Scroll images by bigoo.ws

DEMI MASA

Demi masa. Sesungguhnya manusia benar-benar berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.

LAJNAH DPPKJ
KENALI PAS
Kegemilangan kota Baghdad tinggal kenangan
Thursday, April 27, 2006
BAGHDAD kini kalut dengan pergolakan politik. Serta-merta popularitinya menjunam menjadi medan pertempuran antara negara kuasa besar dunia yang ingin 'menakluk' kota kemegahan tamadun Islam suatu waktu dulu. Tanah tandus yang melatari pemandangan 'indah' di Baghdad dan tangis hiba rakyatnya yang menderita akibat peperangan adalah sejarah yang wajar diingati sampai bila-bila.

Bagi pengkaji sejarah ketamadunan Islam, mereka tentu sedar bahawa Baghdad adalah pusat perdagangan dan penyebaran agama Islam terulung dan bertahan selama beratus tahun sebelum ia musnah. Pada abad ke-21, serangan bertubi-tubi yang diketuai Amerika Syarikat (AS) dan Britain pada Mac 2003 ekoran dakwaan bahawa Iraq memiliki senjata pemusnah. Namun, dakwaan itu hanya helah AS dengan niat untuk menyerang Iraq.

Disebabkan peperangan, Baghdad kembali melonjakkan namanya di pentas dunia. Bukan simpati yang diundang tetapi catatan sejarah kota Baghdad yang turut terkenal sebagai pusat perkembangan ilmu perubatan Islam sejak 1,000 tahun lalu.

Bahan rujukan

Pada kurun ke-10, semangat dan keghairahan untuk mempelajari kaedah perubatan Greek muncul hingga menyebabkan kebanyakan bahan rujukan diterjemahkan ke bahasa Arab di Damsyik, Kaherah dan Baghdad. Pada masa itu, bahasa Arab telah diiktiraf sebagai bahasa perantaraan utama dalam bidang akademik dan hubungan diplomatik.

Pusat pengajian saintifik kemudiannya berubah arah ke timur dan Baghdad muncul kota pengajian dalam bidang sains. Dengan itu, orang Islam menjadi masyarakat yang menyumbang perubahan dalam ilmu sains. Perubatan Islam berkembang dengan pesat dan merupakan aspek utama dalam kecemerlangan tamadun Islam yang melahirkan pakar-pakar perubatan terkenal.

Pada 636M, Kota Parsi di Baghdad (turut dikenali sebagai Jundi-Shapur atau asalnya bermaksud taman yang indah) ditakluki dengan kehebatan universiti dan hospital berkonsepkan Islam. Kemudiannya, sekolah pengajian perubatan Islam berkembang. Para pensyarah serta pengajian klinikal pula berasaskan kepada sistem perintis. 'Ali Ibnul-'Abbas (Haly Abbas: 994M) pernah memberikan nasihat kepada para pelajar perubatan yang masih digunakan hingga ke hari ini. Nasihatnya berbunyi; ''Kewajipan seorang pelajar perubatan termasuklah hadir secara konsisten ke hospital dan rumah sakit, memberikan perhatian sepenuhnya kepada pensyarah dan sentiasa bertanya mengenai simptom yang ditunjukkan oleh pesakit, di mindanya sentiasa ada mengenai apa yang dibaca melalui buku dan menunjukkan sama ada ia baik atau buruk.''

Hanya Baghdad mempunyai sekolah khusus untuk pengajian sains daripada peringkat asas. Calon pelajar perubatan akan menerima persediaan asas daripada tutor persendirian melalui pensyarah ataupun belajar sendiri. Di Baghdad, subjek anatomi diajar dengan melakukan pembedahan terhadap mawas, rangka dan didaktik manakala di tempat lain, anatomi hanya diajar melalui kuliah dan ilustrasi.

Ilmu kimia merupakan antara pra-syarat masuk ke sekolah perubatan. Boleh dikatakan sesetengah hospital masih mengekalkan tanaman tumbuhan yang menjadi sumber ubat-ubatan kepada pesakit dan juga sebagai kaedah pengajaran bagi pelajar perubatan. Selepas menamatkan pengajian peringkat asas, calon akan diterima sebagai pelatih di hospital dan diserapkan ke dalam kumpulan yang besar untuk indoktrinasi, kuliah dan mengetahui prosedur penggunaan perpustakaan.

