Scroll images by bigoo.ws

DEMI MASA

Demi masa. Sesungguhnya manusia benar-benar berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.

LAJNAH DPPKJ
KENALI PAS
KONFLIK PM-DR M: SILAP LANGKAH UMNO PADAH
Wednesday, August 16, 2006
"Apa yang berlaku sekarang ini lebih hebat daripada piala dunia": Demikian ulas seorang pengunjung salah sebuah blog politik yang kini menjadi sumber altenatif bagi orang ramai mendapatkan gambaran mengenai konflik antara Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan bekas bosnya Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kenyataan si penulis yang juga mengaku kurang tidur kerana terlalu menghabiskan masa melayari internet untuk mengikuti perkembangan pertikaian dua tokoh itu bukan satu pandangan yang terpencil, malah dikongsi ramai rakyat Malaysia yang semakin ketagih pada berita-berita terbaru isu berkenaan, cuma analoginya mungkin berbeza.

Kerana itu apa sahaja berita, asalkan terdapat gandingan nama Dr Mahathir dan Pak Lah, dan naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin yang juga menantu Perdana Menteri - sama ada benar, tidak benar atau hanya separuh benar - pasti mendapat perhatian umum.

Pesta berita Pak Lah-Dr Mahathir yang diselang-selikan dengan cerita-cerita Khairy ini semakin meriah dan rancak sepanjang hujung minggu lepas. Pelbagai peringkat pemimpin Umno mengambil kesempatan daripada mesyuarat Umno bahagian yang masuk minggu kedua untuk menyatakan pendirian mereka dan membuat ulasan peribadi mengenai konflik ketua dan bekas ketua mereka itu.

Tidak cukup media arus perdana, media dalam talian dan pelbagai laman web dan blog juga menjadikan pelbagai versi isu itu sebagai hidangan utama. Syarikat telekomunikasi mungkin antara pihak yang gembira dengan keadaan sekarang, memandangkan peningkatan jumlah SMS yang dihantar dan diterima sejak isu ini menjadi semakin hangat.

Pun begitu, pensyarah kanan Jabatan Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia Dr Ahmad Nidzamuddin Sulaiman berpendapat, yang akan jadi penentu dalam pertelingkahan ialah laporan dan perspektif yang diketengahkan oleh media arus perdana, terutama televisyen dan akhbar berbahasa Melayu.

Pengaruh televisyen dan akhbar berbahasa Melayu dalam mencorakkan pemikiran majoriti orang Melayu, terutama ahli akar umbi Umno, kata Nidzamuddin, kekal unggul walaupun dengan kewujudan banyak laman web dan blog yang cuba mengimbangi laporan-laporan "meyokong Pak Lah".

"Oleh itu secara umumnya saya melihat di kalangan orang Umno yang mentaliti feudalnya masih tebal, sudah ada pendirian jelas, iaitu presiden parti tetap betul.

"Bagaimanapun, keadaan berbeza di kalangan orang Melayu yang bukan ahli Umno dan golongan bukan Melayu. Mereka lebih terbuka dalam menerima pandangan berbeza. Malah di kalangan mereka, jelas wujud pelbagai peringkat pandangan yang bertentangan dengan yang cuba diketengahkan akhbar arus perdana," jelasnya.

Pada beliau ini adalah perkembangan sihat dari aspek kebebasan bersuara, tetapi jika ia gagal ditangani dengan bijak oleh Umno, ia boleh memungkinkan pihak lain "menangguk di air keruh" kerana ia seperti membayangkan tentangan masyarakat terhadap kepimpinan Pak Lah.

"Jika keadaan ini berlarutan, ia boleh meletakkan Pak Lah di tempat yang sukar, malah pengaruh politik beliau juga mungkin goyah," telah beliau.

Nidzamuddin juga melihat sorakan yang seolah-olah mengejek dan komen keterlaluan pemimpin tertentu terhadap Dr Mahathir, walaupun dianggap patut oleh sesetengah pihak yang mentafsirkan tindakan bekas Perdana Menteri itu sebagai mengkhianati parti dan Pak Lah, boleh memakan diri.

Beliau menarik perhatian bahawa ramai ahli Umno yang walaupun telah "dididik" minda mereka untuk sentiasa menyokong pemimpin hari ini, berada dalam keadaan serba-salah dan keliru kerana pihak yang perlu ditentang bukannya orang luar atau parti pembangkang, tetapi bekas presiden yang sebelum ini sangat kukuh kedudukannya dan sangat mereka hormati.

"Oleh itu Umno perlu bertindak teliti dan bijak. Cadangan beberapa Umno bahagian supaya dua tokoh itu bersemuka adalah satu unjuran yang baik bukan sahaja dari kacamata politik, tetapi juga dari sudut demokrasi, agama dan kepentingan orang Melayu.

"Dan sebaiknya, biarlah ia diatur oleh seorang tokoh yang boleh dihormati oleh kedua-dua personaliti itu sendiri dan yang juga punya kredibiliti untuk bertindak sebagai orang tengah," cadang beliau.

Mengukuhkan lagi pandangan itu itu, Nidzamuddin berkata ini pendekatan terbaik kerana Dr Mahathir bukan seseorang yang mudah mengalah.

"Jika ketidakpuasan hatinya tidak diselesaikan, selagi dia sihat Dr Mahathir mungkin akan terus menyerang kerajaan dan Pak Lah," katanya.

Kesal dengan keadaan yang semakin keruh, Ketua Puteri Umno Datuk Noraini Ahmad pula meminta pemimpin politik Umno yang lebih berpengalaman supaya menggunakan kebijaksanaan mereka menangani isu ini.

"Pak Lah presiden kita, tetapi Tun adalah orang yang sangat kita sanjungi selama ini. Janganlah burukkan keadaan dengan kenyataan keras. Kami yang baru dalam politik, seperti ahli Puteri, sekarang ini seperti hilang punca.

"Kalau boleh biarlah isu ini diselesaikan seperti menarik rambut dari tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berselerak. Membuat kenyataan terbuka sama ada memuji atau memburuk-burukkan mana-mana tokoh itu bukan cara kita. Kita orang Melayu, kita orang Islam, kita selesaikan masalah secara musyawarah," katanya.

Noraini melihat isu ini sebagai isu dalaman Umno dan mahu parti sendiri berusaha mempertemukan kedua-dua bekas sahabat itu secara rahsia bagi menyelesaikan sebarang pertikaian dan kesangsian antara mereka.

Katanya, orang lain tidak perlu tahu mengenai inti-pati perbincangan itu melainkan personaliti yang paling rapat dengan kedua-dua Pak Lah dan Dr Mahathir, yang boleh bertindak sebagai orang tengah atau moderator.

Selain itu, Nidzamuddin dan Noraini sependapat bahawa keadaan ini tidak akan menjadi sebegini keruh jika ia tidak diperbesar-besarkan media.

"Barangkali isu ini boleh mati begitu sahaja jika media dan orang ramai berhenti mengambil peduli kritikan-kritikan Dr Mahathir terhadap Pak Lah, sama seperti yang berlaku kepada bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim satu ketika dahulu," kata Nidzamuddin.
posted by jasindaily online @ 4:24 PM  
0 Comments:
Post a Comment
<< Home
 
DPPKJASIN

Name: jasindaily online
Home: Jasin, Melaka, Malaysia
About Me: Di bangunkan pada bulan April 2005
See my complete profile
CORETAN YANG LALU
ARKIB JASNIDAILY
POWERED BY

Free Blogger Templates

BLOGGER

© 2005 Info Template by Isnaini Dot Com