DEMI MASA |
|
|
Mimpi perjuangan terus bersemarak walau tubuh terpenjara |
Sunday, April 23, 2006 |
Semasa saya dalam 'mode' dan 'gear' untuk mendedahkan pembohongan kerajaan Umno-BN dan SB-SB yang menyoal siasat saya, saya dapat rasanya getaran dan gelombang yang amat tinggi pada jasad fizikal saya. Pada ketika itu dengan menggunakan kuasa minda saya, saya dapat mengarahkan tasbih yang saya pegang di tangan kanan saya untuk berpusing-pusing dalam bulatan di atas tapak tangan kiri saya.
Lebih kuat saya arahkan tasbih tersebut berpusing, semakin laju ia berpusing. Sebaik sahaja saya arahkan ia berhenti, tasbih itu akan berhenti. Bukanlah saya seorang jedi dalam filem Star Wars, tetapi apa yang berlaku itu memang dapat dijelaskan secara saintifik mahupun secara spiritual.
Tanpa berada dalam penjara pun saya percaya seseorang itu boleh melakukan apa yang telah saya lakukan. Cubalah! Hanya bezanya, mungkin tahap kepekaan dan kekuatannya lebih tinggi bagi mereka yang berazam menentang kezaliman semasa dalam penjara!! Malam-malam di Kem Kamunting saya tidur penuh dengan mimpi yang indah. Mimpi-mimpi perjuangan!
Semua mimpi tersebut saya catatkan dalam buku nota. Semasa saya meninggalkan Kem Kamunting, saya membawa keluar bersama saya lima buah buku catatan mimpi-mimpi saya sepanjang berada di sana.
Setiap hari di Kem Kamunting saya menamatkan satu hingga dua juzu tilawah Al-Quran. Setiap malam sebelum tidur, saya pastikan yang saya sudah membaca surah-surah Ya Sin, Al-Mulk, Al-Waqi'ah. As-Sajdah dan Ad-Dukhan. Saya akan tambah dengan membaca Surah Al-Kahfi setiap malam Jumaat. Selepas membaca doa tidur saya akan mengenang kisah Nabi Yusuf seperti yang terkandung dalam Surah Yusuf dan berharap Allah memberi isyarat-isyarat kemenangan bagi saya ke atas golongan yang zalim.
Mimpi-mimpi saya sepanjang di Kem Kamunting memberi kesegaran kepada jiwa saya. Ia menyuntik kekuatan kepada saya. Tarbiyyah yang telah saya lalui mengajar saya mimpi soleh itu adalah satu dari empat puluh enam bahagian daripada nubuwwah!
Surah Yusuf memperihalkan mimpi Nabi Yaaqub, mimpi raja dan mimpi dua orang banduan dalam penjara.
Setiap mimpi ada maqamnya menurut kedudukan dan kemuliaan orang yang bermimpi. Saya turut memohon kepada Allah memberi isyarat-isyarat kepada saya bagi kemenangan Islam dan kebenaran di atas kebatilan dan pembohongan.
Saya menanti-nanti isyarat daripada Allah dalam mimpi saya agar satu hari nanti akan runtuhnya kerajaan Umno-BN hasil perjuangan rakyat menegakkan Islam dan kebenaran. Harinya pasti tiba, bi iznillah!
Bila saya mula menulis dan mendedahkan pembohongan Umno-BN, saya merasakan perkara itu satu kesempatan yang amat berharga. Bahkan ia lebih berharga daripada kesempatan untuk mempercepatkan pembebasan diri saya sendiri.
Gelombang daya ingatan saya tiba-tiba melonjak. Saya tidak tahu bagaimana semua yang telah saya serap sepanjang tempoh soal-siasat, satu persatu boleh muncul secara terperinci dalam ingatan saya. Ingatan itu terus mengalir melalui pena untuk dituliskan ke atas kertas! Pada peringkat itu, empat belas hingga enam belas jam dalam sehari saya mampu menulis. Itu pun hanya dengan menggunakan pena! Tidak pernah saya menulis sebanyak itu tanpa menggunakan komputer.
