DEMI MASA |
|
|
KALAU KERAJAAN PAKLAH MAHU KAWAL INTERNET |
Tuesday, August 01, 2006 |
Kalau Kerajaan Paklah betul-betul mahu kawal internet bererti rakyat akan kehilangan satu-satunya saluran bebas untuk bersuara. Setakat ini pun saluran ini tidak digunakan sangat kerana rakyat yang terlalu manja, mudah lupa dan mudah alpa.
Mungkin Paklah dan UMNO sebagai parti tunjang Barisan Nasional berfikir untuk menyekat kisah kebobrokan kerajaan BN sekarang ini, jalan terbaik ialah menyekat kebebasan internet. Tetapi sejak kebebasan berinternet diberikan, sesungguhnya kerajaan masih mampu menang besar dalam pilihan raya umum dan Paklah masih seronok mentadbir negara tanpa banyak masalah melihat sepanduk rakyat yang merusuh di jalan raya.
Jadi, apakah reaksi rakyat kalau internet dikekang? Rakyat akan mencari jalan lain. Mungkin Malaysia-Today, MalaysiaKini dan Laman Marhaen dirindui oleh rakyat yang mahukan berita alternatif. Tetapi ini sekali gus akan membuat rakyat bangkit kerana timbul satu kesedaran betapa kebebasan mereka yang terakhir sudah pun tergugat.
Mungkin kerana terlalu selesa melihatkan rakyat mudah akur kepada apa juga tindakan kerajaan tanpa mahu membantah secara keras, membuatkan kerajaan berani menutup ruang kebebasan kepada rakyat marhaen. Setakat ini bila kerajaan naikkan harga minyak rakyat diam membisu dengan sedikit drama sana-sini yang dicetuskan oleh pemimpin pembangkang yang mahukan 'political mileage'. Kalau ada pun pemimpin pembangkang yang mengepalai demonstrasi kecilan ini kebanyakan mereka sudah hilang kredibiliti atas beberapa sebab yang mereka sendiri tahu.
Lagi pun masa untuk mendapatkan 'political mileage' adalah terlalu awal sebab pilihan raya umum akan diadakan hanya selepas 2007. Rakyat mudah lupa kalau ada pemimpin yang gilakan ‘political mileage’ pun dia tahu mungkin tak berbaloi menentang pancutan air berasid yang menanti setiap gerakan tunjuk perasaan di negara ini.
Sebagai contoh: satu ketika dahulu Ezam Mohd Nor merupakan satu nama besar untuk membangkitkan semangat rakyat membantah kerajaan. Ketokohan Ezam semakin menyerlah apabila dia sebut adanya enam kotak yang berisi segala bukti rasuah pemimpin yang masih lagi bernafas lega. Tetapi hari ini, Ezam hanya tinggal nama di bibir reformis sahaja atas sebab yang Ezam sendiri amat mengerti dan turut difahami oleh segelintir penganalis politik di tanah air ini. Ezam mungkin cuba muncul sehari dua ini untuk memimpin satu pertunjukan kebangkitan rakyat, dia diduga tidak akan menarik minat rakyat marhaen untuk bangkit menentang kerajaan. Begitu juga dengan Azmin Mohd Ali dan beberapa nama lain.
Siapa Yang boleh Memimpin Tunjuk Perasaan Rakyat
Sesiapa pun yang cuba memimpin tunjuk perasaan rakyat menentang tindakan kerajaan mengekang kebebasan internet tidak akan dapat mencapai sasarannya selagi yang memimpin itu bukan melakukannya atas nama parti yang dianggotainya.
Ini bererti sesiapa yang mahu memimpin kebangkitan rakyat membantah tindakan kerajaan Paklah mestilah bertindak atas nama Parti politiknya ataupun nama Badan dan pertubuhannya seandainya dia bangkit bagi pihak pertubuhan bebas. Rakyat sudah cerdik sekarang ini. Tunjuk perasaan atas nama individu sebagai pemimpin tidak akan mendapat sokongan padu rakyat. Tetapi kalau tunjuk perasaan itu di bawah panji-panji parti politik ia akan lebih diyakini.
Ini merupakan satu cabaran kepada sesiapa yang berani menyanggah kerajaan Paklah, tidak kiralah si polan itu mewakili PKR, PAS, DAP ataupun UMNO. Ini bererti hanya golongan pemimpin muda ataupun pemimpin pelapis yang akan menonjol memimpin kebangkitan marhaen ini. Yang tua (seperti Lim Kit Siang, Karpal Singh) sudah tidak berminat dengan bantahan secara ini kerana kelesuan tenaga dan usaha, Yang hampir tua seperti Mat Sabu, Mahfuz, Ustaz xxx mungkin juga tidak berminat kerana 'political mileage' usaha ini adalah terlalu awal untuk dinikmati.
