lemah mentadbir, patut dia mengundurkan diri dan beri kepada parti lain. Bila parti lain itu lemah, dia undur balik. Ini bila parti lain memerintah, dia sekat, dia guling dengan cara tidak demokratik, dia hendak ambil alih juga dengan kekerasan, dengan apa cara sahaja yang berlaku di Kelantan, di Terengganu sebagai contohnya. Dia sekat 'hidung' kita, dia sekat 'nyawa' kita tidak boleh bernafas tapi dia boleh memerintah walau lemah pun dan memaksa pegawai-pegawai kerajaan, memaksa segala jentera-jentera kerajaan. Dan 'tongkat' ini tidak boleh tahan lama dan tongkat ini akan patah. Bila tongkat patah, kerajaan akan jatuh, dan jatuh menyakitkan. Kalau dia jatuh, Umno ini mati terus tidak boleh hidup.

Tetapi kalau dia undur secara terhormat, dia boleh hidup lagi, dia boleh baiki diri dia terutamanya jika dia menuju ke arah Islam. Jika dia menuju ke arah Islam dan balik sama dengan PAS, dasar dia Islam, dia boleh bekerjasama dengan PAS. Kita boleh bekerjasama tapi apa yang berlaku pada hari ini ialah daripada Islam pun jauh, kepentingan bangsa pun jauh, dari segi pentadbiran pun jauh, dari segi kebolehan politik pun makin hari makin lemah. Apa yang berlaku itu hendak menongkat kelemahan dia.

S: Tuan Guru, dalam masa kerajaan yang diterajui Abdullah dengan slogan Islam Hadhari ini ditakdirkan berlaku beberapa musibah di negara kita seperti tsunami, banjir besar, selsema burung dan lain-lain. Jadi apakah iktibar yang sepatutnya diambil oleh rakyat?

J: Saidina Umar mengatakan bahawa (maksudnya): ''Kembali kepada kebenaran lebih baik berterusan di dalam kebatilan''. Saya telah menulis sebuah buku iaitulah 'Hadharah Islamiah Bukan Islam Hadhari' untuk mendedahkan Islam Hadhari itu satu kesesatan dan menipu rakyat dengan kesesatan itu. Alhamdulillah, Dr Yusuf Qardawi dalam temuramah beliau oleh TV al-Jazeera, beliau telah disoal tentang istilah-istilah baru seperti Islam Siasi, Islam Iktisodi dan Islam macam-macam. Beliau mengatakan ini adalah permainan golongan sekular hendak memotong-motong Islam dalam aspek-aspek tertentu dan memaksa Islam dengan pandangan mereka.

Dr Yusuf Qardawi memberi pandangan yang menarik dalam perkara ini dan saya ikuti temuramah ini. Apa yang berlaku hari timbul gejala-gejala negatif menunjukkan pendedahan kepada kepalsuan Islam Hadhari yang ditonjolkan itu. Dan ada pun bencana itu satu amaran daripada Allah SWT di samping kemusnahan yang dilakukan oleh tangan-tangan manusia itu sendiri dengan musnahnya hutan, kawasan balak yang diurus dengan tidak teratur, musnahnya kawasan tadahan air menyebabkan berlaku banjir yang tidak menentu, tidak sistematik dalam saliran, projek yang tidak teratur, yang ini buat projek yang ini gali lubang, masih tidak ada penyelarasan, kesalahan-kesalahan manusia yang akan membawa akibat yang sama kepada mereka, di samping bencana-bencana alam. Ini adalah hukuman daripada Allah Taala yang patut menyedar dan menginsafkan kita.

S: Mengenai kenaikan harga petrol yang biasanya diikuti pula dengan kenaikan harga barangan keperluan, sepatutnya apakah yang perlu dilakukan oleh kerajaan terlebih dahulu sebelum langkah yang membebankan rakyat diambil?

