DEMI MASA |
|
|
APABILA GOLONGAN AGAMA MENYEBABKAN AGAMA MENJADI LEMAH |
Wednesday, May 03, 2006 |
Pada bulan September lepas saya turut membentangkan kertas kerja dalam Seminar Hukum di UM. Ramai yang email dalam meminta bahan tersebut dari saya kerana mereka tidak dapat hadir. Secara umum fokus kertas kerja saya mengenai Islam Liberal. Saya cuba menjelaskan tentang kelemahan golongan agama di sudut pemikiran, ilmu dan sikap telah menjadi punca munculnya aliran-aliran yang menyanggahi agama yang tulen. Dunia Islam yang sepatutnya menerajui tamadun pembangunan insan dan kebendaan telah mundur dan hilang peranan. Hasil dari hilangnya akidah yang menjadi asas tamadun umat, maka hilanglah tamadun. Bahkan sebahagian masyarakat Islam hidup dalam kesyirikan dan khurafat yang tebal. Lihat sahaja apa yang wujud di Indonesia, Mesir dan Morocco. Mereka bukan sahaja ketinggalan zaman, mereka juga ketinggalan Islam yang tulen.
Bahkan ada istiadat dan pegangan bangsa yang menyanggahi syarak menggantikan tempat agama. Wanita Islam di Pakistan umpamanya, begitu ditindas di sudut hak sebagai wanita, bahkan sebagai insan. Anak perempuan bagaikan hak dagangan bapanya yang mempunyai kuasa mutlak mengahwinkan dia kepada sesiapa yang dikehendakinya tanpa diizinkan sebarang bantahan dari empunya tubuh. Isteri pula bagaikan hamba abdi suaminya yang diberi kuasa oleh budaya setempat memukul dan menyiksa.
Wajah-wajah buruk bangsa yang menganut Islam ini telah benar-benar menconteng keindahan Islam di mata dunia. Setelah menggambarkan keagungan generasi Islam yang lampau, 'Ali Tantawi berkata: ''Mijoriti kaum muslimin hari ini, disebabkan kecuaian mereka dengan kewajipan-kewajipan agama ini, maka mereka berada di belakang umat-umat yang lain, mereka menjadi hujah untuk musuh-musuh Islam (menghina Islam-pen). Sehingga Jamal al-Din al-Afghani, atau Muhammad 'Abduh menyebut perkataan yang hebat: ''Islam itu terlindung oleh penganutnya''.( 'Ali Tantawi, Mauqifuna min al-Hadarat al-Gharbiyyat, m.s. 45, Jeddah: Dar al-Manarah (1986))
Secara umumnya, kemunduran ini berpunca dari beberapa faktor. Jika difokuskan kepada pemikiran hukum atau perkembangan pegangan syariat di dunia Islam, faktor-faktor berikut menjadi penyumbang utama:
i. Hilangnya Teras Akidah Dalam Penyampaian Syariat Hilang kefahaman yang betul terhadap tuntutan syahadatain. Islam tidak difahami bermula dari persoalan akidah. Pada hal itu adalah teras dan asas. Maka syirik serta khurafat berluluasa dalam Dunia Islam. Syirik, tahyul dan khurafat telah menghilangkan Islam tulen yang merupakan teras kepada ketamaduan. Bermula dari tangkal, mentera syirik, sehingga kepada meyakini sistem yang lain setanding dengan Islam. Kata Muhammad Qutb: (Berpunca) daripada kemunduran akidah, timbullah segala macam kemunduran yang menimpa Dunia Islam..kemunduran ilmu, ketamadunan, ekonomi,peperangan, pemikiran dan kebudayaan.( 'Ali Tantawi, Mauqifuna min al-Hadarat al-Gharbiyyat, m.s. 45, Jeddah: Dar al-Manarah (1986)
