Scroll images by bigoo.ws

DEMI MASA

Demi masa. Sesungguhnya manusia benar-benar berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.

LAJNAH DPPKJ
KENALI PAS
EKONOMI PAK BELALANG
Thursday, December 07, 2006
SEJAK dua dekad lalu, ketika ekonomi Asia dikatakan sebagai "miracle". Malaysia berada dalam posisi yang memberi saingan sengit kepada kebanyakan negara yang kini menjadi antara kuasa ekonomi Asia. Pertumbuhan ekonomi, pelaburan langsung asing (Foreign Direct Investment: FDI) dan keluaran dalam negara kasar (KDNK) meningkat dengan ketara sekali. Namun, kini keadaan sangat menyecewakan apabila di rantau Asia Tenggara sekalipun, kita semakin terkebelakang dalam beberapa bidang, fundamental ekonomi terus rapuh dan Malaysia tidak lagi menjadi destinasi utama FDI.

Adalah sukar dalam tempoh terdekat ini ekonomi negara boleh kembali subur sepertimana keadaannya sebelum krisis lapan tahun lalu, iaitu pada masa Malaysia adalah antara sepuluh negara-negara di dunia yang paling memikat pelaburan asing, terutama kerana pihak pelabur asing semakin menjauhkan diri apabila melihat indeks persepsi rasuah telah menjulang Malaysia daripada tangga 139 tahun lalu ke tangga 144 tahun ini. Secara langsung ia memberi gambaran yang negatif bahawa keadaan perniagaan di Malaysia mempunyai risiko yang tinggi dan juga kerana dasar-dasar yang tak menentu. Sekarang, Malaysia terletak ke lebih 60 sebagai destinasi modal asing.

Namun projek ekonomi terus diwarnai dan kekal sebagai "projek politik," termasuklah projek mega utama seperti projek Pembangunan Wilayah Johor Selatan atau Southern Johor Economic Region (SJER) yang diharap menarik pelaburan lebih RM40 bilion, Jambatan ke-2 Pulau Pinang dengan inisiatif perbelanjaan swasta sebanyak RM2.7 bilion dan beberapa projek besar-besaran yang lain. UMNO juga telah pun meluluskan peruntukan sebanyak RM600 juta untuk diagih-agihkan kepada kesemua bahagian-bahagian parti itu dan mendesak supaya dana ini dibelanjakan dalam masa 90 hari. Ini keistimewaan kerajaan 'Pak Belalang', yang mampu dengan sekelip mata, mereka-reka projek-projek politik.

Semua projek itu, yang secara realitinya belum berjalan sedepa, tetapi sudah menjadi kempen pilihan raya besar-besaran. Golongan elit atau 'bangsawan' kini sudah mula mengasah keris. Jangan sekali-kali sesiapa pun berani mencampuri pengurusan projek-projek ini, maka akan mereka amuk....Parlimen sekali pun jangan persoal peruntukan ini. Mereka sanggup menipu di Parlimen dengan menafikan adanya dana ini walau pun telah diketahui pengumuman yang dibuat oleh Abdullah di perjumpaan dengan wakil-wakil UMNO sebelum perhimpunan agung parti itu yang lalu.

Projek ekonomi sebagai umpan politik akan hanya menjadikan pembangunan ekonomi menjadi tidak mapan. Ianya umpaya maju setapak mengundur beberapa tapak. Ia juga merupakan lubang besar untuk berlakunya ketirisan apabila pemimpin dan elit BN mulai sekali lagi melihatnya sebagai peluang baru untuk mereka memunggah kekayaan. Kejayaan sesuatu projek itu bukanlah dalam perkiraan mereka, bahkan apakah projek itu benar-benar memberi manfaat kepada negara dan rakyat juga bukan persoalannya.

Dalam pada itu, kita bertanya, apa sudah jadi dengan projek hidro Bakun di Sarawak, hutan habis, elektrik belum ada. Begitu juga apa jadi dengan projek perkampungan perfileman E-Village di Serdang, Selangor, yang kini jadi padang jarak padang tekukur? Dan yang tidak kurang mengecewakan juga ialah projek Cyberjaya yang menelan berbilion ringgit, tetapi hasilnya tidak ubah seperti hanya setaraf pekan koboi yang gersang dan kontang.