Satu persatu pembohongan kerajaan Umno-BN, Ketua Pengarah SB, Dato' Yusuf Abdul Rahman dan SB-SB yang menyoal siasat saya muncul dalam ingatan saya.
Pada satu hari sebuah buku kecil berwarna hitam diterima oleh Ezam dalam lawatan keluarganya ke Kem Kamunting. Saya terus meminjam dan membacanya.
Masya' Allah, getaran gelombang yang sama!
Pada ketika saya menulis di Kem Kamunting, ada seorang pejuang rakyat yang saya tidak kenali juga mempunyai perasaan yang sama seperti saya. Bezanya beliau menulis puisi yang indah.
Puisi itu berjodol "Bertanya Sarjan Pada Kopral". Penulisnya hanya dicatat sebagai Sarjan Tua.
Bahagian kemuncak puisi tersebut berbunyi:
........ Tapi kini Kopral apa rakyat menggelar kita? apa rakyat panggil kita? aku bagai tak percaya Anjing-anjing layaknya kita Israel dibangsakan kita Bab-babi diumpamakan kita Setan dinisbahkan perangai kita Polis Mossad diserupakan kita Polis Savak disamakan kita Yahudi dikatakan keturunan kita tak terasakah hinanya kita bila... Polis SB orang bilang Siput Babi si Laknat Polis FRU orang kata Kepala Merah Hati Batu Polis PPH disebut Pasukan Polis Hantu Polis Trafik adalah sikit baik Walaupun mereka kata Pacak Ifrit.
Kau tahu Kopral? ketika anakmu di sekolah dia diejek teman sedarjah dia dipandang endah tak endah kerana teman sekolahnya semua marah setelah heboh satu sekolah cerita polis membelasah hatta wanita tua yang tak bersalah dipukul jua cucunya sampai berdarah-darah ketika pulang dari membeli belah ketika melintasi Jalan TAR yang dah basah.
Cota dan rotan tiba-tiba singgah di kepala, di badan dan terus rebah bukan kerana merusuh atau buat salah tapi Polis dah borong semua salah itulah cerita yang tersebar di seluruh lembah bumi Kuala Lumpur digenangi darah rakyat lemah yang enggan menyerah kepada kezaliman pemerintah meskipun hadapi polis yang serba salah kau tahu.... kawan-kawannya menjuih mulut padanya mereka membisik sesama menghina dirinya mereka menjauhi bila dia didekati mereka kerana mereka tahu secara nyata bapa kepada anakmu itu atau kawan kepada bapa anakmu itu terlibat memukul ibu bapa rakannya sehingga seminggu berdarahnya sehingga terganggu pendapatannya.
Kau tahu Kopral? bila isterimu ke tempat kerja temannya menyendiri tak mau bicara bila didekati mereka tiada bersuara mereka mengesyaki sesuatu darinya kerana mereka menyangka isteri polis mana-mana jua tak dapat menyimpan rahsia takut keluarga mereka teraniaya selepas diketahui apa-apa cerita.
Tak sakit jiwakah anak kita tak menderitakah isteri kita tak terasa malukah diri kita sampai bila hidup begini kita menjadi asing di dalam keluarga?
Patutkah Kopral? kita terus hidup bermuslihat bersubahat dengan pemerintah jahat disuruh berkasar umpama penjahat meskipun ada polis tali barut yang tiada hati perut bekerja jadi pak turut semata bermatlamat mengisi perut adakah patut? rambut wanita ditarik-tarik wanita mengandung ditolak diterajang muka yang licin disiku ditampar kepala bertopi dipukul cota orang berjalan disimbah asid orang bersolat dilempar gas orang makan disergah, disuruh pindah kereta parking diketuk cerminnya yang berlari dikejarnya yang berjalan dihalaunya yang duduk dipijaknya?
Apa bukan orangkah kau Kopral? beginikah cara kita mencari makan? meminta ganjaran upah membelasah?
Kau tahu Kopral? bapamu di kampung kepalang malu ke surau tiada lagi dia mahu kenduri jiran pun berat selalu kalau mati pun mungkin tiada siapa tahu.