Ramai muslim yang akidah mereka menyimpang dari daerah kemurnian menuju kesesatan, bahkan mungkin ke arah kemurtadan. Di sesetengah negeri pengajaran tentang perkara-perkara yang membatalkan wuduk, solat, puasa dan beberapa tajuk-tajuk fekah yang lain lebih diutamakan dibandingkan dengan pengajaran mengenai perkara-perkara yang membatalkan akidah. Hasilnya, ramai muslim yang mengetahui perkara-perkara yang membatalkan wuduk, solat, puasa dan seumpamanya, namun jahil tentang perkara-perkara yang membatalkan iman. Jika pun dibincangkan persoalan akidah, mereka dipengaruhi pula oleh falsafah Greek lama yang kadang-kala perbincangannya tidak membawa sebarang kekuatan kepada akidah, bahkan kepada kepenatan akal dan kecelaruan sahaja. Ini seperti Allah ada lawannya tiada, dengar lawannya pekak, melihat lawannya buta, tidak berjisim, tidak berjirim dan seumpamanya. Kemudian diikuti dengan falsafah-falsafahnya yang memeningkan. Sehingga guru yang mengajar pun tidak faham. Untuk mengelakkan dia dipersoalkan dia akan berkata: ''Barang siapa banyak bertanya maka lemahlah imannya''. Maka akidah sebenar hilang dalam kepincangan perbahasan falsafah kalam warisan Greek dan Yunan.
Akidah yang diajar oleh Nabi s.a.w adalah akidah yang bersih dan mudah difahami. Dalam ajaran Islam, persoalan tauhid dan akidah adalah perkara yang paling mudah dan senang untuk dimengertikan oleh semua lapisan umat. Ini kerana persoalan akidah mesti difahami oleh mereka yang buta huruf, badawi di padang pasir sehinggalah kepada golongan yang terpelajar dan cerdik pandai. Kalaulah perbahasan akidah begitu sukar dan susah seperti yang difahami oleh golongan ahli kalam dan falsafah, bagaimana mungkin golongan awam yang buta huruf atau tidak memiliki kecerdasan akal yang tinggi untuk memahaminya?!!. Malangnya kemasukan pengaruh Yunan ke dalam pemikiran sebahagian umat Islam telah menyebabkan mereka menjadikan ilmu kalam sebagai akidah dan meminggirkan persoalan-persoalan asasi dalam akidah Islamiyyah. Kata Dr Yusuf al-Qaradawi: ''Tambahan pula, perbahasan ilmu kalam, sekalipun mendalam dan kepenatan akal untuk memahami dan menguasainya, ia bukannya akidah...Lebih daripada itu perbahasan ilmu kalam telah terpengaruh dengan pemikiran Yunan dan cara Yunan dalam menyelesaikan masalah akidah. Justeru itu imam-imam salaf mengutuk ilmu kalam dan ahlinya serta berkeras terhadap mereka''. (Al-Qaradawi, Thaqafat al-Dai'iyat, m.s. 92 Beirut: Muassasah al-Risalat (1991)
Kemuncak dan tujuan daripada perbahasan tauhid ilmu kalam ialah untuk membuktikan keesaan Allah dan tiada sekutu baginya. Mereka menyangka ini yang dimaksudkan dengan tuntutan La ilah illa Allah. (Lihat: Dr Sulaiman al-Asyqar, Al-akidat fi Allah m.s 32-33. Kuwait : Maktabat al-Falah (1984) Sedangkan akidah La ila illa Allah bukan sekadar percaya Allah itu wujud dan bersifat dengan sifat-sifatNya yang sempurna. Bahkan La ilah illa Allah adalah seruan untuk mengabdikan diri kepada Allah. Hukum-hakam syarak dibina di atas tuntutan ini.