Masyarakat ICT antarabangsa hari ini mulai membandingkan Cyberjaya dengan konsep pembangunan yang sama di Bangalore, India. Wilayah di India itu yang dibangunkan dengan kos yang jauh lebih rendah berbanding Cyberjaya kini menjadi antara yang paling menarik dan maju di dunia.

Dengan banyaknya projek demi projek yang gagal, apakah kita mampu berharap "projek ekonomi-politik" ala BN boleh sukses? Projek sebesar SJER atau yang kemudiannya ditukar nama menjadi Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) misalnya bukanlah projek membungkus kerepek di belakang rumah. Ia melibatkan perancangan, pembangunan dan keseluruhan kos dan pakej pemasaran yang besar.

Kerana nama yang asyik bertukar, selain menimbulkan kekeliruan, yang tersirat ialah, Abdullah hanya berharap pengumumannya akan menjadi mantra baru ekonomi. Malangnya pelaburan asing tidak akan berlumba-lumba masuk berpusu-pusu hanya dengan majlis pengumuman yang gilang-gemilang. Hari ini para pelabur akan melihat bagaimana idea model wajah baru Johor Bahru itu apabila siap sepuluh tahun kelak, setaraf Hong Kong yang hari ini? Kerajaan cuba menyamakan WPI dengan Hong Kong, namun, ia bukan Hong Kong 5-10 tahun akan datang, tetapi Hong Kong hari ini. Maka hakikatnya kita akan terus masih ketinggalan dalam saingan.

Ringkasnya, apa maknanya membangunkan kota masa depan di negara ini tetapi kota masa depan itu di negara lain sudah wujud hari ini? Ini bukan persaingan namanya, tetapi konsep ‘Malaysia Boleh’! Riuhnya bukan main. Satu kampung tersentak dan melatah buatnya.

Untuk mengelak kekeliruan maka perlu ditegaskan, yang ditentang oleh Parti Keadilan Rakyat (keADILan) sejak awal ialah kemelut dan sampah sarap cuba disorokkan. Mata rakyat dikelabukan. Pemikiran rakyat dikelirukan. Keadilan tidak pernah menentang pembangunan dan projek untuk rakyat, tetapi cita-cita kemakmuran tidak akan tercapai selagi niat-niat pemimpin yang duduk di kerusi kekuasaan itu dan orang yang melaungkan "agenda Melayu," dalam masa yang sama mereka ini jugalah yang hanya menganggap bahawa ini satu lagi kesempatan meninjau peluang cara untuk merompak kekayaan negara. Parti-parti komponan yang lain tidak ketinggalan. Bisikan-bisikan pengagihan sedang berjalan lancar. Ya, konsep Pak Belalang diguna pakai… satu untuk kamu, dua, tiga untuk aku!

Memang terduga sejak awal, politik kaum akan dilaungkan terus menerus oleh pemimpin yang bacul. Ugutan dibuat supaya perbuatan mereka tidak ditentang. Lihat bagaimana pahlawan "ultra-Melayu" yang bercakap tentang "negara bangsa" dengan kononnya mengangkat idea Dato' Onn Jaafar. Memang jelas negara sedang berada di dalam krisis kepimpinan yang parah sekali, terutama apabila elit BN itu lupa persoalan asas, iaitu tidak ada bangsa di dunia yang menjadi besar dan agung daripada laungan sentimen dan menyalakan api perkauman.

Mereka lupa atau tidak pernah mengerti bahawa sesuatu bangsa itu akan menjadi besar dan terhormat apabila ia dapat mempertahankan idealisme, pemimpinnya berani bercakap benar, berpegang kepada prinsip perjuangan dan prinsip keadilan. Apa pun, kepedulian kepada amanah yang diberikan tidak wujud sama sekali.

Kisahnya konon di Bringin Rendang
Dari hal tok nujum yang dah terbilang
Telek menelek semua temberang
Ahli nujum Pak Belalang.