Kau tahu Kopral? wang yang kau bawa pulang untuk susu anakmu untuk roti isterimu untuk nasi keluargamu malah ada belanja haji bapamu, wang itu Kopral.... adalah upah memukul kepala ibu saudaramu yang tak berdosa adalah upah menitiskan darah anak muda yang mencari benar adalah upah memusnahkan harta insan-insan lemah yang takut bersuara adalah upah menghenyak pak tua yang bertongkat berpapah adalah upah memedihkan mata mereka yang selama ini terseksa.
Wang itu Kopral... adalah upah dari seorang memanda dari seorang mamak bendahara dari seorang maharaja dari seorang dewa yang ingin menjaga hartanya yang ingin mempertahan singgahsananya yang ingin menyusui wanitanya yang ingin menyelamatkan cucunya tergamak kamu mengambil upah darinya tergamak kau menelan nasi yang diberinya! Kau tahu Kopral? tak akan senang hidupmu kalau rakyat membenci dirimu tak akan sejahtera hidupmu kalau rakyat pandang serong padamu tak akan bahagia masa tuamu kalau kau sendiri memusuhi rakyatmu tak akan selamat rohmu nanti kalau rakyat berdoa sepenuh hati minta dibinasakan mereka yang membenci membenci perjuangan yang murni. kerana Allah berjanji doa yang dizalimi tiada hijab lagi antara Yang Esa dan yang mohon simpati pasti termakbul segala yang dihajati amat benar janji Ilahi
*Kampung Melayu Kepong - Depok
Puisi ini terkandung dalam koleksi antologi puisi "Dari Derita Bangsa" yang diselenggerakan oleh Osman Awang dan Dino S.S.
Semasa saya membaca puisi ini, Osman Awang atau Tongkat Warrant sudah pun tiada di dunia ini. Dia telah meninggalkan kita buat selama-lamanya. Dulu Osman Awang bangga dengan tugasnya sebagai sebagai seorang polis pegawai warrant kelas satu. Beliau ke sana sini mengepit sebatang tongkat. Lantas, sebagai seorang penulis Osman Awang memilih nama pena, Tongkat Warrant!
Tetapi....
Semasa saya dalam Kem Kamunting saya ada membaca keluhan hati Osman Awang yang anehnya telah disiarkan dalam sebuah akhbar kerajaan Umno-BN. Ruangan tersebut sebagai mengenang pemergiannya.
Tongkat Warrant malu dan kecewa dengan pasukan polis yang ada pada detik-detik beliau menghembus nafasnya yang terakhir.
Saya rasa Sarjan Tua yang menulis puisi di atas adalah Tongkat Warrant sendiri. Ya, besar kemungkinan Sarjan Tua adalah Osman Awang, Sasterawan Negara dan Seniman Agung yang disayangi.
Saya kemukakan puisi di atas kepada Lembaga Penasihat Kem Kamunting dalam representasi saya. Saya percaya mereka baca puisi ini. Mereka mungkin bersetuju dengan Osman Awang perihal betapa hapraknya polis sekarang!.
Mengenang hebatnya persamaan getaran hati antara saya di Kem Kamunting dengan Sarjan Tua, maka saya muatkan seluruh puisi yang panjang itu dalam buku saya yang ketiga, Suara Dari Kamunting 3.
Bagi merakamkan ucapan terima kasih saya kepada penyelenggara buku antologi puisi tersebut, saya meminta anak saya, Anfal untuk menghubungi Dino S.S melalui nombor telefon yang tercatat di kulit buku tersebut.
Ternyata nombor dan alamat yang tercatat dalam buku tersebut hanya nombor dan alamat samaran dan palsu.
Demikianlah hebatnya, negaraku Malaysia, hinggakan untuk menulis puisi kebenaran pun seorang seniman agung terpaksa menyembunyikan identiti dan lokasinya.
Apa yang pasti, jika tidak.... para SB-SB yang b**g**t itu akan datang menyerang dan menggeledah lokasi tersebut!
|
posted by jasindaily online @ 10:06 PM |
|
|
|
DPPKJASIN |
Name: jasindaily online
Home: Jasin, Melaka, Malaysia
About Me: Di bangunkan pada bulan April 2005
See my complete profile
|
CORETAN YANG LALU |
|
ARKIB JASNIDAILY |
|
POWERED BY |
|
|