Dengan hilangnya teras La ilah illa Allah maka penyampaian hukum-hakam syarak menjadi hambar dan hilang kekuatan terasnya.
ii. Ancaman Bid'ah Dalam Amalan Syariah Kemasukan fahaman-fahaman karut yang dianggap agama telah melemah dan merosakkan wajah Islam yang tulen. Amalan-amalan bid'ah telah menghilangkan fokus umat terhadap pembangunan minda dan kefahaman yang jitu. Kata Abu al-Hasan 'Ali al-Nadwi: ''Halangan-halangan syirik, kejahilan dan kesesatan hampir menutupi tauhid Islam yang bersih. Maka masuk ke dalam sistem agama bid'ah-bid'ah yang mengambil tempat yang luas dalam kehidupan muslimin dan ia memalingkan mereka dari agama yang sahih dan kehidupan dunia. Sedangkan keistimewaan dan kelebihan muslimin dibandingkan umat-umat yang di dunia ini hanyalah disebabkan agama ini, yang dibawa oleh Muhammad s.a.w. Keistimewaan dan mukjizat agama ini pula ialah pada kesahihan dan keasliannya. Ia menjadi istimewa kerana ia wahyu Allah dan syariatNya. Yang mencipta peraturannya (agama ini) ialah Tuhan Tidak Dapat Dicabar, dan yang membuat syariatnya ialah Tuhan Yang Maha Bijaksana ''Diturunkan dari Yang Maha Bijaksana Lagi Terpuji''(Fussilat: 42). Apabila akal, perbuatan dan hawa nafsu manusia masuk ke dalam agama ini, maka tiada lagi kelebihannya ke atas agama-agama lain yang diselewengkan oleh pengikut agama-agama itu dan peraturan yang ditenun oleh tangan manusia, melainkan dengan kadar wahyu yang masih tinggal terpelihara padanya. Tidak lagi menjadi penjamin penjamin kebahgiaan dunia dan akhirat dan tidak lagi benar-benar menundukkan akal dan menarik manusia kepadanya''.( Abu al-Hasan al-Nadwi, Madha Khasira al-'Alam bi Inhitat al-Muslimin, m.s. 195, Kaherah: Maktabat al-Sunnat (1990)
iii. Golongan Agama Yang Lemah Dalam sejarah Islam, golongan agama adalah tonggak kepada kebangkitan umat. Islam yang syumul telah membentuk pemikiran para ulama agar kritis, maju dan membangun. Golongan ulama yang berkualiti ini terus wujud di sepanjang zaman. Namun jumlah dan penguasaan mereka berbeza dari satu zaman ke satu zaman. Jumlah para ulama yang berkualiti seperti yang disebut dalam hadith ini adalah kurang:
''Akan selalu membawa ilmu ini mereka yang adil dari para penyambung (dari setiap generasi); mereka menafikan (menentang) penyelewengan golongan yang melampaui batas, dakwaan bohong golongan yang batil dan takwilan golongan yang jahil'' (Hadith ini hasan. Para ulama berkhilaf pendapat mengenai kedudukan hadith ini. Sebahagian mereka mensahihkan, sebahagian mendhaifkannya. Ibn al-Qayyim dalam Miftah Dar al-Sa'adah menyatakan hadith ini thabit. Beliau menghimpunkan jalan-jalan periwayatan hadith. Beliau turut menyebut kata-kata al-Imam Ahmad: ''Ia hadith sahih'' (lihat: Ibn Qayyim al-Jauziyyah, Miftah Dar al-Sa'adah, m.s 227-229, Saudi: Dar Ibn Hazm). ‘Ali Hasan al-Halabi menilai hadith ini sebagai hasan disebabkan jalan periwayatan yang banyak. (Sadiq Hasan Khan, Al-Hittah fi Dhikr al-Sihah al-Sittah, tahqiq: 'Ali Hasan al-Halabi, Beirut: Dar al-Khail). Demikian Salim bin ‘Id al-Hilali menyatakan hadith ini hasan. Bahkan beliau menulis buku khas menerangkan kesabitan hadith tersebut (lihat: Salim bin 'Id al-Hilali, Limadha Akhtartu al-Manhaj al-Salafi, m.s. 63 Saudi: Dar Ibn al-Qayyim (2000)
Walaupun wujud, tetapi tidak ramai. Mungkin juga banyak ulama seperti itu, dan pengikut mereka juga ramai, namun secara nisbah jumlah umat yang wujud, mereka masih dianggap kecil.