Nampaknya strategi "membeli masa" ("buying time") dan bersilat cara lama seperti ala Pak Belalang untuk mempertahankan kuasa politik BN bukan hanya tidak akan menjadikan rakyat kita bebas, tetapi perjuangan perkauman yang melampau ini nyata sedang memamah dan membakar diri penguasa itu sendiri. Projek-projek besar yang diramal dan dilaungkan untuk kemajuan ekonomi rakyat hanyalah sebagai fatamorgana (mirage) sahaja. Kalau rakyat masih tidak peka dan bertindak kali ini, Pak Belalang akan bermaharajagila menjadikan wilayah dan negara ini tergadai.

Kamarul Baharin Abbas (sumber dari m@rhaendaily )
posted by jasindaily online @ 8:45 AM   0 comments
MELAYU MUNDUR KERANA PEMIMPIN - SYED HUSIN
PULAU PINANG: Timbalan Presiden Keadilan, Prof. Dr Syed Husin Ali menggariskan tiga perkara yang bersangkut-paut dengan sifat kepimpinan, sebagai penyebab kedudukan orang Melayu Pulau Pinang, khasnya dan keseluruhan Melayu amnya semakin teruk.

Pertama, menurutnya, di Pulau Pinang dan di negeri-negeri lain, para pemimpin tidak mempunyai keazaman politik (political will) yang cukup teguh untuk membela nasib golongan bawahan, walaupun retorik membela Melayu cukup kuat kedengaran termasuk di Perhimpunan Umno.

Kedua, pemimpin pemerintah tidak mempunyai tenaga untuk membendung, apatah lagi menyekat kuasa pasaran yang boleh memiskinkan lagi golongan miskin Melayu dan kaum lain.

Dan yang ketiga, katanya ialah pemimpin kerajaan, kebanyakannya lebih mengutamakan keuntungan diri, keluarga dan suku-sakat mereka.

"Badan-badan yang ditubuhkan untuk membela orang Melayu sering diperalatkan untuk keuntungan sendiri. Ramai yang menjadi korup, menjual saham yang diperolehi dan mengutip komisyen dari kontrak yang mereka dapat," tegasnya.

Sebab itu, katanya halatuju dan pendekatan Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK9), yang tidak banyak berbeza dengan lapan rancangan sebelum ini, tidak akan membuahkan hasil yang diharapkan.

Ketika menyampaikan ucaptama dalam Kongres Kebangkitan Melayu Pulau Pinang, di Hotel Naza, di sini, Ahad, Syed Husin menegaskan, golongan berkenaan memperalatkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk memperkayakan segelintir elit politik dan kroni mereka, daripada menaikkan taraf rakyat Melayu dan kaum lain di kampung dan di bandar.

Golongan terbabit, katanya, lantang melaungkan isu 'agenda Melayu' bertujuan memberi lebih banyak peluang kepada peniaga dan pengusaha besar Melayu, yang terdiri daripada pemimpin Umno atau rapat dengan pucuk pimpinan Umno.

Sehubungan itu, tegas Syed Husin, untuk membawa perubahan bagi rakyat teramai yang masih ketinggalan, kebanyakannya orang Melayu, sistem sosio-ekonomi yang didominasikan unsur kapitalis yang mengutamakan segelitir golongan atasan perlu diubah.

"Ini boleh dilakukan dengan menghapuskan korupsi serta ketamakan, dan benar-benar membela golongan rakyat yang terbanyak untuk menaikkan taraf ekonomi, pelajaran, kesihatan, perumahan, sosial dan akhlak mereka.

"Pendekatan ini sesuai dengan konsep kepedulian rakyat yang diutarakan oleh Anwar Ibrahim,"
ujarnya.

Program anjuran Sekreteriat Kongres Melayu Pulau Pinang dan Teras Pengupayaan Melayu (TERAS) itu turut membincangkan dua kertas kerja bertajuk "Masalah Melayu Pulau Pinang," oleh Profesor Dr. Amir Hussin Baharudin (USM) dan "Islam Penyelamat Umat Melayu Pulau Pinang," oleh Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa
posted by jasindaily online @ 8:41 AM   0 comments
KAKAK DR MAHATHIR MENINGGAL DUNIA
Kakak Tun Dr Mahathir Mohammad meninggal dunia petang tadi di Kedah Medical Center di Alor Star akibat komplikasi jangkitan radang paru-paru setelah seminggu tidak sedarkan diri.

