Apa pun, ia merupakan satu pukulan mahaguru yang memukau Israel, Amerika Syarikat dan dunia sejagat. Malahan ketika para pengkritik penaklukan Israel itu mendakwa dengan bertambahnya bahan bukti betapa Israel memang sudah lama merancang mahukan serangan itu lebih awal lagi (dengan sokongan dan izin pentadbiran Presiden George Bush); sekarang semakin jelas bagaimana Hezbollah sengaja menjebak Israel agar berperang selepas ia merancang penangkapan dua orang askar Israel yang diculik. Selain itu Hezbollah telah siap sedia dengan taktik ketenteraannya, terowong bawah tanah, serangan misil dan senjata anti-kereta kebal yang termoden. Sekarang Hezbollah sudah merancang pembangunan semula selepas peperangan itu, di mana usaha yang besar itu hanya mampu dibuat oleh Hezbollah dan bukan kerajaan Lubnan yang lembik dan tidak berguna. Katalah itu sebagai sebuah rencana kemusnahan terbaru dan Timur Tengah Baru yang akan diciptanya, jauh lebih berbeza daripada Timur Tengah yang diimpikan oleh pentadbiran Bush dan sekutu mereka di Israel.
Idea 'rencana kemusnahan terancang' merupakan hasil nukilan yang diwarwarkan oleh seorang pakar ekonomi Austria bernama Rudolph Schumpeter lebih setengah abad yang lalu untuk memberikan gambaran bagaimana kapitalisme bergerak serentak untuk menghancurkan sistem sosial sekarang dan meraih keuntungan daripada sistem ekonomi dan sosial yang menggantikannya.
Pada 1980-an dahulu, mahaguru dunia perniagaan Amerika Syarikat seperti Tom Peters telah nampak akan revolusi dalam teknologi dan pembuatan dan secara serentak meramalkan kejatuhan blok Soviet dan dunia dwi-polar yang telah selama itu ditenteramkannya. Sekali gus beliau bukan sahaja meramalkan betapa perlunya menguruskan ketegangan yang nampak semakin ketara, tetapi kemungkinan keuntungan yang akan meruap dan melambak dengan hebatnya.
Kumpulan neo-liberal sejagat dan neo-konservatif, dan akhirnya pentadbiran Bush, akan berpaut kepada konsep kemusnahan terancang itu sebagai satu cara untuk menggambarkan proses betapa mereka bercadang melahirkan satu ode baru dunia.
Untuk mereka yang sedang meraikan kemusnahan terancang itu, Amerika Syarikat adalah laksana yang digambarkan oleh seorang penasihat Bush yang bernama Michael Ledeen - (seorang filasuf neo-konservatif) - "satu kekuatan revolusi yang hebat" di mana idea kemusnahan terancang itu akan menjadi fokus utamanya."
Ketaksuban yang sama wujud di Timur Tengah menyokong Simon Peres yang menonjolkan konsep "Timur Tengah Baru" di mana Israel adalah penjana budaya dan ekonominya. Inilah visi yang dilahirkan oleh proses kedamaian Oslo dan akhirnya tumbang terabai.
Untuk mengekalkan falsafah ini, tentera Israel beranggapan bahawa cara memusnahkan Hezbollah ialah dengan memusnahkan ribuan nyawa orang Lubnan dan bangunan mereka. Mereka beranggapan bahawa itulah caranya untuk mewujudkan satu imbangan kuasa di rantau itu yang lebih menyenangkan mereka. Apa yang tidak diambil kira ialah sikap Hezbollah menggunakan prinsip keganasan yang sama sebagai penggerak perubahan sosial dan politik, secara menyongsang; setiap bangunan yang dibom dan kanak-kanak yang sudah tidak bernyawa memberikan satu peluang untuk Hezbollah menunjukkan sikap patriotisme, dermawan dan kecekapan.
Kini, ketika askar Israel mula berundur daripada Lubnan yang dianggap oleh setiap orang Arab sebagai satu kekalahan, para pejuang Hezbollah telah menukar senjata mereka (kebanyakan Kalashnikovs) dengan memakai topi keras dan memandu jentolak. Mereka mula membersihkan himpunan runtuhan bangunan, menyerahkan wang bantuan, makanan dan mengagihkan perabot kepada puak yang memerlukannya, dan memperbaiki jalan raya serta bangunan yang telah hancur-lebur oleh peperangan. Semua itu dengan biaya wang yang datang mencurah-curah daripada musuh ketat Amerika dan Israel yang akhirnya menjadi sasaran perang mereka - yakni Iran. Dengan kata lain, Hezbollah berjaya menyediakan kek dan memakannya juga. Hezbollah telah berjaya berdepan dengan tentera Israel yang dianggap perkasa 'IDF' (Israel Defence Forces) dan berjaya menundukkan mereka. Kemudian, belum pun sempat sesiapa mengkritik Hezbollah kerana kemusnahan yang dicetuskannya, ia sudah pun memulakan sebuah rencana untuk membangunkan semula segala kemusnahan itu dengan biaya yang sedia ada. Kalaulah pentadbiran Bush bertindak seperti ini di Iraq dahulu?
Apakah yang patut dipelajari oleh AS dan Israel daripada pengalaman selama lima minggu yang berlalu? Mereka telah berjaya melancarkan kemusnahan terhadap apa sahaja, seperti yang mereka lakukan di Iraq. Lubnan ataupun Gaza menjadi semakin menyerlah dan dalam proses melepaskan gelombang kekalutan yang sungguh dahsyat itu. Mereka telah mempunyai tanggapan mampu menguasai keadaan untuk kepentingan sendiri.
Akan tetapi strategi Nasrallah telah menunjukkan betapa beliau adalah seorang pakar kemusnahan terancang di dua pihak percaturan. Beliau faham bahawa kemusnahan terancang mesti mencetuskan sebuah sistem yang mampu memberikan manusia satu keyakinan terhadap masa depan seandainya proses itu disempurnakan.
Kerana inilah, seandainya Setiausaha Negara AS Condoleezza Rice telah melihat kelahiran sebuah Timur Tengah Yang Baru, bayi yang mereka sambut itu bukannya hasil kelahiran Amerika ataupun Israel, tetapi hasil kelahiran Hezbollah. Apakah AS akan menyayanginya? Apakah AS mengabaikannya seolah-olah itu bukan tanggungjawabnya? Inilah pengajaran pahit yang sukar untuk ditelan, tetapi adalah lebih baik kalau AS mempelajarinya secepat mungkin. Amerika harus sedar bahawa semua pencabarnya sudah pun mempelajari pengalaman itu.
Mark LeVine, PhD, is a professor in the department of history, University of California-Irvine.