Perdana Menteri semalam mengeluarkan amaran - sesiapa yang menyebar fitnah di Internet akan di dakwa.
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata jika maklumat yang disebarkan dalam blog, laman web dan portal berbau fitnah, menimbulkan rasa kurang senang masyarakat dan boleh menyebabkan mereka hilang kepercayaan kepada dasar ekonomi negara, penulisnya akan ditahan untuk siasatan.
"Kita tidak boleh membenarkan perkara seperti ini berterusan tanpa sekatan.
"Mereka menulis pelbagai benda, membuat dakwaan yang bukan-bukan. Kita tidak boleh benarkan mereka menyalahgunakan kebebasan media. Sekiranya dibiarkan berterusan, mereka boleh berkata apa sahaja," katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat mengenai cadangan pembinaan Taman Ketamadunan Islam di Pulau Wan Man dekat sini.
Abdullah seterusnya berkata, mereka yang menyebarkan fitnah dan perkara tidak benar melalui sistem pesanan ringkas juga akan menghadapi tindakan serupa.
Katanya kerajaan tidak boleh membenarkan golongan ini melampaui kebebasan media yang telah pun diberikan setakat ini.
"Mana ada kebebasan seperti itu dalam dunia ini, di mana seseorang boleh dengan bebasnya menyebarkan maklumat tidak benar dan membuat fitnah tanpa perlu mengakuinya?" kata Abdullah.
Ditanya sama ada satu mekanisma khusus akan diperkenalkan bagi membendung kegiatan seperti itu, Perdana Menteri berkata beliau akan menyerahkannya kepada pihak polis untuk menyiasat terlebih dahulu. |