Sesungguhnya tindakan kerajaan Paklah semacam mengharamkan kebebasan marhaen berpolitik melalui internet akan dapat dilakukannya dengan mudah tanpa rakyat bangkit untuk membantah. Sebab utamanya ialah rakyat tidak akan berkumpul di jalan raya tanpa disuntik satu semangat yang menyentuh perasaan mereka.
Lihat sahaja hari ini, harga barang makanan sudah naik melambung lebih tiga puluh peratus. Ada sesetengah perkhidmatan awam sudah naik lebih dari tiga puluh peratus, tetapi rakyat akur sahaja. Tidak mahu kecoh-kecoh dan sanggup menyeluk saku membayar apa yang dinaikkan.
Kenapa jadi begini negara ini?
Kalau kita tengok jenis manusia yang mahu tunjuk perasaan itu, sebahagian besar mereka sekarang ini masih menganggur. Ramai yang menganggur itu mempunyai segulung ijazah ataupun diploma yang diperolehi dalam negara, tetapi ia hanya untuk mereka berpindah randah dari satu pejabat ke satu pejabat untuk ditemuduga. Kebanyakan mereka adalah berbangsa Melayu. Kalau mereka turut tunjuk perasaan ialah kerana mempunyai masa terluang untuk menghabiskannya sambil menunggu giliran untuk ditemuduga lagi di tempat kerja yang lain.
Jarang sangat kita lihat pemuda Cina dan India yang mahu berkumpul menunjuk perasaan kerana walaupun mereka secara sahnya adalah penganggur, ramai yang bekerja sementara untuk mencari rezeki menampung hidup sedangkan anak Melayu lebih sanggup 'tanam anggur' dan bergantung nasib daripada keluarga dan enggan membuat kerja yang tidak layak dibuat oleh seorang pemilik diploma dan ijazah. Kerana itu terlalu ramai anak muda Melayu yang menganggur dan tendang habuk di tepi jalan hanya kerana sedia dan rela untuk menganggur.
Memang melucukan kalau kita lihat seorang anak muda Melayu yang mempunyai kelulusan IPT sanggup menganggur tetapi masih tidak segan-silu bergantung kepada pendapatan 'makwe' untuk terus hidup bergaya. Memang banyak cerita menarik dalam episod begini, kerana kebanyakan yang berjaya mendapat pekerjaan akhirnya mengucapkan selamat tinggal kepada 'makwe' yang sekian lama menunjukkan kesetiaan padanya.
Oleh kerana terlalu ramai anak Melayu yang berkelulusan masih menganggur, mereka ini tidak akan berani membabitkan diri untuk menunjuk perasaan menentang kerajaan. Mereka takut tertangkap dan nama dicatat untuk diambil kira semasa ditemuduga bagi jawatan kerajaan.
Dengan demikian, siapa yang akan menunjuk perasaan seandainya kerajaan Paklah menyekat kebebasan berinternet? Inilah cabaran yang amat besar kepada parti pembangkang seperti PKR DAP dan PAS.
Pengekangan kebebasan berinternet akan menjunamkan UMNO dan parti komponen BN. Secara logiknya, kalau UMNO merudum PAS yang akan menerima keuntungan, dan sedikit tempias keuntungan itu akan diterima oleh PKR. Soalnya sekarang PAS tidak pernah serius bila mengadakan tunjuk perasaan kerana kerap menumpukan usaha hanya di satu-satu tempat dan tidak menyeluruh di merata negara. Kerana itu kebangkitan rakyat menyanggah kerajaan tidak melebar luas di kalangan marhaen.
Selama ini pun ada beberapa tokoh PAS yang menganjurkan tunjuk perasaan tetapi sudah semakin kurang sokongan kerana ada desas-desus si polan bin si polan sudah menjadi tali barut polis dan kerajaan yang memerintah. Khabarnya proses 'turning over' itu berjaya dilaksanakan oleh pihak polis semasa si polan di tahan di bawah ISA dan sebagainya.
Saya pernah menyarankan sejak lama dahulu kalaulah pemimpin pelapis PAS serius berpolitik mereka sudah memperjuangkan keperitan hidup tahanan ISA yang tidak dikemukakan untuk perbicaraan dan ahli keluarga yang merempat kerana kehilangan tempat bergantung. Isu ISA adalah satu isu besar yang melanggar tatasusila hidup secara Islam, dan kalau pemimpin pelapis PAS memperjuangkannya dengan serius sudah lama tahanan ISA itu dibebaskan oleh kerajaan.