Habshah @ Bibi Mohd Iskandar, 85, dimasukkan ke wad tersebut sejak 20 November lalu.

Anak Habsah, Kalthom Abdul Ghani, 59, sebagai berkata Dr Mahathir, isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, beliau sendiri serta dua lagi anggota keluarga mereka berada di sisi allahyarham yang menghembuskan nafas terakhir pada 1.15 petang, lapor Bernama.

Jenazah kakak kedua bekas Perdana Menteri itu dilaporkan akan dibawa pulang ke rumah anak saudaranya Datin Yasmin Mashoor di Jalan Pegawai di Alor Star untuk urusan pengebumian.

Kalthom turut memberitahu jenazah ibunya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Akar Peluru pada 10 pagi esok bersebelahan kubur bapa allahyarham, Mohamad Iskandar.

Kalthom merupakan satu-satunya anak tunggal allahyarham hasil perkahwinan bersama suaminya Abdul Ghani Pa'chik yang meninggal dunia lebih 20 tahun lalu.

Beliau berkata Dr Mahathir, yang amat rapat dan mesra dengan kakaknya itu, amat bersedih dengan kematian allahyarham.

"Dengan pemergian ibu saya, daripada mereka lima beradik kini hanya tinggal Dr Mahathir dan kakak sulungnya yang masih hidup," kata Kalthom.

Keluarga bekas Perdana Menteri itu terdiri daripada tiga lelaki serta dua perempuan. Dr Mahathir merupakan anak bongsu manakala kakak sulungnya, Rafeah berusia 92 tahun.

Antara yang turut hadir menziarahi jenazah, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Syed Unan Syed Abdullah
posted by jasindaily online @ 8:40 AM   0 comments
HANYA PM, TPM DAN TIGA YANG LAIN SETUJU GABUNG UTUSAN-NSTP
Hanya Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, timbalannya Dato' Seri Najib Tun Razak, Bendahari Umno Dato' Azim Zabidi dan dua lagi ahli Majlis Tertinggi Umno (MT) yang menyebelahi rancangan besar untuk menggabungkan Utusan Melayu (M) Berhad dengan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), lapor Business Times Singapura (BT) 5 Disember lalu.

Kegagalan mendapatkan persetujuan dari mesyuarat MT itu akhirnya menyebabkan sidang akhbar dan majlis taklimat mengenai penggabungan tersebut pada 4 Disember dibatalkan.

Pada hari yang sama dengan pembatalan itu juga, Perdana Menteri yang juga Presiden Umno dilihat memberikan isyarat supaya penggabungan itu diteruskan juga apabila berkata, "Saya rasa melalui penggabungan sahaja, mereka (Utusan dan NSTP) dapat membina keupayaan".

The Straits Times Singapura (ST) sebelum ini melaporkan, cadangan tersebut telah dibentangkan selepas Perdana Menteri dan timbalannya mempersetujui penggabungan itu.

Bagaimanapun, menurut akhbar itu, setelah ahli-ahli Majlis Tertinggi Umno (MT) membincangkan kebaikan dan keburukan penggabungan tersebut, hanya lima daripada 48 daripada mereka yang bersetuju dengan cadangan tersebut.

"Kebanyakan dari kami tidak selesa dengan cadangan itu," Ahli MT, Dato' Shahrir Samad dilaporkan oleh ST sebagai berkata.

Jumaat lalu, urusniaga saham kedua-dua gergasi media itu telah digantung sehingga pengumuman penggabungan dibuat.

Menurut BT, para pemimpin Umno menyatakan, saham kedua-dua gergasi media media itu telah digantung urusniaganya kerana mereka yang terlibat mengatur penggabungan tersebut begitu yakin bahawa semuanya telah beres.

Mereka telah mendapat persetujuan dari Presiden dan Jawatankuasa Pengurusan Umno yang dipengerusikan oleh Najib, BT melaporkan seorang pemimpin kanan parti itu berkata. Lantaran itulah mereka fikir penggabungan itu telah diluluskan lalu mengambil tindakan mengggantung urusniaga saham Utusan dan NSTP.

