DEMI MASA |
|
|
Pilihan raya umpama pungutan suara olok-olok |
Saturday, May 20, 2006 |
Pelbagai kritikan dikemukakan terhadap perjalanan pilihan raya umum Sarawak, daripada senarai daftar pemilih yang berbeda-beda, peranan care taker government, taktik ugut dan gertak, penyalahgunaan jentera kerajaan, juga liputan media yang jelas berat sebelah.
Saya tidak pasti apakah sisipan 32 halaman dalam akhbar Berita Harian New Straits Times, hari ini, 19 Mei, yang jelas berkempen untuk mengekalkan Abd Taib Mahmud dan BN di Sarawak, dibiayai oleh BN Sarawak ataupun kerajaan negeri sendiri. Yang pastinya kos sisipan berkenaan pastinya menelan belanja cukup tinggi, dan hati kecil saya lebih mudah mengandaikan bahawa yang hangus adalah wang kerajaan bukannya duit BN.
Siaran berita TV3 jam 8 malam pula - mengulangi apa yang berlaku dalam setiap kali kempen pilihan raya umum nasional - sudah bertukar menjadi bilik gerakan BN, apabila cogan kata yang dipaparkan siaran TV itu sama dengan moto BN: Aman, Maju, Makmur.
Walaupun BN akan menghadapi laluan mudah, tetapi berdasarkan kempen dan tipu daya BN, seolah-olah mereka berdepan cabaran getir. Mungkinkah mereka bimbang dengan faktor Anwar Ibrahim yang turun berkempen, ataupun BN mahu pastikan menang seratus peratus dan pembangkang disifarkan, di samping mahu "menguburkan oposisi daripada Semenanjung" - satu mentaliti feudalisme kerakusan kuasa!
Naib Presiden PAS, Husam Musa dalam satu kenyataannya menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberikan respons segera, terutama berkaitan beberapa isu yang sangat asas yang menentukan sama ada sesuatu pilihan raya itu berjalan secara bersih, absah dan dipercayai.
Husam menimbulkan soal laporan Mafrel bersabit dua daftar pemilih yang disahkan SPR, masing-masing pada Mac dan Mei 2006. Ini kerana senarai pemilih yang akan digunakan pada hari mengundi adalah baru disahkan selepas penamaan calon dan berbeza dengan senarai yang dirujuk pada hari penamaan calon, yang baru saja disahkan pada Mac lalu.
Keadaan menjadi lebih kritikal, tambah Husam, bila mana senarai baru daftar pemilih mengandungi pengundi pos yang meningkat dengan agak besar dan tertumpu di beberapa DUN tertentu seolah-olah untuk memastikan calon dari parti tertentu terjamin kemenangan, dan seterusnya menjadikan pilihan raya hanya satu proses pungutan suara olok-olok.
Sememangnya hampir semua menjangkakan BN akan menang besar esok, dan tiada siapa yang mahu membuang masa mencabar hakikat itu, namun perkara asas yang harus diperhitungkan, mengapa dari masa ke semasa, proses dan perjalanan pilihan raya dan amalan demokratik secara umumnya di negara ini makin buruk dan menyimpang jauh daripada sebuah pilihan raya yang bersih, jujur dan adil, walhal perkembangan di beberapa negara serantau, seperti Thailand, Indonesia dan Filipina, cukup positif sekali.
Soal daftar pemilih telah menjadi isu besar dan kritikal dalam pilihan raya umum 2004. Segala bukti dikemukakan sehingga ke mahkamah. Ramai mengharapkan kerajaan Abdullah Ahmad Badawi mengambil serius hal ini dengan memperbaiki segala kepincangan, sekali gus memperkasakan integriti SPR.
Lagipun, kemenangan menguasai 92 peratus kerusi Parlimen sudah cukup membuatkan Abdullah melonggarkan segala sekatan. Malangnya, beliau mengekalkan tradisi tidak pedulinya dengan sebarang rungutan mengenai amalan demokrasi di negara ini.
Untuk mengharapkan padang sama rata bagi semua pihak yang bertanding seolah-olah mengimpikan kucing bertanduk. Manakala definisi kerajaan sementara tidak pernah diperhalusi. Apabila DUN dibubarkan, mandat rakyat sudah berakhir. Autoriti kerajaan sementara selepas itu terlalu terhad, misalnya perkhidmatan awam hanya meneruskan rutin pentadbiran, dan tentu sekali tidak timbul segala janji-janji pembangunan yang bertimbun-timbun itu.
Prof Abd Aziz Baru, pakar perlembagaan pernah menghuraikan hal kerajaan sementara itu. Dalam sebuah demokrasi berparlimen, "nyawa" kerajaan ialah kepercayaan ahli-ahli dewan. Perlembagaan sendiri mensyaratkan bahawa ketua kerajaan itu perlu dilantik dari mereka yang mempunyai kepercayaan sebahagian besar ahli-ahli dewan. Sebuah kerajaan sementara ialah sebuah kerajaan yang tidak mempunyai "nyawa" dalam erti kata ini.
Walaupun sesebuah kerajaan itu mempunyai majoriti lebih dua pertiga, tetapi apabila dewan dibubarkan, ia tidak mempunyai mandat lagi. Ini semua dengan sendirinya membayangkan betapa terhadnya kuasa kerajaan sementara itu. Ia juga menjelaskan bahawa seruan supaya tidak menggunakan kemudahan kerajaan semasa pilihan raya oleh parti pemerintah itu sebenarnya bukan sekadar hujah moral, ia sebaliknya turut mempunyai hujah undang-undang dan Perlembagaan!
Melihat kempen di Sarawak, maka kita tidak perlu terkejut jika pilihan raya umum akan datang, dijangka sebelum April 2008, akan mengulangi segala penipuan dan taktik kotor BN, yang berbeda mungkin pendekatan atau kaedah sahaja.
Jika parti-parti pembangkang, dalam tempoh terdekat tidak berjaya memastikan segala ketempangan itu diketepikan, maka bersedialah mereka untuk disembeleh sekali lagi. Benar, Abdullah nampak lembek menangani isu-isu besar negara, tetapi berdepan pembangkang dia tetap keras dan ganas, walaupun diselindungi senyum manisnya! Lalu, apa langkah pembangkang seterusnya? |
posted by jasindaily online @ 9:53 PM |
|
|
|
DPPKJASIN |
Name: jasindaily online
Home: Jasin, Melaka, Malaysia
About Me: Di bangunkan pada bulan April 2005
See my complete profile
|
CORETAN YANG LALU |
|
ARKIB JASNIDAILY |
|
POWERED BY |
|
|