Kemudiannya, pelatih akan menjalani latihan klinikal. Pada peringkat ini, mereka akan dibimbing mengenai ilmu terapi dan patologi oleh pakar perubatan dalam kumpulan-kumpulan yang kecil. Mereka akan terdedah kepada banyak perkara terutama yang melibatkan diagnosis dan penilaian terhadap pesakit.

Kurikulum yang disusun berbeza di antara sekolah-sekolah perubatan. Bagaimanapun, surgeri menjadi salah satu mata pelajaran penting yang perlu dihadapi. Setelah menamatkan kursus, pelajar perubatan akan ditempatkan di bawah pakar perubatan terkenal agar mereka dapat meneruskan pengajian berdasarkan kepakaran masing-masing.

Pada 931M di Baghdad, Khalifah al-Muqtadir mendapat tahu bahawa punca kematian adalah disebabkan kesilapan doktor. Beliau kemudiannya mengarahkan Sinan Ibn Thabit Ibn Qurrah membuat pemeriksaan terhadap pengamal perubatan. Bermula sejak itu, undang-undang pemeriksaan menjadi satu keperluan di semua tempat.

Lembaga undang-undang yang dikenali sebagai Muhtasib atau pemeriksa am telah dibentuk di bawah kerajaan yang bertanggungjawab memeriksa berat dan ukuran yang dibawa oleh pedagang dan ahli farmasi. Ketika itu juga, ahli farmasi telah diberi tugas untuk memeriksa dadah dan mengekalkan kawalan kualiti terhadap penggunaan dadah dalam ubat-ubatan yang dijual di farmasi.

Pada hari ini, konsep yang dilakukan oleh Food and Drug Administration (FDA) di Amerika sebenarnya telah lama diamalkan dalam kaedah perubatan Islam. Selepas 1,000 tahun, pemberian lesen kepada pengamal perubatan telah dilaksanakan di barat terutamanya Amerika melalui State Licensing Board in Medicine.

Bagi pakar perubatan, mereka mempunyai American Board of Medical Specialties. Tidak ketinggalan, sekolah perubatan di Eropah turut mengaplikasikan konsep yang telah diamalkan sekolah perubatan Islam termasuklah salah satu syarat untuk menamatkan pengajian dengan cemerlang, mereka dikehendaki menghabiskan bacaan buku Kanun Fil Tibb karya Ibnu Sina.

Menurut cendekiawan Islam terkenal dalam bidang perubatan, Al-Razi, ahli perubatan perlu memenuhi dua syarat iaitu mengetahui perubatan tradisional dan moden serta menganggap bekerja di hospital seperti rumah sendiri.

Perkembangan hospital

Pembangunan hospital menandakan kecemerlangan sumbangan dalam perubatan Islam. Ia menawarkan perkhidmatan kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira warna kulit, agama, jantina atau status sosial. Pentadbiran hospital diletakkan di bawah kerajaan manakala pengarahnya terdiri daripada pakar perubatan.

Berlandaskan kepada konsep Islam, wad lelaki dan perempuan diasingkan. Para jururawat dan kakitangan hospital juga terlatih dan menjaga pesakit mengikut jantina. Penyakit-penyakit yang berbeza seperti demam, cedera, jangkitan, cirit birit dan sakit mental akan diasingkan antara satu sama lain. Antara perkhidmatan lain yang disediakan ialah bilik air kepada pesakit, asrama untuk pelatih perubatan, asrama pekerja dan farmasi yang membekalkan ubat-ubatan percuma kepada pesakit. Hanya ahli perubatan yang diiktiraf dibenarkan berkhidmat di hospital. Fungsi hospital juga sebagai 'universiti' kepada pelajar perubatan.

Selain memainkan peranannya sebagai rumah sakit, hospital juga bertindak sebagai perpustakaan. Menurut Haddad, perpustakaan Hospital Tulun yang diasaskan di Kaherah, Mesir pada 872M (kira-kira 1,100 tahun dahulu) mempunyai 100,000 koleksi bahan bacaan. Universiti, ibu kota dan hospital mendapat perpustakaan yang besar, misalnya Universiti Mustansiriyya, Baghdad menghimpunkan 80,000 buku, perpustakaan di Cordova (600,000), Kaherah (2 juta) dan Tripoli (3 juta). Dicatatkan, pakar-pakar perubatan turut mempunyai beratus koleksi buku peribadi dalam pelbagai genre. Pertama kali dalam sejarah, hospital-hospital tersebut menyimpan rekod pesakit dan penjagaan rawatan kesihatan yang diperlukan.