J: Kita telah menunjukkan cara masa kita memerintah dengan mengendalikan urusan yang tidak membebankan rakyat. Kita mengecualikan cukai pintu rumah kediaman di kawasan bandar sebaik sahaja kerajaan Barisan Nasional 'merompak' royalti petroleum dengan harapan kita membebankan rakyat dengan cukai-cukai ini, tiba-tiba tidak berlaku. Apa yang kita buat ialah pertama, kita menampung keperluan rakyat melalui hasil-hasil kerajaan sendiri sama ada hasil-hasil bumi Terengganu yang lain dari minyak atau pun keuntungan melalui anak-anak syarikat yang kita pulihkan dan kita tingkatkan di zaman pemerintahan kita dan seterusnya, kita mengenakan cukai kepada kalangan orang kaya, kepada peniaga-peniaga besar yang berkemampuan dan tidak membebankan rakyat. Ini cara kita mengatasi masalah.

Begitu juga dalam kita mengendalikan urusan pentadbiran supaya tidak berlaku kelemahan yang membebankan rakyat. Kita menubuhkan Hisbah, ombudsman yang hebat diperkatakan hari ini. Sebenarnya kita sudah wartakan di negeri Terengganu ini dan kita buat enakmen yang berkait dengan Hisbah, mungkin dia hendak tiru kita dalam perkara ini. Dalam senyap-senyap dia tiru kita juga dan jika Tuhan panjangkan umur kerajaan kita pada waktu itu, insya Allah banyak lagi benda yang baik boleh kita tunjuk. Dan insya Allah, jika Tuhan memberi kemenangan dengan izin-Nya dalam pilihan raya umum akan datang, kita akan sambung lagi kerja-kerja ini dan akan menjadi contoh yang baik kepada rakyat. Ini satu perkara yang sangat menarik.

Sepatutnya menjadi pengajaran dalam keadaan kita menerima tekanan daripada kerajaan pusat dan menerima tekanan di peringkat antarabangsa. Kita berjaya menarik sokongan-sokongan yang menguatkan ekonomi negeri sehingga kita mengatasi masalah kemiskinan dan kadar kemiskinan berjaya diturunkan dari tempat kedua kepada tempat ketiga. Sebenarnya, kerajaan pusat lebih banyak lagi boleh buat kerana mereka mempunyai kemampuan yang lebih besar dari kerajaan negeri. Tapi sayangnya dan malangnya mereka tidak mampu. Mereka hendak menangani masalah keperluan rakyat pun tidak mampu, apa lagi hendak menangani masalah yang lebih besar.

S: Akhir sekali, mengenai pilihan raya. Tuan Guru sebelum ini meletakkan ianya akan diadakan pada tahun 2007 supaya ahli-ahli dan para penyokong PAS meningkatkan gerak kerja parti. Bagaimana respons daripada mereka?
J
: Sehingga hari ini, dalam lawatan saya di negeri Terengganu sebanyak lapan Dun, menunjukkan respons yang sangat baik. Dalam majlis yang dianjurkan oleh parti di beberapa kawasan, saya dapati telah berlaku beberapa anjakan paradigma yang sangat menarik di kalangan pendukung-pendukung parti sendiri. Ini satu perubahan yang sangat baik. Cuma saya mengharapkan bahawa kesungguhan ini mesti dilakukan sebelum pilihan raya dan jangan dekat-dekat pilihan raya kerana kita memerlukan sokongan rakyat sebelum pilihan raya dan sehingga pilihan raya. Jangan keadaan masa yang terdekat. Apa penting lagi ialah kita perlu berjuang bersama dengan seluruh rakyat supaya mengubah undang-undang pilihan raya itu sendiri. Reformasikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Saya menarik apa yang berlaku dalam pilihan raya di Palestin. SPR di Palestin, apabila diancam oleh kuasa-kuasa barat dan Israel supaya double standard dalam pilihan raya, SPR mengancam untuk meletak jawatan kerana tidak demokratik. Alangkah baiknya, sifat yang baik ini dicontohi oleh SPR Malaysia dan bukan mereka menjadi alat kepada kerajaan untuk memusnahkan pilihan raya yang demokratik.
posted by jasindaily online @ 5:43 PM  
0 Comments:
Post a Comment
<< Home
 
DPPKJASIN

Name: jasindaily online
Home: Jasin, Melaka, Malaysia
About Me: Di bangunkan pada bulan April 2005
See my complete profile
CORETAN YANG LALU
ARKIB JASNIDAILY
POWERED BY

Free Blogger Templates

BLOGGER

© 2005 Info Template by Isnaini Dot Com