Sebagai satu contoh yang jelas. Cuba kita renungkan kisah Mahathir yang menyibuk pergi ke Kota Bharu untuk bercakap menyanggah pentadbiran Paklah. Bayangkan PAS turut menyumbang kain rentang mewar-warkan kedatangan Mahathir. Orang luar yang cuba berjinak-jinak mahu menganggotai PAS tentu terkejut dengan gelagat PAS, kerana selama 22 tahun Mahathir mencengkam kuasa sebahagian besar peranan beliau ialah memperlekeh Islam dan PAS. Adakah sesiapa dalam PAS yang bertanyakan pendapat Mahathir kenapa dia tidak mahu perjuangkan kebebasan tahanan ISA?
Di Timur Tengah sekarang ini peperangan meledak kerana Hezbollah telah menangkap dua orang askar Israel kerana mahu menuntut pembebasan ribuan tahanan Arab dalam jel Israel. Apakah PAS menaja kain rentang melambaikan kedatangan Mahathir itu dengan satu muslihat mahu dapat melepaskan tahanan ISA?
Kalau diambil kira bantahan rakyat kepada gelagat kerajaan yang memerintah berbuat sesuka hati dalam pentadbiran negara, besar kemungkinan sebarang kawalan ketat kerajaan terhadap kebebasan berinternet akan menerima sambutan semacam itu juga. Paklah tidak perlu takut akan reaksi negatif rakyat marhaen, kerana selama 22 tahun Mahathir mencengkam negara minda golongan muda di negara ini sudah disalut budaya takut sehingga mereka tidak berani bangkit untuk membantah.
Kita masih sangsi apakah cara kerajaan akan membuat kawalan itu. Setakat ini China merupakan satu-satunya negara besar yang mengawal kebebasan berinternet, tetapi rakyatnya masih mampu bertukar maklumat secara terhad kalau bukan betul-betul bebas.
Kalau ketat sangat kawalan kerajaan ini bermakna akan melonjak nanti penggunaan SMS untuk rakyat bertukar maklumat. Mel elektronik (e-mel) pun akan menjadi semakin sarat kerana betapa pun kerajaan cuba ketatkan sebaran maklumat bebas adalah sukar untuk kerajaan menutup pelayar antarabangsa seperti Yahoo, MSN dan sebagainya. Lebih ramai rakyat akan menggunakan saluran 'chatting' untuk bertukar maklumat.
Penjualan mesin faks pun akan meningkat kerana ia memberi alternatif yang terbaik untuk bertukar maklumat, dan maklumat itu boleh dihantar secara tulisan tangan sahaja. Perisian menggunakan kemudahan faks di komputer peribadi akan semakin laku kerana rakyat akan terus bertukar maklumat dengan mengirim faks melalui komputer. Ini sekali gus melariskan mesin pengimbas ataupun mesin pendua (photocopy machine) jenis 3+1
Namun, siapa boleh sangka kalau ketat sangat kawalan itu akan muncul Ezam dan Lim Guan Eng baru di kalangan anak-anak muda yang berpendidikan tinggi di negara ini. Yang saya maksudkan ialah pemuda yang benar-benar pernah belajar di universiti terkenal seperti yang dilakukan oleh Lim Guan Eng ataupun Ezam, dan bukannya yang berkelulusan Preenston University ataupun ijazah yang boleh dibeli di Chow Kit. Pemimpin berkelulusan semacam ini (ramai dalam UMNO) hanya akan menunjuk perasaan untuk mendapatkan habuan. Pada kali ini sesiapa yang memimpin kebangkitan rakyat untuk membantah kawalan kerajaan itu boleh gunakan isu lain yang selama ditindih oleh propaganda kerajaan sebagai ingatan betapa penderitaan rakyat perlu satu pembelaan.
Sesiapa sahaja yang akan bangkit kali ini untuk mengepalai kebangkitan rakyat marhaen akan berkemungkinan mendapat tempat yang unggul menggantikan nama-nama basi seperti Azmin Ali, Ruslan Kassim dan Ezam Mohd Nor.
Siapakah gerangannya? Sama-samalah kita nantikan |
posted by jasindaily online @ 6:12 PM |
|
|
|
DPPKJASIN |
Name: jasindaily online
Home: Jasin, Melaka, Malaysia
About Me: Di bangunkan pada bulan April 2005
See my complete profile
|
CORETAN YANG LALU |
|
ARKIB JASNIDAILY |
|
POWERED BY |
|
|