Kata Muhammad Qutb ketika membincangkan tentang kemunduran ilmu, tamadun, ekonomi pemikiran dan budaya di Dunia Islam: ''Dari sudut yang lain, dijumudkan ilmu-ilmu syarak dalam bentuk yang dipelajari sebelum lima kurun lalu - sekurang-kurangnya. Ditambah dengan masuk ke dalamnya serangan pemikiran Greek dari ilmu kalam yang tidak berguna dan bermanfaat. Lebih dari itu ilmu kalam telah menukarkan pengajian akidah kepada perkara-perkara yang menyusahkan minda lagi tidak berguna dan memayahkan. Mengubah akidah dari inti kandungan yang hidup kepada isu-isu falsafah yang membawa kepada pertengkaran tanpa sebarangan natijah dan tujuan. Lebih daripada itu pelajar-pelajar agama telah bertukar menjadi para penghafal bukan pemikir. Seseorang pelajar kelihatan berilmu hanya dengan kadar apa yang dia hafal daripada teks, syarah dan nota kaki. Namun dia tidak dapat berfikir untuk dirinya dan tidak juga dapat berfikir secara sendiri. Maka para ulama kehilangan keaslian ilmu, jadilah mereka itu golongan taklid yang hanya memetik dari orang lain. Bahkan ditambah lagi keburukan ketiga, iaitu taksub mazhab yang mengenai keseluruhan para pelajar. Setiap orang taksub dengan mazhab yang dia membesar di dalamnya. Dia menjadikan kemuncak jihadnya untuk agamanya, semata-mata untuk membuktikan mazhab dan syeikhnya melebihi mazhab dan syeikh orang lain...''( Muhammad Qutb, Waqi'una al-Mu'asir, m.s. 176.)
Golongan agama dikuasai oleh golongan yang lemah kemampuannya. Singkat pula penguasaannya terhadap nas-nas agama dan pengetahuan semasa. Golongan yang mempelajari agama bukan lagi terpilih. Sehingga orang melayu umpamanya, menganggap mana-mana anak yang kurang kemampuan akademik, dihantar ke pengajian agama atau pondok. Akhirnya lahirlah golongan ustaz dan tok guru yang lemah kekuatan minda dan analisanya.
Serentak dengan kekuatan kebendaan yang muncul di Barat, kekuatan institusi agama pula bertambah lemah. Pengajian agama dibentuk dengan begitu sempit dengan nilai-nilai taksub mazhab, lalu mereka membela mazhab melebihi dari membela Islam. Di samping mereka pula terpencil dari dunia akibat diracun pemikiran kesufian yang melampau dan terbabas, memusuhi perkara-perkara baru yang mereka jahil mengenainya. Ini seiras dengan tindakan gereja yang membawa kebangkitan Revolusi Industri atau Revolusi Perancis.
iv. Cenderung Kepada Fiqh Yang Memayahkan (Ta'sir) Golongan agama yang lemah inilah yang membesarkan fatwa' pintu ijtihad telah tertutup' lalu mengharamkan segala pandangan baru, hanya kerana mereka jahil mengenainya. Bukan kerana ia bercanggah dengan agama. Golongan agama ini mengasingkan diri dari pentas pengetahuan moden. Mereka kelihatan kolot dan tidak mahu mengambil tahu dunia sekitar. Fatwa-fatwa agama lebih condong kepada pengharaman, sedangkan dalam agama asal sesuatu perkara bersifat mu’amalah adalah harus. Mereka pula menjadikan asal apa yang mereka tidak faham dan tidak tahu adalah haram. Hukum-hakam menjadi sempit. Perbincangan fekah yang diperdengarkan untuk generasi moden seakan untuk manusia pada 1000 atau 500 tahun yang lalu, agar senada dengan teks mazhab tanpa meraikan perkara-perkara yang berlaku dalam fekah. Mereka seakan manusia yang kehilangan kerja, lalu membahaskan masalah mudah menjadi payah. Soal wuduk sahaja disyarah hampir berbulan dengan andaian-andaian yang bukan-bukan. Sedangkan pendengar perlu berwuduk segera, lima kali sehari. Contoh yang lain ialah soal niat yang begitu mudah. Setiap amalan itu dengan niat. Namun ia dibahaskan dengan begitu payah. Diletakkan syarat-syarat yang bukan memudahkan, sebaliknya memayahkan. Persoalan bagaimana hendak melafazkan niatkan sahaja telah mengambil masa umat begitu lama dan berkesudahan dengan bertambah sukar dan was-was dalam solatnya.
