Scroll images by bigoo.ws

DEMI MASA

Demi masa. Sesungguhnya manusia benar-benar berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.

LAJNAH DPPKJ
KENALI PAS
Fenomena Seni belasah Yasmin Ahmad
Thursday, April 27, 2006
MALAM Ahad lalu, pengarah filem sensasi tanah air, Yasmin Ahmad 'dibelasah' lagi. Melalui program Fenomena Seni yang disiarkan di TV1 pukul 9.30 malam selama sejam, karya jujur Yasmin melalui dua filemnya, Sepet dan Gubra, dipertikaikan kewajarannya.

Tajuk Sepet dan Gubra Mencemar Budaya? diangkat sebagai topik Fenomena Seni yang dihoskan oleh aktor Rosyam Nor. Program itu mengupas kesan dua filem Yasmin itu kepada sosiobudaya masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Dalam program itu, Yasmin, 47, yang diberi gelaran pengarah generasi baru didakwa mencemarkan imej gadis Melayu dan pada masa sama tidak menghormati isu agama menerusi watak Orked lakonan Sharifah Amani dalam kedua-dua filem itu.

Program Fenomena Seni yang memasuki minggu ketiga itu berlangsung dengan agak panas melalui komen-komen peribadi ahli panel yang terdiri daripada pengkritik filem Akmal Abdullah, produser kontroversi Raja Azmi dan pengarah filem veteran, Hassan Mutalib.

Rosyam yang bertindak sebagai pengerusi pada malam itu dilihat cuba mengimbangkan keadaan agar perbincangan tidak condong kepada mana-mana ahli panel.

Akmal yang lantang menyuarakan pandangannya berkata, Yasmin tidak memahami budaya sosial Malaysia yang sebenar.

Didikan agama

Kata Akmal, Yasmin secara jelas menerap budaya songsang yang boleh mengelirukan pemikiran penonton dalam filem-filemnya.

''Kesan-kesan budaya yang dibawa Yasmin dapat dilihat pada watak Orked dalam Sepet.

''Orked sebagai perempuan Melayu digambarkan mempunyai didikan agama yang teguh tetapi dia hanya sesuai untuk seorang lelaki Cina penjual CD dan VCD haram yang boleh dikategorikan sebagai penjenayah,'' ujar Akmal.

Dalam perbincangannya, Akmal tidak menafikan Yasmin memiliki kreativiti yang tinggi apabila menghasilkan karyanya melalui filem iklan, tetapi mesejnya dalam filem cereka boleh dipersoalkan.

Raja Azmi pula menyifatkan mesej realiti muhibah di Malaysia yang diketengahkan oleh Yasmin sudah lama disedari penonton.

Menurut Raja Azmi, realiti kehidupan yang dibawa oleh Yasmin tidak berlaku di Malaysia. ''Ia semata-mata pengalaman yang dilalui oleh Yasmin,'' katanya.
Ertinya pengalaman pengarah filem itu bukan pengalaman majoriti rakyat Malaysia.

Bagi Hassan pula, Yasmin telah berjaya membuka minat penonton bukan Melayu untuk menonton filem-filemnya.

Karya Yasmin, kata Hassan, mengajak penonton untuk berfikir dan mempelajari sesuatu daripada kehidupan yang sebenar.

''Kita kena ingat filem-filem Yasmin itu memenuhi slogan FINAS iaitu 'Filem Kita Era Globalisasi','' kata Hassan yang dilihat cuba mempertahankan Yasmin.

Sementara itu, pengarah filem Adman Salleh yang dihubungi ketika program berlangsung memberitahu, dia cemburu dengan Yasmin yang telah berjaya melahirkan filem mengikut cetusan hatinya.

Kata Adman, filem-filem Yasmin dianggap berjaya dan hebat kerana ia terus diperkatakan oleh semua golongan masyarakat.

Produser filem David Teo yang turut dihubungi berkata, sebagai pembikin filem, Yasmin perlu bertanggungjawab terhadap filemnya. Menurut David, sesebuah filem itu bakal dijadikan warisan generasi akan datang.

Beliau menegaskan, Yasmin perlu menghormati isu-isu sensitif seperti agama dan budaya. Katanya, Yasmin perlu menjaga perasaan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Para penonton yang menghubungi program itu berkata, filem-filem Yasmin merupakan realiti sebenar yang harus diterima oleh masyarakat.

Menurut mereka, filem-filem yang dihasilkannya bermutu tetapi mungkin cara penyampaian Yasmin tidak sesuai dengan budaya masyarakat Malaysia.

Pada akhir program Fenomena Seni itu, diumumkan sebanyak 59 peratus penonton yang menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) bersetuju dengan tajuk program itu bahawa filem-filem Yasmin mencermarkan budaya Malaysia.

Bagaimanapun, ada pemerhati terkilan kerana Yasmin tidak diundang sama dalam program itu untuk mempertahankan filem-filemnya yang disifatkan membuka dimensi baru kepada industri filem tanah air.

Yasmin yang dihubungi Mega berkata, dia tidak mempunyai sebarang pandangan mengenai program yang diperdebatkan itu.

''Saya tidak ada komen,'' jawab Yasmin dalam nada ceria.

Kata pengarah kelahiran Muar, Johor itu, dia kini memikirkan perkara yang lebih penting dalam hidupnya seperti masalah ekonomi negara dan jerebu.
''Saya juga takut selesema burung sebab ada itik baru mati di belakang rumah saya,'' kata Yasmin bersahaja.

Yasmin memberitahu dia tidak menonton program itu kerana keluar makan malam bersama wakil Festival No Carlo dari Itali.

Ditanya sama ada dia dimaklumkan tentang program itu di TV1 RTM, Yasmin menjelaskan dia hanya mendengar dari mulut teman-teman.

''Tapi saya harap kutipan filem Gubra boleh naik sikit disebabkan program itu,''katanya sambil ketawa besar.
posted by jasindaily online @ 6:05 PM  
0 Comments:
Post a Comment
<< Home
 
DPPKJASIN

Name: jasindaily online
Home: Jasin, Melaka, Malaysia
About Me: Di bangunkan pada bulan April 2005
See my complete profile
CORETAN YANG LALU
ARKIB JASNIDAILY
POWERED BY

Free Blogger Templates

BLOGGER

© 2005 Info Template by Isnaini Dot Com