Bagaimanapun, lapor BT, mereka tersilap apabila hanya Presiden, Timbalan Presiden, bendahari dan dua ahli MT yang lain yang bersetuju dengan penggabungan itu.

Menurut BT, penolakan MT terhadap penggabungan itu dikatakan berpunca dari kebimbangan akan terjejasnya cara Utusan yang bebas dan sokongannya terhadap agenda Melayu.

NSTP selama ini secara umumnya dikuasai oleh mereka yang setia kepada Presiden Umno manakala Utusan pula dikuasai oleh Umno sendiri yang diwakili oleh Presiden, Timbalan Presiden, Setiausaha Agung dan Bendahari parti itu, lapor BT.

Perkara tersebut menimbulkan satu lagi kebimbangan, kata pemimpin berkenaan kepada BT, mungkin kerana persepsi bahawa Utusan akhirnya akan dikuasai oelh orang yang sama yang menguasai NSTP.

Pengerusi Lembaga Pengarah NSTP ialah Dato' Seri Mohamed Jawhar Hassan yang tidak begitu dikenali manakala Timbalan Pengerusi pula ialah Dato’ Kalimullah Hassan. Kalimullah, yang juga adalah Penasihat Editorial NSTP, sangat dikenali sebagai sahabat rapat menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin.

Menurut bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Kalimullah pernah dibantah oleh pihak polis untuk dilantik sebagai Setiausaha Akhbar Allahyarham Tun Ghafar Baba kerana mengesyaki beliau adalah seorang agen Singapura.

Malaysia Today pernah mendakwa, Kalimullah juga mempunyai hubungan yang rapat dengan kerajaan Singapura terutama Menteri Dalam Negerinya, Wong Kan Seng, yang mengguasai operasi perisikan negara itu.

Dalam perkembangan berkaitan, rundingan mengenai cadangan penggabungan antara Utusan dan NSTP itu masih berjalan dan besar kemungkinan penggabungan akan berlaku berikutan kenyataan Perdana Menteri 4 Disember lalu.

Malaysiakini melaporkan, akhbar harian The Edge hari ini memetik Mayban Securities Research sebagai berkata Utusan dan NSTP akan menjadi anak syarikat kepada sebuah syarikat induk baru di bawah cadangan penggabungan tersebut.

"Sekiranya penggabungan itu menjadi kenyataan, proses dijangka siap dalam tempoh enam hingga sembilan bulan, iaitu pada pertengahan tahun 2007," kata Mayban Securities Research.
posted by jasindaily online @ 8:33 AM   0 comments
ZAHID MAHU MEDIA PERDANA LAWAN BLOG, INTERNET
Monday, December 04, 2006
Media perdana diminta menangkis dakwaan atau fitnah yang disebarkan menerusi internet atau blog terhadap sesuatu isu atau berkaitan dasar kerajaan.

Timbalan Menteri Penerangan Datuk Ahmad Zahid Hamidi berkata dalam era langit terbuka kini, rakyat semakin mudah disogokkan dengan pelbagai maklumat menerusi media alternatif seperti internet, yang kandungannya belum pasti tepat dan benar.

"Oleh kerana kesan langit terbuka, kita dapati media alternatif seperti blog, internet misalnya mula berada di persada komunikasi kita. Kita tidak boleh sekat mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Lanchang 2006 di sini malam tadi.

Ahmad Zahid turut menasihati pengusaha blog atau mereka yang menulis dalam internet agar lebih bertanggungjawab dalam menyebarkan maklumat.

"Setiap orang ada etika, ada nilai diri, kita harap pengusaha blog juga mempunyai etika," katanya
posted by jasindaily online @ 4:46 PM   0 comments
DPPKJASIN

Name: jasindaily online
Home: Jasin, Melaka, Malaysia
About Me: Di bangunkan pada bulan April 2005
See my complete profile
CORETAN YANG LALU
ARKIB JASNIDAILY
POWERED BY

Free Blogger Templates

BLOGGER

© 2005 Info Template by Isnaini Dot Com