Kata Ibn Taimiyyah (meninggal 728H):(Bahkan melafazkan niat itu adalah cacat pada akal dan agama. Adapun pada agama kerana ia adalah bid'ah . Adapun pada akal, kerana ia seperti orang yang hendak makan sesuatu makanan lalu berkata: ''Aku berniat meletakkan tanganku pada bekas ini kerana aku hendak mengambil satu suap darinya, lalu aku letakkannya dalam mulutku, lalu aku kunyah kemudian aku menelannya supaya aku kenyang''. Sama seperti orang yang menyebut: ''Aku niat bersolat fardu ini pada masuk waktunya, empat rakaat dalam jamaah, tunai kerana Allah''. Ini semua adalah bodoh dan jahil. Ini kerana niat adalah kesampaian pengetahuan. Apabila seseorang hamba Allah tahu apa yang sedang dia buat, maka dengan sendirinya dia telah berniat perkara itu. Tidak terbayang dengan wujud pengetahuan dalam akalnya, untuk dia melakukan tanpa niat. Tidak mungkin pula tanpa pengetahuan, terhasilnya niat. Telah sepakat para imam yang empat bahawa menguatkan suara dalam berniat dan mengulanginya tidak disyariatkan. Bahkan sesiapa yang terbiasa dengan itu hendaklah diberi hukuman (untuk mengajarnya) bagi menghalangnya melakukan ibadah secara bid'ah dan mengganggu orang ramai dengan mengangkat suara.( Ibn Taimiyyah, Al-Fatawa al-Kubra, 2/ 95. Beirut: Dar al-Kutub al-'Ilmiyyat (1987) Kata Dr Yusuf al-Qaradawi: (Niat ini adalah amalan hati semata. Bukan amalan lidah. Tidak diketahui daripada Nabi s.a.w., tidak juga dari para sahabah dan para tabi’in yang mengikut mereka dengan baik -yang merupakan salaf umat ini- sebarang lafaz bagi niat ibadat, seperti solat, puasa, mandi, berwuduk dan seumpamanya, apa yang kita lihat sebahagian manusia bersungguh-sungguh melakukannya, seperti mereka menyebut: Aku berniat mengangkat hadas kecil, atau besar, atau solat zohor, atau asar empat rakaat kerana Allah Yang Maha Besar, atau aku berniat puasa esok hari pada bulan ramadan dan sebagainya. Ini semua tidak dibawa (diajar) oleh sebarang ayat al-Quran atau Sunnah. Tidak ada faedah baginya, di mana seorang insan tidak akan berkata ketika hendak ke pasar: aku niat hendak ke pasar. Atau ketika dia hendak bermusafir: Aku niat bermusafir. Al-Zarkasyi dalam fatwa-fatwanya memetik perkataan al-Ghazali: ''Urusan niat dalam ibadah itu, namun apa yang menyusahkan ialah disebabkan kejahilan dengan hakikat niat atau (disebabkan) was-was''. (http//:qaradawi.net)