Dari segi perkhidmatan rawatan, pengurusan hospital mengasingkan antara pesakit luar dan pesakit yang memerlukan rawatan selanjutnya. Sistem ini masih berterusan hingga ke hari ini. Malah pesakit yang diterima masuk ke Hospital Tulun akan diberikan pakaian khas dan barang-barang milik mereka seperti pakaian, beg duit dan barangan berharga akan disimpan oleh pihak hospital sehinggalah mereka dibenarkan keluar. Lebih istimewa, mereka akan dibekalkan dengan lima keping duit emas untuk menyara hidup sebelum berupaya kembali bekerja.

Hospital dan sekolah perubatan di Damsyik mempunyai bilik dan perpustakaan yang elegan. Agak melucukan, apabila orang yang sihat juga berpura-pura sakit semata-mata untuk menikmati kehidupan yang tenang di hospital. Di Damsyik, terdapat hospital yang dikhaskan untuk pesakit kusta sedangkan di negara-negara Eropah, pesakit kusta yang teruk akan diperintahkan dibakar hingga mati.

Hospital Qayrawan yang dibina pada 830M di Tunisia, Afrika Utara dikenal pasti mempunyai wad yang luas, bilik solat, bilik menunggu untuk pelawat dan pesakit serta jururawat dari Sudan. Malah, hospital ini turut mencipta keistimewaan tersendiri apabila menggunakan sistem kejururawatan yang pertama kali dalam sejarah Arab.

Tidak ketinggalan, Hospital al-Adudi yang dibina pada 981M di Baghdad telah dilengkapi dengan peralatan terbaik dan pembekal yang amat dikenali pada masa tersebut. Ia mempunyai doktor pelatih, kawasan kediaman dan 24 konsultan yang menghadiri setiap aktiviti profesional.

Menteri Abbasid, 'Ali Ibn 'Isa meminta pakar perubatan istana, Sinan Ibn Thabit untuk menguruskan lawatan pegawai-pegawai perubatan ke penjara. Pada ketika kebanyakan kawasan di Paris dan London dipenuhi jalan berlumpur dan kediaman yang tidak sempurna, Baghdad, Kaherah dan Cordova mempunyai hospital yang mengagumkan dan diuruskan dengan sempurna. Ini membuktikan penjagaan kemanusiaan yang cemerlang dalam sejarah ketamadunan Islam. Di samping itu, binaan air pancutan yang menyediakan air sejuk dan pendekatan rawatan penuh mesra serta alunan muzik amat menenangkan pesakit.

Hospital juga terbahagi kepada dua jenis iaitu tetap dan bergerak. Hospital bergerak akan diangkut oleh binatang beban dan akan bergerak dari semasa ke semasa. Doktor yang terlibat dengan hospital bergerak adalah doktor yang turut berkhidmat di hospital tetap. Kebiasaannya, hospital bergerak memberi khidmat kepada tentera di medan perang.

Bekalan ubat-ubatan, peralatan, khemah, doktor dan jururawat juga mencukupi. Selain itu, hospital bergerak turut menawarkan bantuan kepada yang kurang upaya, serba kekurangan dan kawasan pedalaman. Ia juga amat berguna kepada banduan dan orang awam terutama ketika penularan wabak penyakit berjangkit.

Begitulah terciptanya sejarah dalam pengurusan hospital yang efisien. Ajaran Nabi Muhammad s.a.w. yang menggalakkan umatnya menuntut ilmu telah mengembangkan Islam sebagai Ad-Din dalam pelbagai rutin. Persoalannya, bilakah Baghdad mampu kembali menyemarakkan syiar Islam seperti mana yang berlaku semasa zaman kegemilangannya?
posted by jasindaily online @ 8:54 PM  
0 Comments:
Post a Comment
<< Home
 
DPPKJASIN

Name: jasindaily online
Home: Jasin, Melaka, Malaysia
About Me: Di bangunkan pada bulan April 2005
See my complete profile
CORETAN YANG LALU
ARKIB JASNIDAILY
POWERED BY

Free Blogger Templates

BLOGGER

© 2005 Info Template by Isnaini Dot Com