Tidak mudah Harakah dijemput ke majlis forum kebebasan media di universiti, justeru biarpun sebagai bidan terjun maka saya gagahi juga ke UPM, 30 Mac lalu, menemani penalis Uthman el-Muhammady, Safar Hashim dan Hasmi Hashim.
Kebimbangan saya bahawa isu karikatur Nabi akan memperkukuhkan hujah bahawa media perlu dikongkong memang berasas. Ada ahli panel yang asyik menekankan kebebasan media tidak mutlak, sambil melahirkan rasa syukur suasana Malaysia kekal aman kerana akhbarnya sentiasa ditertibkan.
Walhal ratib "kebebasan tidak mutlak" langsung tidak berjejak di negara ini. Akhbar kita tidak pernah bebas dan pengamal media tidak pernah menuntut kebebasan tanpa kawalan, apatah lagi tanpa disusuli rasa pertanggungjawaban.
Malah sebagai Muslim, kita terdidik untuk mematuhi pantang larang, haram halal. Yang dituntut adalah peraturan hitam putih yang jelas, penguatkuasaan tulus, bukan double-standard, sehingga membuatkan penerbit-wartawan bebas teraba-raba dalam belantara gelap. Permit boleh dicantas begitu saja, editor boleh dipanggil bila-bila masa oleh KDN untuk "dinasihati" (baca digertak, diarah).
Penutupan Sarawak Tribune, bagi saya, dilakukan oleh penguasa yang mahu mempamerkan wajah hodoh, kononnya, sebagai "wira agama", sedangkan keadilan disepakterajang sesuka hati. Lagi-lagi keangkuhan elitis politik yang berasa segalanya mahu dirujuk kepadanya. Namun saya lebih terkejut apabila ada penalis yang berhujah, media tidak boleh mendedahkan sisi hitam pemerintah kerana "kerajaan juga ada rasa malu dan kehormatannya mesti dipelihara". Saya cuba membayangkan apa dalam kotak fikiran siswa non-Muslim jika hujah tadi bersandarkan asas agama. Malam itu mereka hampir separuh daripada hadirin.
Polemik kebebasan media sebenarnya sudah basi. Ia sekadar rutin yang tidak diperhatikan sesiapa di luar dunia kewartawanan, dan gelapnya kian pekat. Lebih malang apabila teman-teman di syarikat akhbar ternama, juga profesor dan sarjana media, sentiasa mencari perspektif berbeza, untuk terus meratib bahawa "kita tidak perlu media bebas mutlak", sedangkan kita terus diinjak dan diperalatkan semahunya.
II. Memecah kongkongan KDN Apabila diminta mengendalikan Harakah akhir Februari lalu, saya segera membayangkan kemungkinan idealisme kewartawanan yang saya impikan akan berakhir. Sebagai organ parti, ada pihak mendakwa Harakah hanya memihak PAS dan membutakan mata terhadap kebenaran di luar sana.
"Elok-elok bebas dengan Siasah, mahu dikongkong Harakah pula," kata seorang teman, bekas editor kanan akhbar harian. Malah Azizi Hj Abdullah pun tidak setuju saya ke Harakah selepas saya maklumkannya melalui SMS.
Saya bersama Harakah, seminggu sebelum keluaran sulungnya diterbitkan hampir 20 tahun lalu. Terbukti pimpinan PAS memberi kepercayaan kepada sidang editor menentukan rentak dan tempo. Meskipun hanya sempat lima bulan menjadi Pengarang Kumpulan Harakah pada 1993, namun akhirnya saya berani merumuskan bahawa "bertempur" di luar Harakah lebih menyeksakan, dan kematian Detik, Wasilah, Cabaran adalah buktinya. KDN sentiasa mengintip dan memerhati darjah kecondongan tulisan kita.
Keperitan mengendalikan Siasah masih terasa bisanya, terutama untuk memuaskan kemahuan kerajaan. Di Harakah, ruang operasi nampak lebih luas, boleh bicara apa saja tentang kebobrokan pemerintah dan kerakusan elit penguasa, namun rangkaian pengedarannya cukup terbatas, ada kalanya lebih mudah membeli ganja daripada mencari Harakah!
Abdullah Badawi langsung tidak membantu, malah menambah serabut lagi masalah. Sejenak bersama Tan Sri Bashir Ismail misalnya, cukup memahamkan saya bahawa peminat Harakah sememangnya ramai, tetapi mereka tidak mudah mendapatkannya. Benar, tiada lagi berita rampasan KDN, soalnya budaya takut sudah mendarahdaging ke urat nadi rakyat, khususnya peniaga akhbar di tempat terbuka. Mereka tidak terlalu bodoh untuk sanggup menanggung risiko menjual Harakah.
Saya harap aktivis PAS dapat sama-sama menekuni fenomena ini, bagaimana caranya untuk menyebarluaskan Harakah, termasuk dengan kaedah kita melanggan untuk pihak lain. Mungkin RM5 sebulan tidak terlalu banyak untuk sebahagian kita mendermakannya bagi memastikan Harakah dapat diposkan kepada pihak tertentu yang semakin sukar memperolehinya di pasaran.
Sambil saya bersama teman-teman berusaha meningkatkan kualiti Harakah, harapnya ada pihak lain yang juga serius memecahkan sekatan KDN yang menyudutkan akhbar ini ke penjuru kelam. Kami cuba menjadikan Harakah akhbar alternatif untuk semua, bukan lagi lidah rasmi parti semata-mata dan anda boleh melihatnya nanti, insya-Allah, sambil mengharap (tak habis-habis mengharap!) KDN lebih memahami.
|