Mereka lupa sifat agama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. seperti yang dinyatakan oleh al-Quran: Firman Allah: (maksudnya): Mereka yang mengikut Rasulullah (Muhammad s.a.w) Nabi yang Ummi, yang mereka dapati tertulis (namanya dan sifat-sifatnya) di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka. Dia menyuruh mereka dengan perkara-perkara yang baik, dan melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang keji; dan dia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk; dan ia juga menghapuskan dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada pada mereka. Maka orang-orang yang beriman kepadanya, dan memuliakannya, juga menolongnya, serta mengikut nur (cahaya) yang diturunkan kepadanya (Al-Quran), mereka itulah orang-orang yang berjaya. (Surah al-‘Araf: 157)
Firman Allah: (maksudnya) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. (Surah al-Baqarah: 185)
Firman Allah: (maksudnya) Allah (sentiasa) hendak meringankan (beban hukumnya) daripada kamu, kerana manusia itu dijadikan berkeadaan lemah. (Surah al-Nisa: 28)
v.Taqlid Hukum Tanpa Kajian Sikap taksub mazhab fekah begitu kuat, sehingga mereka enggan melihat pandangan-pandang luar mazhab mereka yang mungkin lebih kukuh dan bermanfaat. Kelompok agama jenis ini hanya berusaha agar pengikutnya tidak keluar, sekalipun terpaksa menolak dalil yang sahih. Kata Dr. Yusuf al-Qaradawi: ''Golongan yang taksub ini tidak membolehkan sesiapa yang mengikut sesuatu mazhab keluar daripadanya, sekalipun dalam beberapa masalah yang jelas kepada pengikut mazhab bahawa dalil mazhabnya lemah. Sehingga mereka menyifatkan sesiapa yang keluar mazhab sebagai tidak berpendirian. Perbuatan ini sebenarnya mewajibkan apa yang tidak diwajibkan oleh Allah SWT. Seakan-akan mereka menganggap imam-imam mazhab mempunyai kuasa membuat syari'at dan perkataan mereka adalah hujah syarak yang dipegang dan tidak boleh dibangkang. Ini sebenarnya menyanggahi tunjuk ajar imam-imam mazhab itu sendiri, kerana sesungguhnya mereka telah melarang orang ramai bertaklid kepada mereka atau selain mereka. Ini juga menyanggahi apa yang dipegang oleh golongan salaf umat ini iaitu para sahabah dan mereka yang selepas sahabah sepanjang kurun-kurun yang awal yang merupakan sebaik-baik kurun dan yang paling dekat kepada petunjuk Nabi. Justeru itu, para ulama besar umat ini dan para muhaqqiqnya membantah sikap melampau di dalam taklid mazhab yang menyamai apa yang dilakukan oleh ahli kitab yang mengambil paderi dan pendita mereka sebagai tuhan-tuhan selain Allah''.( Dr. Yusuf al-Qaradawi, Al-Sahwat al-Islamiyyat bain al-Ikhtilaf al-Masyru’ wa al-Tafarruq al-Madhmum, m.s 202,Kaherah: Dar al-Sahwat (1991)
iv. Fokus Hukum Yang Sempit Selain dari kesempitan pemikiran, fiqh yang menyusahkan, taqlid tanpa kajian ditambah pula dengan fokus fiqh yang amat terbatas. Pengajian hukum hanya tertumpu kepada persoalan perukunan. Hukum-hakam syarak hanya digambar berkisar mengenai taharah, haid dan nifas, solat, puasa, zakat dan haji. Akhirnya Umat Islam mulai jahil tentang kesyumulan sistem Islam yang menyeluruh.
Persoalan Hasilnya, negara-negara Islam kelihatan begitu miskin dan lemah. Kotor, tidak berperaturan, rasuah, mundur dan diperbodohkan. Padahal umat Islam memiliki bumi yang subur dan kedudukan yang stratigik. Kata Dr. Yusuf al-Qaradawi: ''Kekuatan ekonomi kita terbengkalai. Kita hidup di bumi Allah yang paling strategik, paling baik dan subur. Bumi yang paling banyak galian yang tersimpan dalam perutnya dan kekayaan yang bertebaran di atasnya. Malangnya kita tidak menggerakkan kekayaan kita, tidak bertani di bumi kita, tidak menghasilkan keluaran dari galian sedangkan bahan mentahnya dikeluarkan dari bumi kita...jadilah kita dalam banyak keadaan pengguna bukan pengeluar, pengimpot bukan pengilang. Kadang kala kita menghasilkan produk yang kita tidak memerlukannya dan kita abai menghasilkan barangan yang sangat kita perlukan. Kita berbangga dengan memiliki kereta–kereta mewah antarabangsa, sedang kita tidak tahu untuk membuat basikal sekalipun''. (Dr. Yusuf al-Qaradawi, Ain al-Khalal, m.s.12-13, Beirut: Muassasat al-Risalat (2001) Abu Hasan 'Ali al-Nadwi r.h. pernah mengkritik dunia Arab dalam tulisannya dengan menyatakan: ''Mestilah bagi dunia Arab sebagai dunia Islam bebas (memiliki sendiri) dalam perniagaan, harta, industri dan pendidikan. Bangsa mereka tidak boleh memakai melainkan apa yang tumbuh di buminya dan ditenun dengan tangannya...sesungguhnya dunia Arab tidak dapat dapat memerangi Barat- jika keadaan memerlukan demikian selagi meraka memerlukan Barat dalam soal harta, pakaian dan barangan. Tidak ada pena yang digunakan untuk menandatangani sesuatu perjanjian dengan Barat, melainkan pena tersebut dibuat di Barat. Tidak ada senjata yang digunakan untuk memerangi Barat, melainkan senjata itu dibuat di Barat. Sesungguhnya adalah memalukan apabila umat Arab tidak dapat mengambil manfaat daripada sumber kekayaan dan kekuatan mereka sendiri. Adalah memalukan apabila air kehidupan yang mengalir di dalam urat mereka akhirnya sampai ke tubuh orang lain''.( Abu al-Hasan al-Nadwi, Madha Khasira al-'Alam bi Inhitat al-Muslimin... m.s. 416)
Apa tidak, ruh kekuatan negara telah dihilangkan. Mereka tidak menjadikan Islam sebagai ruh dan urat saraf. Jadilah mereka bagaikan insan kegelapan kehilangan cahaya. Pun jika dia mempunyai akal, dia dapat berfikir, bergerak dan meraba bagi mendapatkan semula lampunya semulanya. Malangnya dia bodoh lalu dia merasakan aman tanpa cahaya kerana dia tidak lagi takut kepada bahaya di hadapannya disebabkan dia tidak nampak. Akhirnya dia jatuh ke dalam kemusnahan. Jika dia jatuh bersendirian tidak mengapa, itu adalah hasil kebodohannya, namun yang menjadi masalah apabila rakyatnya turut menjadi mangsa.
Hasil dari para pemerintah yang tidak bertanggungjawab dan kontang akal, negara-negara umat Islam berwajah dengan wajah kemunduran. Samada senjata, pengangkutan, bahkan makanan, kita terpaksa meminta sedekah, atau membeli dari orang lain. Pemerintah dan raja negara-negara umat Islam kelihatan mewah dengan hasil mahsul yang dijual atau disamun oleh Barat. Negara terus berada dalam kemunduran teknologi dan minda. Rakyat pula ramai yang miskin, buta huruf, dan tidak terurus.
Lemahnya pemikiran golongan agama lemahlah agama....Faktor-faktor di atas antara pemangkin mengapa agama dipandang rendah. Faktor-faktor ini mesti dihapuskan. Ruh kekuatan agama mesti dikembalikan. Kita menyeru kepada keluasan pemikiran dan pendekatan yang memampukan kita menghadapi cabaran zaman. Kesemua ini dengan syarat tidak membelakangkan al-Quran dan al-Sunnah. |
posted by jasindaily online @ 7:31 AM |
|
|
|
DPPKJASIN |
Name: jasindaily online
Home: Jasin, Melaka, Malaysia
About Me: Di bangunkan pada bulan April 2005
See my complete profile
|
CORETAN YANG LALU |
|
ARKIB JASNIDAILY |
|
POWERED BY |
|
|